Mahkamah Tinggi tolak saman Tian Chua terhadap SPR

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak saman yang difailkan Naib Presiden PKR Tian Chua terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak membenarkan pencalonannya untuk bertanding kerusi Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), dengan memutuskan bahawa ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara itu.

Hakim Datuk Nordin Hassan membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal oleh SPR terhadap saman pemula (OS) yang dibawa Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chan.

Nordin dalam penghakimannya berkata mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mencabar keputusan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Anwar Mohd Zain dalam menolak pencalonan Tian Chua untuk bertanding kerusi Parlimen Batu pada PRU14.

Hakim itu berkata pemohon (Tian Chua) sepatutnya memfailkan saman tersebut dengan cara petisyen pilihan raya dan bukannya dengan saman pemula.

“Saya menolak saman pemula oleh pemohon dengan tiada sebarang perintah berhubung kos,” katanya.

Tian Chua memfailkan saman pemula pada 30 April lepas dengan menamakan Anwar dan SPR masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.

Dalam samannya, bekas Anggota Parlimen Batu itu memohon satu pengisytiharan mahkamah bahawa beliau berhak untuk dicalonkan dan bertanding kerusi itu, menurut Perkara 48(1) Perlembagaan Persekutuan.

Pencalonan Tian Chua ditolak pegawai pengurus pilihan raya atas alasan bahawa Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2 Mac tahun ini, mengenakan denda RM2,000 ke atas beliau kerana mengeluarkan perkataan kesat yang mengaibkan seorang pegawai polis.

Mahkamah Tinggi Shah Alam membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan yang difailkan Tian Chua dan mengurangkan denda kepada RM2,000.

Pada mulanya, beliau didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya kerana mengeluarkan perkataan kesat yang mengaibkan seorang pegawai polis pada 2014.

Dalam permohonannya, Tian Chua mendakwa bahawa dalam PRU13, beliau dibenarkan untuk bertanding walaupun didenda RM2,000 oleh mahkamah ketika itu.

-- BERNAMA



Sumber Mahkamah Tinggi tolak saman Tian Chua terhadap SPR

Post a Comment

Previous Post Next Post