Mufti Perlis: Pemerintah mesti fokus dosa awam, bukan dosa peribadi

Asri Zainul Abidin berkata pendekatan yang salah mewujudkan golongan agama merasak tidak bersalah bekerjasama dengan golongan perasuah.

Asri menasihati masyarakat dan kerajaan baharu hendaklah membezakan dosa peribadi dan dosa awam.

PETALING JAYA: Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin menyeru kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan (PH) menumpukan kepada dosa awam berbanding dosa peribadi.

Ini kerana pendekatan “sesetengah pihak sebelum ini” yang terlalu memberikan tumpuan kepada dosa peribadi dan memandang ringan dosa awam menyebabkan Islam disalah fahami, katanya di Facebook.

“Pendekatan yang seperti ini yang menyebabkan sesetengah kelompok ‘Islamis’ tidak sanggup bergaul dengan golongan yang isteri mereka tidak bertudung tetapi merasa tidak bersalah berkerjasama dengan mereka yang rasuah dan salahguna kuasa secara nyata. Golongan agama seperti inilah yang membela isu rasuah tapi membangkit isu-isu kelemahan peribadi pihak yang mereka musuhi,” katanya.

Asri menjelaskan dosa peribadi sebagai dosa yang memberi mudarat pada diri sendiri selagi mana ia tidak mengancam pihak lain seperti mendedahkan aurat, zina, minum arak dan berjudi. “Dalam ertikata lain, ia dosa atau pun aib peribadi antara hamba dengan Tuhannya”.

“Kita dilarang mengintip dosa ini. Jika dosa itu zahir di hadapan kita, kita disuruh mencegahnya, tapi bukan untuk menghebohkannya,” katanya.

Sementara dosa awam pula dosa yang memudaratkan orang lain seperti rasuah, merompak, mencuri, mengedar dadah, merogol, pecah amanah dan menyebarkan hadis palsu. “Dosa ini bukan sahaja antara hamba dengan Allah, tetapi ia boleh mengancam pihak lain”.

“Dosa awam boleh memberikan kemudaratan kepada pihak yang lain, maka kita boleh mendedahkannya untuk memelihara keselamatan ataupun kemaslahatan pihak lain,” katanya.

Beliau menegaskan kerajaan dan masyarakat hendaklah membezakan dosa awam dan dosa peribadi.

“Malangnya, apabila kita gagal membezakannya, maka golongan kuat agama heboh jika ada tokoh yang berkhalwat tetapi membisu apabila ada isu rasuah dan penyalahgunaan harta awam berleluasa. Isu-isu aib peribadi diangkat dan diberikan pelbagai ulasan agama, sementara isu jenayah awam pula golongan agamawan ramai yang mendiamkan. Ini adalah tanda kesongsongan kita dalam memahami jenis-jenis dosa,” katanya.

Beliau juga menasihatkan pemerintah hendaklah mengelak daripada mengangkat kes “aib peribadi” yang dibawa ke mahkamah, seperti diriwayatkan di dalam hadis.

“Hal ini sangat berbeza dengan mentaliti sesetengah pihak berkuasa agama yang suka mencari-cari dosa peribadi ini,” katanya.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



Sumber Mufti Perlis: Pemerintah mesti fokus dosa awam, bukan dosa peribadi

Post a Comment

Previous Post Next Post