Fizz atau Mohd Fairuz Zainal Abidin, 38, bagaimanapun berkata, dia berharap gelaran itu tidak mewujudkan jurang di antaranya dengan rakan-rakan kerana dia masih sama seperti dahulu.
"Pada saya, kawan-kawan macam biasa sahaja apabila saya terima gelaran tersebut tambahan pula saya memang tidak mahu ada jurang di antara kami.
"Saya masih Fizz yang dulu dan kadang-kadang bila ada pangkat ini ada orang takut pula hendak berkawan dengan kita.
"Penganugerahan ini adalah satu kurniaan dan pemberian yang tidak dapat ditolak," katanya.
Fizz menerima Darjah Indera Mahkota Pahang sempena Istiadat Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang pada 27 Januari lalu.
Bagaimanapun kata suami kepada aktres Datin Almy Nadia ini, walaupun kini bergelar Datuk namun lebih selesa peminat memanggilnya dengan gelaran abang atau pun namanya sahaja.
"Ada orang yang panggil saya, abang atau Fizz dan juga Datuk. Malah, ada yang mulanya panggil saya abang Fizz selepas itu minta maaf dan panggil Datuk.
"Tapi saya cakap, tak apa panggil abang sahaja. Saya tak akan cakap atau paksa orang untuk panggil saya dengan gelaran itu.
"Terpulang pada individu itu sebab saya tak mengharapkan orang panggil saya Datuk," ujarnya.
Dalam pada itu, pelakon filem Ratu Kala Jengking ini memberitahu dia menerima gelaran tersebut disebabkan sumbangannya terhadap negeri Pahang.
"Sebelum ini, saya banyak melakukan acara dan majlis di Pahang yang merupakan negeri kelahiran saya.
"Jadi, saya dapat gelaran tersebut di sana disebabkan banyak menyumbang jasa," katanya
Sumber “Panggil abang sajalah” - Fizz Fairuz