Panglima TLDM kesal kenyataan diputar belit untuk kepentingan politik pihak tertentu

SANDAKAN: Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin kesal apabila kenyataannya di laman Facebook rasmi agensi itu diputar belit oleh pihak tertentu untuk kepentingan mereka.

Beliau menyifatkan pihak terlibat mengambil kesempatan akibat terdesak hingga sanggup memutar belit kenyataannya itu.

"Saya sangat sedih dengan tindakan pihak tersebut dan ia tidak seharusnya berlaku.

"Jangan kita politikkan TLDM yang merupakan sebuah institusi yang sangat disegani dan dihormati," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pengundian Awal di Dewan Mohd Azim Rumah Kediaman TLDM Taman Samudera di sini, hari ini.

Kenyataan Ahmad Kamarulzaman bertajuk 'Mengundi adalah hak kita dan tunaikan tanggungjawab anda.' dimuat naik di Facebook rasmi TLDM semalam.

Dalam kenyataan itu, beliau menasihatkan pegawai dan anggota TLDM untuk mematuhi langkah pengundian yang telah ditetapkan dan melaksanakan pengundian dengan penuh adab serta mengekalkan tahap disiplin yang tinggi.

"Janganlah dipengaruhi dengan hasutan yang boleh menjejas keputusan pemilihan kita dan gunakan kebijaksanaan masing-masing berdasarkan fakta, pemerhatian, pencapaian yang dikecapi dan pengalaman kita sendiri," Ahmad Kamarulzaman dalam kenyataan itu.

Bagaimanapun, terdapat penulis blog yang kemudian memutar belit kenyataannya itu.

Ahmad Kamarulzaman menjelaskan mesej pertama kenyataannya itu di facebook rasmi TLDM bahawa pihaknya menyediakan segala usaha untuk pegawai dan anggota TLDM menyemak butiran dan memberitahu proses mengundi agar tiada masalah untuk mereka melaksanakan tanggunggjawab mengundi.

Katanya mesej kedua adalah beliau menyatakan supaya mereka melaksanakan tangungjawab sebagai pengundi untuk mengundi secara bijak.

"Dalam konteks ini, kita perlu tengok rekod pencapaian apa yang mereka laksanakan kepada kita dan berada di belakang kita sekian lama," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Kamarulzaman berkata beliau sebagai Panglima TLDM memberi kemudahan dan kelepasan untuk warganya mengundi esok.

Katanya ia termasuk membabitkan anggota yang kapal bertugas di laut diberikan kelepasan untuk menunaikan tangunggjawab mengundi.

-- BERNAMA



Sumber Panglima TLDM kesal kenyataan diputar belit untuk kepentingan politik pihak tertentu

Post a Comment

Previous Post Next Post