Malaysia mengesahkan laluan ke suku akhir Piala Thomas menerusi tiga perseorangan lelaki dalam pertemuan menentang Algeria di Impact Arena, Bangkok, hari ini.
Keperluan Algeria untuk menggunakan kudrat pemain sama dalam aksi beregu menyaksikan tiga pertemuan pertama bermula dengan aksi perseorangan.
Lee Zii Jia yang memikul tugas sebagai perseorangan pertama tidak gugup berdepan Youcef Sabri Medel.
Kawalan kemas gelanggang dijelmakan Zii Jia menyaksikan mata pertama milik Malaysia menerusi kemenangan 21-6, 21-13.
"Permainan hari ini lebih senang berbanding semalam. Aksi pada hari ini boleh dianggap sebagai persediaan kami untuk menghadapi Denmark esok," kata pemain berusia 20 tahun itu.Turun dalam pertarungan berikutnya, kelibat Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang mencongak perhitungan dengan Mohamed Abderrahime Belarbi.
Seperti Zii Jia, Iskandar juga tidak berdepan masalah untuk mencorak tempo permainan. Kemenangan 21-7, 21-9 yang dilakar Iskandar meletakkan Malaysia 2-0 di depan.
"Hari ini Datuk (Lee Chong Wei) tidak diturunkan. Kami perlu belajar dari sini.
"Apabila diberi peluang, kami perlu buat sehabis mungkin dan apabila Chong Wei sudah tiada dalam skuad kebangsaan lagi dua tahun nanti, kami sudah boleh mengawal situasi," kata Iskandar.
Individu yang berpeluang menyumbang mata penting bagi mengesahkan laluan ke peringkat berikutnya adalah Leong Jun Hao.
Aksi set pertama menyaksikan Jun Hao lambat memperolehi rentak sebenar sebelum menang 21-13.
Set kedua lebih meyakinkan dengan Jun Hao meletakkan Malaysia ke suku akhir menerusi catatan 21-8.
Dua mata lagi menyusul menerusi beregu lelaki yang menyaksikan gandingan Arif Latif-Teo Ee Yi mudah menumpaskan Koceila Mammeri-Youcef Sabri Medel 21-12, 21-10 disusuli kemenangan Aaron Chia-Wooi Yik Soh yang berjuang dalam tempoh 22 minit dengan Mohamed Abderrahime Belarbi-Adel Hamek 21-11, 21-15.
Sumber Piala Thomas: Algeria jadi medan pemanas badan tanpa kelibat Chong Wei