Ronaldo jadi superhero dalam siri animasi kanak-kanak

BINTANG Real Madrid, Cristiano Ronaldo akan melancarkan siri animasi kanak-kanak dan memperkenalkan dirinya sebagai watak superhero.

Strike Force 7 bakal digunakan dalam pelbagai platform seperti komik, permainan video dan kandungan digital yang lain.

Menurut bekas pemain kelab Manchester United itu, beliau adalah penggemar watak adiwira dan Ronaldo turut berasa sangat gembira mencipta siri animasi baru itu.

"Pada saya, permainan bola sepak menghubungkan budaya dan masyarakat seluruh dunia, saya percaya bahawa watak-watak animasi adiwira yang hebat juga boleh melakukan perkara sama.

"Oleh itu saya teruja untuk menyatukan keghairahan terhadap bola sepak dan watak adiwira menerusi projek ini dan berkongsi dengan peminat saya," kata penyerang berusia 33 tahun itu.

Menurut laporan media tempatan, Ronaldo sebagai penerbit eksekutif bekerjasama dengan Graphic India bagi menjayakan projek siri animasi tersebut.

Namun tarikh tetap keluaran siri animasi berkenaan bakal diumumkan tidak lama lagi.

Ronaldo turut mengikut jejak langkah beberapa bintang National Basketball Association (NBA) dan National Football League (NFL) seperti Drew Brees, Tony Parker, Derrick Brooks dan Michael Finley bagi mencuba nasib dalam bidang produksi filem dan televisyen.

Bintang-bintang tersebut juga memiliki syarikat produksi sendiri, Argent Pictures yang terlibat menghasilkan filem American Made dan Hacksaw Ridge yang pernah mendapat anugerah Oscar.

Selain itu, Ronaldo turut menghasilkan drama baharu yang akan ditayangkan menerusi platform Facebook Watch bagi mengikuti pengembaraan sebuah pasukan bola sepak wanita di New York.



Sumber Ronaldo jadi superhero dalam siri animasi kanak-kanak

Post a Comment

Previous Post Next Post