Salah seorang anggotanya, Sein, 35, berkata, konsert diberi nama Ruffedge: 20th Anniversary itu diadakan bagi memenuhi impian peminat selain mengeratkan silaturahim dengan penyokong-penyokong sepanjang penglibatan mereka sebagai anak seni.
"Selepas 10 tahun kami tidak muncul sebagai Ruffedge disebabkan masing-masing mempunyai kerjaya serta komitmen. Ini kali pertama kami bakal mengadakan konsert.
"Alhamdulillah kali ini kami ada rezeki dapat berkumpul semula. Peminat pun sentiasa tanya bila kami nak adakan konsert.
“Jadi, konsert ini kami adakan untuk berkongsi kasih sayang dan mengeratkan lagi silaturahim dengan penyokong-penyokong kami selain untuk menarik peminat baru Ruffedge,” kata Sein.
Selain Sein, Ruffedge turut dianggotai oleh Mode, 43, Cat Farish, 44, Zain Hamid, 40 dan Azan Addin, 44.
Mereka ditemui ketika majlis pengumuman konsert itu di Black Box, Publika, di sini pada Rabu.
Sementara itu, Azan pula memberitahu menerusi konsert itu mereka akan menyampaikan lebih 10 lagu popular mereka yang mempunyai pelbagai nostalgia dalam kalangan peminat.
“Sebelum ini kami hanya boleh menyanyikan beberapa lagu sahaja di majlis atau acara hiburan.
“Istimewa untuk konsert ini kami akan mempersembahkan lebih 10 lagu popular yang menjadi permintaan peminat termasuk gabungan dan susunan lagu yang menarik,” ujar Azan.
Konsert anjuran MRS Production dan KLP Creative Sdn Bhd itu akan diadakan di KL Live, Kuala Lumpur bermula pukul 9 malam selama dua jam.
Antara lagu yang bakal dipersembahkan adalah Bila Rindu, Khayalan, Tipah Tertipu, Lemas dan banyak lagi.
Tiket berharga dari RM125 hingga RM233 dijual bermula pada 4 Mei ini di www.ticketpro.com.my.
Sumber Ruffedge bersatu semula selepas 10 tahun hilang