Katanya, sistem ekonomi bebas yang tidak ada intervensi kerajaan, atau dikenali sebagai 'pure capitalist economy' hanya akan melebarkan lagi jurang kekayaan pendapatan antara rakyat.
"Setiap kelompok dalam masyarakat, kita mesti ada sentuhan daripada kerajaan kita, barulah masyarakat kita akan merasai nikmat pembangunan negara kita, nikmat pertumbuhan ekonomi negara, dan nikmat kekayaan negara kita.
"Kalau ekonomi yang bergantung (sepenuhnya) kepada pasaran sahaja, orang lebih kuat dapat lebih banyak faedah. Mereka yang berada di tempat strategik akan dapat ambil peluang yang lebih daripada rakyat biasa," kata Najib ketika berucap di Majlis Pecah Tanah Balai Bomba Sungai Koyan, Lipis, di sini hari ini.
Kata Perdana Menteri, biarpun kerajaan memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kewujudan sistem itu akan memberi pendapatan yang lebih kepada kerajaan, seterusnya dapat diagihkan kepada mereka yang lebih memerlukan."Sebab itulah kita boleh naikkan BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) 100 peratus, tahun ini. Daripada RM400 kepada RM800. Pada bulan Ogos, naik lagi RM800. Ini lah kerajaan kita, kerajaan Barisan Nasional (BN)... dan yang kelas pertengahan pun dapat pengurangan cukai dua peratus," kata Najib yang juga Pengerusi BN.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, pegawai kanan Bomba serta masyarakat setempat termasuk peneroka Gugusan Felda Sungai Koyan 3.
Bercerita mengenai soal Felda, Najib berkata, sudah banyak yang kerajaan berikan demi menjaga kebajikan golongan peneroka.
"Kita dah bagi macam-macam... rumah, pembesaran rumah tanpa faedah, 41,752 peneroka telah mendapat pinjaman RM1.431 bilion sejak 2005 untuk membesarkan rumah mereka. Dan kita dah beri RM15,000 wang tunai waktu FGV (Felda Global Ventures) disenaraikan pada 2012.
"Dan pada tahun 2017, sewaktu sambutan Hari Peneroka, saya masih ingat lagi, bila saya umumkan setiap peneroka akan dapat RM5,000 dalam majlis itu," katanya.
Tambahnya, ini tidak termasuk dengan apa yang digariskan dalam Manifesto BN iaitu dana khas pelupusan hutang luar biasa bagi peneroka Felda yang layak, dengan dana permulaan berjumlah RM300 juta.
BACA: Ini perbandingan manifesto dari aspek Felda
Dalam majlis itu, Najib mengumumkan kelulusan dana berjumlah RM3 juta bagi pembinaan Pusat Giat Mara yang bertujuan untuk merancakkan ekonomi setempat, serta RM3 juta lagi bagi membina semula Masjid Tanjung Gahai.
Sumber Sistem ekonomi bebas akan lebarkan jurang kekayaan - PM Najib