Inisiatif itu dicetuskan peguam dan aktivis hak asasi manusia, Siti Kasim dan rakannya yang telah menganjurkan kempen 'Jom Bagi Coklat Kat Abang dan Akak Polis' menerusi Facebooknya selepas kejadian coklat hilang di rumah Datuk Seri Najib Tun Razak ketika anggota polis sedang melakukan penyiasatan di kediamana bekas perdana menteri itu.
“Tuduhan anggota polis kita memakan coklat di kediaman bekas perdana menteri adalah tidak wajar.
“Saya dah banyak kali berurusan dengan pihak polis, saya tahu komitmen mereka ketika bertugas, hinggakan sering menolak pelawaan untuk diberikan minuman kerana mereka masih bekerja,” katanya ketika ditemui pada acara pemberian coklat kepada anggota keselamatan, di sini, hari ini.
Tidak seperti di negeri-negeri lain, polis di Kuala Lumpur tidak dibenarkan menerima coklat-coklat berkenaan, Siti telah menghantar hadiah-hadiah berkenaan kepada balai bomba bersebelahan.Bagaimanapun di Facebook, orang ramai di negeri lain tidak kekok berkongsi gambar mereka di balai-balai polis bersama coklat yang dihantar.
“Coklat-coklat ini adalah hadiah, bukannya berbentuk rasuah. Jika rasuah kita harapkan sesuatu daripada penerima tetapi kita cuma menghargai mereka sahaja,” katanya.
Siti menambah, bersandarkan pengalamannya, beliau maklum akan sikap anggota keselamatan ketika menjalankan tugas.
“Polis tahu di rumah siapa mereka bertugas, tak kanlah nak ‘sapu’ benda dalam rumah individu yang diberi tumpuan penting sebegitu.
“Sebab itu saya tergerak hati untuk beri sokongan kepada anggota keselamatan, sebagai menghargai usaha keras mereka,” katanya.
Minggu lalu, Najib menerusi peguamnya mengadu mengenai tindakan pegawai polis yang memeriksa unit kondominum anak-anaknya, mendakwa mereka telah meminta makanan dan memakan coklat dari peti ais kediaman terbabit.
Susulan tuduhan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman berkata, jabatan itu akan menyiasat sebarang dakwaan salah laku anggota polis seperti didakwa bekas perdana menteri dan ahli keluarganya.
Pengarah JSJK, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, berkaitan dakwaan yang 'ada yang meminta makanan disediakan dan anggota polis menjamah makanan dan coklat dari peti sejuk',beliau memohon agar maklumat diberikan, seperti dimanakah kejadian itu berlaku dan mengenal pasti anggota yang didakwa terbabit.
“Saya tidak akan bertoleransi dengan sikap tidak profesional dan tindakan tegas terhadap anggota yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) polis, sekiranya dakwaan itu benar," katanya.
Sumber Siti Kasim beri coklat percuma kepada polis tapi...