'This is Bukit Jalil!'

KUALA LUMPUR: Tahniah Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) apabila berjaya menaikkan taraf stadium terulung negara.

Stadium Nasional Bukit Jalil dinobatkan Stadium Terbaik Tahunan 2018 (Kategori Sedia Ada) dalam Anugerah Kongres Stadium Dunia di Amsterdam, Belanda pada 8 Mei lalu.

Ia anugerah sulung selepas venue keramat itu dinaik taraf dengan kos keseluruhan RM1.6 bilion termasuk membabitkan projek fasa kedua pembangunan kawasan KL Sports City.

Saya tertarik dengan kejayaan Stadium Nasional Bukit Jalil menewaskan venue lebih ternama seperti Stade de France yang pernah menganjurkan final Piala Dunia 1998 yang menyaksikan Perancis menewaskan Brazil 3-0.

BACA: Kita juara! Stadium Nasional Bukit Jalil dinobat Stadium Terbaik Dunia 2018

Lebih menarik, ia membuktikan sentuhan jurutera tempatan dan arkitek Jerman berjaya menghasilkan karya agung.

Namun, kejayaan ini tidak cukup membanggakan rakyat Malaysia.

"Malaysia bangga dengan prasarana taraf dunia tapi sukan taraf Asia Tenggara sahaja," kata peminat di laman sosial.

"Tahniah untuk stadium nasional. Tapi takziah untuk skuad bola sepak negara yang masih dalam kemerosotan," kata seorang lagi peminat.

Saya fikir ada benarnya.

Berapa banyak sukan yang berpeluang merasai rumput 'cow grass' Bukit Jalil? Berapa banyak pula kejayaan yang mereka kecap di stadium keramat itu?

Seingat saya, kejayaan paling sensasi ialah ketika Khairul Hafiz Jantan muncul lelaki terpantas Asia Tenggara ketika raih pingat emas Sukan Sea Kuala lumpur 2017 dengan 10.38 saat.

Dia diraikan sebagai bintang sukan negara setaraf Datuk Lee Chong Wei, Pandelela Rinong dan Azizulhasni Awang walaupun pencapaian itu hanya di peringkat Asia Tenggara.

Tapi, itulah kejayaan paling sensasi di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Khabarnya Julai depan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah merisik PSM untuk mengadakan final Piala FA di venue keramat itu.

Mungkin ia akan lebih sensasi.

Apapun, kita harus bangga memiliki stadium terbaik dunia.

This is Bukit Jalil! - Oleh Bazly Azmi


*Bazly Azmi  adalah wartawan dan penerbit Astro Arena.

**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.



Sumber 'This is Bukit Jalil!'

Post a Comment

Previous Post Next Post