Datang ke Kota Kinabalu, tidak sah jika tidak singgah di Pasar Besar Kota Kinabalu. Namun begitu, timbulnya gangguan yang tidak diingini bila mana pengunjung didatangi individu-individu yang menjual barangan yang tidak diketahui asal usulnya dan memaksa pengunjung untuk membeli.
Menurut pengadu, dia didatangi seorang lelaki yang memaksanya membeli sebentuk jam tangan dengan harga RM200. Tetapi dia menolak dan mengembali jam yang telah dimasukkan dalam poket bajunya itu sebelum dipaksa sekali lagi untuk membelinya dengan harga RM100.
Enggan memanjangkan masalah, pengadu akur dan berharap lelaki itu terus beredar meninggalkannya. Malangnya lelaki itu memintanya membuat bayaran tambahan RM50 atau jam tangan itu diambilnya semula.
SERAM DAN MENAKUTKAN
PASAR ini memang menjadi tumpuan pengunjung yang datang melancong ke Sabah. Di sini terdapat pelbagai jenis keropok dan makanan ringan yang sedap untuk dijadikan ole-ole kepada teman rakan dan keluarga.
Pun begitu di sebalik keramahan penjual-penjualnya yang mudah membantu pengunjung yang datang membeli barangan mereka, terdapat situasi atau suasana yang tidak menyenangkan dan kadangkala menakutkan.
Pengalaman menakutkan itu terjadi kepada saya sendiri semalam semasa sedang membeli keropok bersama rakan-rakan. Dalam kesibukan memilih keropok kami berpecah dan ketika itulah saya dikejutkan dengan tindakan seorang lelaki meletakkan sebentuk jam tangan ke dalam kocek baju saya. Dia terus menarik tangan saya dan membisik 'dua ratus' dengan muka serius.
Saya ambil jam itu dan beri balik kepada lelaki itu dengan baik dan mengatakan saya tiada duit. Ketika itu juga saya perhatikan terdapat seorang lagi lelaki sedang merenung saya tanpa berkelip dan memerhati gerak geri saya. Lelaki tadi terus mencuit bahu kanan saya dengan mulutnya terkumat kamit dan terus meminta RM200.00. Saya terus tolak tetapi kali ini dia terus letakkan tapak tangan di kocek baju saya dan meminta RM100.00.
Selepas melihat tindakannya semakin agresif saya beri RM100.00 dan tiba-tiba dia minta tambah RM50.00. Kalau tidak, dia minta balik jam tangan. Akhirnya saya beri RM50.00 dan dia terus meninggalkan saya. Selepas itu dia datang lagi menawarkan cermin mata dan saya terus mengatakan TIDAK dengan suara yang tinggi. Lelaki itu terus menghilangkan diri.
Mungkin ada yang mengalami pengalaman yang sama seperti saya sebelum ini. Saya berkongsi pengalaman ini untuk mengingatkan sesiapa sahaja yang berkunjung ke sini agar berhati-hati dan tidak bersendirian.
Gangguan penjual 'haram' ini sering berlaku sama ada menjual jam, telefon atau tali pinggang. Gangguan lain ialah 'peminta sedekah' yang tiba-tiba menghulurkan tangan sewaktu kita sedang membayar barangan.
Tempat ini cantik dan memberi peluang peniaga tempatan kuih muih hasil mereka dan diharap 'gangguan' seperti itu dapat dikurangkan dengan menempatkan lebih ramai pihak berkuasa seperti PDRM (mobile unit) dan penguatkuasa bandar raya.
Jika 'gangguan' seperti itu terus berleluasa tidak mustahil satu hari kelak pengunjung akan rasa takut untuk membeli ole-ole di situ.
Sumber 'Tiba-tiba dia terus letak sebentuk jam tangan dalam kocek dan minta bayar RM200'
Tags:
thereporter