Secara peribadinya, Presiden PKR itu memberitahu, selain kemenangan Pakatan Harapan, ia menyentuh perasaan apabila negara menuju era baharu hampir dengan hari pembebasan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat ini.
BACA: Anwar tidak dibebaskan hari ini ... 'it's just a matter of time' - Nurul Izzah
Malah pembentukan kerajaan baharu Malaysia ini juga ibarat mimpi menjadi kenyataan apabila perjuangan hampir 20 tahun lalu berbaloi.“Ini menandakan bermulanya era baharu Malaysia untuk masa hadapan yang lebih baik buat kita semua.
Sememangnya itulah yang apa kita harapkan selepas 20 tahun kami berusaha akhirnya ia menjadi kenyataan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi PH yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di Yayasan Al-Bukhary di sini, hari ini.
Pembentukan kerajaan baharu Malaysia di bawah Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai PKR, DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (AMANAH).
Ia turut dihadiri pemimpin utama PH iaitu Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Bagaimanapun, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak hadir kerana menghadap Sultan Johor bagi pelantikan Menteri Besar Johor.
Dalam sidang media malam tadi, Perdana Menteri memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V bersedia memberikan Pengampunan Diraja kepada Anwar.
Anwar menjalani hukuman lima tahun penjara bermula Februari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah atas sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Sumber 'Tidak sia-sia, perjuangan 20 tahun yang berbaloi' - Wan Azizah