Akademik: Di bawah JPM, dana program Permata mungkin lebih banyak

Teo Kok Seong berkata, pelaksanaan program Permata menjadi lebih profesional di bawah Kementerian Pendidikan berbanding JPM yang disifatkannya satu langkah politik.

Teo Kok Seong berkata, dana program Permata mungkin lebih terhad jika diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang ahli akademik berkata, program pendidikan awal Permata diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) sejak permulaan mungkin untuk memudahkan ia mendapat peruntukan diperlukan.

Datuk Dr Teo Kok Seong dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, dana mungkin lebih terhad jika program Permata diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan.

“Dahulu di bawah JPM, dana itu bersifat berasingan, hanya untuk agensi Permata Pintar itu dan saya kira dananya agak lumayan seperti jabatan-jabatan lain di bawah JPM atau agensi-agensi lain mereka mendapat peruntukan terus daripada perdana menteri.

“Sekarang, apabila diletakkan di bawah sebuah kementerian (dan) kementerian ada banyak agensi lain…pasti peruntukannya akan berkurangan dengan drastik sekali,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 30 Mei lalu yang program Permata lebih relevan diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan berbanding JPM.

Pada 22 Mei lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, program itu yang baik dalam membantu meningkatkan pembangunan dan kebajikan kanak-kanak, akan diteruskan tetapi perlu dikaji serta diaudit terlebih dahulu.

Program Permata yang mula dilaksanakan pada 2007 adalah cetusan idea isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor merangkumi Permata Negara, Permata Pintar, Permata Seni, Permata Insan, Perkasa Remaja dan Permata Kurnia.

Ia menumpukan usaha mendidik kanak-kanak di peringkat awal bagi mengembangkan potensi dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani, sosial dan komunikasi.

Teo bersetuju program Permata sepatutnya diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan sejak dahulu lagi memandangkan ia adalah program pendidikan awal kanak-kanak.

“Lebih wajar diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan sebab kementerian pasti ada orang-orang yang ada ilmu tentang pendidikan.

“Bagi saya, pelaksanaannya akan menjadi lebih profesional. Dahulunya ia diletakkan di bawah JPM, saya kira itu lebih kepada satu langkah politik.”

Katanya, pemindahan itu tidak akan menjejaskan program Permata.

“Selama ini pun pengendalian pendidikan itu dilakukan UKM di bawah Fakulti Pendidikan. Jadi, saya kira dari segi tahap profesionalismenya masih sama sebab orang yang sama akan mengendalikan Permata Pintar.”

Projek MRT 3 batal, Permata pindah ke Kementerian Pendidikan

Permata Rosmah diteruskan, tetapi harus diaudit, dikaji, kata Wan Azizah

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



Sumber Akademik: Di bawah JPM, dana program Permata mungkin lebih banyak

Post a Comment

Previous Post Next Post