Bekas orang kuat JASA, Tun Faisal bertanding MT UMNO

Bekas orang kuat Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Tun Faisal Ismail Aziz menawar diri untuk bertanding jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia bagi sesi 2018 - 2021.

Menurut bekas Exco Pemuda UMNO itu, beliau menawar diri selepas mengambil kira pandangan ahli dan penyokong parti.

Dalam satu kenyataannnya pada Selasa, Tun Faisal turut menyenaraikan enam ikrar sekiranya dipilih dan diberi kepercayaan oleh perwakilan parti.

Enam ikrar tersebut ialah memperkukuh perjuangan UMNO membela Agama, Bangsa, Rakyat dan Tanah Air.  

" (Akan) melaksanakan pengkaderan ahli, menyusun semula operasi media sosial untuk parti. Komited untuk berkerja keras untuk mengukuhkan dan memenangkan parti dalam PRU15

"Berani bersuara dan bertindak memantau kerajaan Pakatan Harapan sebagai pemimpin pembangkang. Mendedahkan kesalahan, penipuan dan kezaliman Pakatan pada setiap ruang yang tersedia

"Serta komited menggerakkan usaha menggantikan kerajaan sedia ada yang menipu rakyat dan tidak mengotakan janji dengan kerajaan yang benar-benar membela rakyat dan menunaikan janji," katanya.

Tambahnya lagi, selepas kekalahan mengejut Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, sekarang merupakan masa yang terbaik untuk melakukan perubahan strategik di dalam UMNO.

"Parti kita memerlukan pasukan baru di peringkat kebangsaan, negeri dan bahagian. Parti kita memerlukan sikap, budaya, pendekatan dan gerak kerja baru untuk mengembalikan sokongan ahli, penyokong dan rakyat. Bagaimanapun itu tidak bermaksud prinsip dan perjuangan UMNO juga mesti diubah," katanya.

Ujarnya lagi, UMNO tidak ditolak kerana perjuangannya membela Islam, institusi Raja-raja Melayu, orang Melayu dan rakyat Malaysia, tetapi kerana rakyat hilang kepercayaan terhadap sesetengah pemimpinnya di peringkat nasional, negeri dan bahagian serta dasar dan tindakan tertentu kerajaan yang dilihat rakyat sebagai membebankan mereka.

"Walaupun UMNO perlu berubah, tetapi UMNO tidak boleh diubah menjadi sebuah parti sosialis dan menyokong fahaman liberalisme dan sekularisme semata-mata untuk mendapat undi," katanya.-12/6/2018



Sumber Bekas orang kuat JASA, Tun Faisal bertanding MT UMNO

Post a Comment

Previous Post Next Post