Memarahi anak adalah tindakan awal yang biasa dilakukan oleh kebanyakan ibu ayah apabila anak melakukan kesalahan. Ia tindakan yang normal tetapi usahlah berlebih-lebihan apabila memarahi anak kerana bimbang bila terlajak kata ia bertukar menjadi doa.
Kata-kata ibu bapa adalah doa yang makbul. Setiap perkataan yang keluar daripada lidah ibu bapa adalah doa untuk anaknya. Jangan sesekali menyebut perkataan-perkataan negatif kepada anak. Sebaliknya, tuturkan kata-kata yang baik-baik sahaja. Jadikannya sebagai kata-kata psikologi berbalik kepada anak yang dimarahi.
Semoga perkongsian dari Bijen Mohd ini bermanfaat untuk kita semua.
ADA satu hari itu saya hantar gambar Aisya yang sedang berada di dalam baby cot kepada WhatsApp group keluarga berserta kapsyen dengan nada bergurau senda. Sekali mak saya terus tegur perbuatan saya itu. Dia meminta saya cakap yang baik-baik saja dengan anak, tarik balik kata-kata yang saya cakapkan itu dan saya disuruh meminta maaf balik dengan Aisya.
Aiyak! Serius pula mak saya ini. Saya balas mesej itu dengan emoticon saja, tak mampu nak cakap apa-apa. Hehehe!
Apabila masuk bulan Ramadhan ini, terbeleklah kitab Fadhilat Ramadhan. Dalam hadith ke-6 bab Kelebihan Ramadhan, Maulana Zakariyya mensyarahkan berkenaan satu penyakit yang sering terjadi di kalangan kita khasnya wanita. Dalam keadaan marah dan runsing, kita terbiasa mendoakan keburukan untuk anak-anak dan orang lain.
Di sisi Allah SWT, ada sesetengah waktu yang khusus untuk penerimaan doa. Akibat kejahilan kita, kita tidak pernah terfikir dalam tak sedar musibah yang menimpa anak kita pada hari ini adalah perkara yang kita sendiri telah minta dalam doa kita.
Wahai ibu bapa, kita mungkin penat bekerja dan berpuasa. Balik rumah nak kena sambung memasak lagi untuk berbuka. Selepas itu, bekejaran untuk solat tarawih pula. Balik masjid, sambung mengemas di dapur. Keesokan paginya bangun awal untuk sediakan sahur. Itu belum lagi ibu yang menyusukan anak sampai tak cukup tidur.
Jujurnya dalam bulan Ramadhan, kita banyak kehilangan tenaga. Kadang-kadang kesabaran kita diduga. Akibat perubahan jadual waktu di bulan puasa, perangai anak-anak jadi semakin mengada-ngada.
Lalu kita pun teremosi sehingga terlepas dalam berkata-kata di saat menegur mereka. Walhal kita tidak pernah pun sesekali memaksudkannya.
Namun kawan, di bulan ini bulan Ramadhan. Setiap waktu amat berharga yang doanya Allah kabulkan. Takut silap haribulan, 'doa' kita kepada anak yang tak pernah disangka-sangka itu Allah perkenankan. Sesallah kita di kemudian hari.
Moga-moga di bulan ini kita banyakkan berdoa agar Allah SWT memelihara lisan kita. Agar yang sentiasa keluar adalah yang baik-baik sahaja. Mohon juga agar diberi kesabaran menempuh dugaan dari-Nya. Sentiasa senyum dalam semua perkara.
"Ya Allah kurniakanlah kepada kami lisan yang lembut basah mengingati dan menyebut nama-Mu, hati yang segar mensyukuri nikmat-Mu, serta badan yang ringan menyempurnakaan ketaatan kepada Mu. Amin."
Sumber 'Hidup sebagai banduan kerana kebuasan yang tak terkawal' - Niat bapa mahu bergurau, namun ditegur oleh ibunya
Tags:
thereporter