Najib harap kerajaan tak batal projek manafaat rakyat cuma nak padam legasinya...

Satu laporan media antarabangsa dua hari lalu menyebut, sejak memenangi PRU14, kerajaan Pakatan Harapan telah mengarahkan kesemua poster dan papan tanda dengan slogan ‘1Malaysia’ perlu diturunkan manakala perpustakaan kerajaan diminta tidak meletakkan buku yang ada menyebut tentang saya.
 
Laporan ini turut menyebut bangunan Exchange 106 di Tun Razak Exchange (TRX), yang lebih tinggi dari bangunan berkembar KLCC, terlepas dari pembatalan berikutan pembinaannya semakin hampir siap.
 
Turut bernasib baik adalah projek infrastruktur awam yang memanfaatkan berpuluh juta rakyat seperti sambungan LRT1 dan LRT2, KLIA2, jambatan kedua Pulau Pinang, MRT1 & MRT2, puluhan UTC, RTC, Lebuhraya Pan Borneo, Central Spine Road (CSR), projek yang sudah disiapkan atau pada peringkat terakhir untuk siap. Jika tidak, kerajaan Pakatan mungkin akan turut membatalkan projek-projek rakyat ini.
 
Saya tidak kisah jika kerajaan Pakatan Harapan berusaha untuk memadamkan segala legasi ditinggalkan sepanjang sembilan tahun saya sebagai perdana menteri. Namun, kerajaan perlu lebih telus dan lebih bertimbang rasa apabila mereka mula membatalkan pelbagai projek atau inisiatif yang dimulakan untuk manfaat rakyat dan negara, hanya kerana mahu memadamkan legasi saya atau mempunyai persepsi, ia dimulakan oleh saya, lantas ia perlu dihenti atau dipadamkan.
 
Dalam tempoh dua minggu, kerajaan Pakatan Harapan sudah membatalkan projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura dan MRT3 di sebalik kajian yang dilakukan mengambil masa bertahun-tahun yang menunjukkan manfaat ekonomi melampaui kos pembinaannya. Projek MRT3 juga diperlukan bagi memperlengkapkan jaringan bagi mewujudkan sistem pengangkutan awam yang lebih berintegrasi di Lembah Klang dan tanpanya, Lembah Klang akan terus berdepan dengan peningkatan masalah kesesakan jalan raya.
 
Satu lagi projek yang mahu dibatalkan oleh perdana menteri dua hari lalu ialah Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sangat diperlukan bagi pembangunan jajaran pantai timur Malaysia.
 
Biarpun Fasa 1 projek ini bagi Gombak hingga Kota Bahru sudah melepasi status 20 peratus siap dan pembatalannya akan menyebabkan kos RM22 bilion, kerajaan Pakatan Harapan tetap mahu membatalkannya atau menangguhkan projek ini.
 
Saya juga difahamkan, pembayaran pembinaan bagi projek ECRL ini adalah berdasarkan kepada pencapaian pembinaan dan bukan bersandarkan kepada tempoh masa sebagaimana didakwa kerajaan Pakatan Harapan. Bagaimanapun, itu tidak menghentikan Pakatan Harapan untuk menggunakan maklumat tidak betul itu sebagai alasan untuk membatalkan projek bermanfaat kepada rakyat ini.
 
Tidakkah siapa sedar yang tiga negeri yang bakal menerima manfaat paling banyak daripada ECRL ini iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang, adalah negeri yang bukan di bawah kerajaan Pakatan Harapan.
 
Adakah ini satu kesinambungan daripada amalan menghukum negeri pembangkang sebagaimana dilakukan Mahathir ketika menjadi perdana menteri selama 22 tahun apabila Kelantan dinafikan kemudahan asas rakyat seperti lebuhraya, jalan raya, bekalan air dan pembangunan infrastruktur pembetungan?
 
Ketika pentadbiran saya...
 
Ketika saya sebagai perdana menteri, saya telah memastikan kesemua negeri, tidak kira negeri di bawah pembangkang sekalipun, menerima pembangunan infrastruktur asas untuk manfaat rakyat.
 
Sebab itu, kerajaan persekutuan pada ketika pentadbiran saya telah menyalurkan berpuluh bilion ringgit bagi membantu penstrukturan bekalan air di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.
 
Berikutan Kelantan agak ketinggalan dari segi pembangunan berbanding negeri lain, saya juga telah memastikan Kelantan menerima lebih banyak dana pembangunan bagi manfaat rakyat dan projek menaiktaraf lebuhraya, bekalan air dan infrastruktur pembetungan. Lebuh raya CSR yang tidak dikenakan tol yang sebahagian besarnya sudah dibuka kepada pengguna adalah salah satu contoh.
 
Kerajaan Pakatan Harapan sudah diberi mandat untuk mentadbir, maka adalah menjadi hak mereka untuk memadamkan legasi saya atau menghukum negeri pembangkang dengan membatalkan projek bermanfaat untuk rakyat namun saya menggesa kerajaan hari ini, jika mahu membuat pembatalan projek bermanfaat kepada rakyat ini, ia perlu dilakukan melalui cara yang telus dan penelitian yang terperinci dengan mendapatkan pendapat rakyat.
 
Sekali lagi, saya menggesa kerajaan Pakatan Harapan untuk mendedahkan laporan impak ekonomi dan kajian kebolehlaksanaan bagi kesemua projek manfaat rakyat ini untuk diakses rakyat.
 
Kerajaan tidak seharusnya membatalkan projek atas motif yang salah atau memberi alasan sebagaimana mereka lakukan pada kenyataan mengenai hutang negara yang tidak tepat, tetapi mereka juga perlu mengambil kira pembangunan positif ekonomi, peluang pekerjaan yang akan hilang serta manfaat buat rakyat yang akan disumbang projek ini untuk negara.
 
DATUK SERI NAJIB RAZAK.
8/6/2018
 
 
 
 
 
 
 


Sumber Najib harap kerajaan tak batal projek manafaat rakyat cuma nak padam legasinya...

Post a Comment

Previous Post Next Post