Najib nak lari ke Kazakhstan ikut Langkawi... mengarut kata polis

Penyokong pembangkang tak habis-habis lagi dok semai kebencian dan hancurkan imej bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak walaupun sudah lebih 40 hari PRU14 tamat.

Saban hari ada saja berita buruk yang disebarkan mengenai Najib dan ahli keluarganya, sehingga percutian beliau di Langkawi pun hendak dibuat cerita.

Berikutan itu, polis menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi kononnya percutian Najib dan keluarga ke Langkawi kerana hendak melarikan diri.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, penyebaran berita seperti itu tidak patut berlaku kerana hanya akan menimbulkan kegusaran kepada orang ramai serta memberi tekanan yang tidak sepatutnya.

Jelasnya, pihak polis sedia maklum mengenai kedatangan bekas perdana menteri itu ke pulau pelancongan berkenaan untuk bercuti bersama keluarga.

“Beliau (Najib) datang ke Langkawi hanya untuk bercuti bersama keluarga dan ada bertemu dengan bekas Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah) serta pemimpin lain.

“Bagaimanapun ia hanya perjumpaan biasa dan bukannya diadakan mesyuarat sebaliknya beliau sudah dua hari bermain golf di pulau itu,” katanya seperti dipetik BH Online.

Tambah Zainal, pegawai keselamatan Ahli Parlimen Pekan itu juga berada bersamanya sepanjang bercuti di pulau Langkawi.

Dakwaan liar kononnya Najib dan Rosmah ingin melarikan diri ke Myanmar melalui pulau peranginan berkenaan sebelum ke China dan seterusnya ke Almaty, Kazakhstan berjumpa mentua anak perempuannya tular di media sosial.

Ini selepas seorang pengguna media sosial mendakwa melihat Najib dan keluarganya membawa 30 beg bagasi besar di lapangan terbang sebelum ke Langkawi.

Malah, pengguna media sosial di Twitter juga menimbulkan spekulasi bahawa Najib dan isterinya pergi ke Langkawi supaya mudah untuk mereka melepaskan diri ke Thailand.

Dakwaan tidak berakal itu juga meyebabkan ada pengguna Facebook yang meminta pihak polis serta imigresen memantau pergerakan Najib kerana khuatir beliau akan melarikan diri ke luar negara.

Terdahulu, lapor Malay Mail, jabatan imigresen juga menyangkal dakwaan Najib Rosmah cuba melarikan diri ke Thailand melalui Langkawi.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali mengesahkan mereka masih berada dalam negara dan dilarang ke luar negara.

Katanya, ketibaan Najib dan Rosmah di pulau berkenaan telah disahkan Pengarah Imigresen Kedah, Zuhair Jamaludin dan mereka menginap di Hotel St. Regis, Langkawi.

Najib yang masih dalam siasatan pihak berkuasa berhubung skandal 1MDB dan beberapa kes berkaitan dilarang ke luar negara sejak Barisan Nasional tewas pada pilihan raya umum lalu.-18/6/2018



Sumber Najib nak lari ke Kazakhstan ikut Langkawi... mengarut kata polis

Post a Comment

Previous Post Next Post