Polis selesai siasatan kes penjualan tanah FELDA

Isu perjualan tanah FELDA di Jalan Semarak yang mendapat liputan meluas sebelum PRU14 telah selesai disiasat oleh pihak polis dan kini diserahkan ke pejabat pendakwa raya untuk tindakan susulan.

Isu tersebut mendapat perhatian khusus bekas Pengerusi FELDA Tan Sri Shahril Samad dan menyaksikan beberapa bekas kakitangan agensi tersebut disiasat polis dan SPRM.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, polis telah menyiapkan siasatan dan menyerahkan kertas siasatan berkenaan kepada pejabat pendakwa raya untuk tindakan susulan.

”Ya, kita sudah serahkannya kepada DPP (pendakwa raya),” katanya dipetik akhbar Sinar Harian.

Mac lalu, Felda secara rasmi memperoleh kembali 17 lot tanahnya bernilai RM270 juta di Jalan Semarak yang didaftarkan atas nama Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) secara berperingkat.

Susulan itu, satu Jawatankuasa Khas Rundingan dibentuk 8 Februari lalu bagi memulakan rundingan penambahbaikan syarat Perjanjian Pembangunan 24 lot tanah dengan SPSB.

Kontroversi membabitkan tanah Felda tercetus selepas laporan media mendedahkan, Felda berisiko kehilangan tanah miliknya bernilai RM270 juta di Jalan Semarak bagi tujuan pembangunan KLVC menerusi transaksi pindah milik yang diragui sejak 2015.

Media melaporkan, pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh (full power of attorney) bagi membangunkan projek KLVC.-18/6/2018



Sumber Polis selesai siasatan kes penjualan tanah FELDA

Post a Comment

Previous Post Next Post