Ia susulan kenyataan badan anti rasuah itu yang mengarahkan beliau hadir pada pagi ini untuk dirakamkan keterangan berhubung perkara berkenaan.
Rosmah tiba di SPRM jam 10.43 pagi dengan menaiki kenderaan Mercedez selepas bertolak dari kediamannya di Taman Duta, Kuala Lumpur, tanpa kehadiran polis pengiring.
Selain kehadiran wakil media dalam jumlah yang ramai, turut kelihatan anggota polis yang mengawal ketat perkarangan bangunan.
Rosmah, berbaju kurung biru dengan bunga hijau dan merah serta bertudung merah, membawa tas tangan merah, ditemani anaknya Nooryana Najwa dan menantu, berjalan pantas masuk ke dalam bangunan.Mereka turut disertai peguam kanan, K Kumaraendran dan Geethan Ram Vincent.
Difahamkan, Rosmah akan memberi keterangan kepada pegawai SPRM di bilik soal siasat.
Sebelum ini, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Siasatan 1MDB untuk menjalankan siasatan terperinci, pengesanan dan penyitaan aset serta pendakwaan terhadap individu yang melakukan apa-apa kesalahan jenayah dalam pengurusan 1MDB.
SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.
Sumber Rosmah datang SPRM bawa beg tangan merah