UMNO kesal perutusan PM berbaur politik kebencian...

UMNO menyuarakan kekesalan dengan perutusan Aidilfitri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang disifatkan berbaur politik dan cuba menghasut rakyat membenci parti itu dan Barisan Nasional (BN).
 
Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO, dalam kenyataannya berkata, berbanding perutusan khas titah Yang di-Pertuan, Agong Sultan Muhammad V, yang menyentuh pentingnya institusi diraja dipertahankan, Dr Mahathir sebaliknya masih mempertahankan pembohongan mengenai hutang negara dan bencinya kepada kerajaan terdahulu.
 
Katanya, Dr Mahathir seolah-olah menunjukkan dirinya seorang yang suci umpama wali Allah apabila beliau menyebut mengenai kemurnian Aidilfitri serta ajaran Allah, tetapi dalam masa sama membangkitkan perasaan benci melulu terhadap BN dan UMNO.
 
“UMNO terkilan dengan sifat sedemikian. Perutusan itu sepatutnya digunakan untuk perpaduan nasional, saling bermaaf-maafan dan nada kegembiraan.
 
“Bagaimanapun, Dr Mahathir menggunakan kesempatan itu untuk menyalahkan kerajaan terdahulu dan memuji kerajaan (diterajui) Pakatan Harapan (PH) yang baru lebih sebulan berkuasa ini sebagai ‘perfect’ atau sempurna serta tidak akan membuat kesilapan,” katanya dalam kenyataan itu.
 
Menurut kenyataan itu, UMNO sebaliknya menjunjung kasih ke atas Yang di-Pertuan Agong kerana meminta rakyat menjaga Institusi Raja Berperlembagaan sebagai penyelamat jika berlaku sesuatu masalah besar kepada negara.
 
Kenyataan itu turut mempersoalkan Dr Mahathir dan Kabinetnya sama ada mereka sedar keputusan Yang di-Pertuan Agong tidak mengadakan rumah terbuka di Istana Negara sebagai tanda baginda ‘jauh hati’ apabila pentadbiran PH mempersoalkan kos perbelanjaan diraja.
 
“Bagaimana pula perasaan Dr Mahathir sendiri yang mengadakan rumah terbuka secara besar-besaran, sedangkan tradisi rumah terbuka Istana Negara tidak dipandang berat oleh kerajaan?” katanya.
 
Beliau berkata, Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tidak langsung menyentuh perkara politik dalam perutusan Aidilfitri beliau, sebaliknya menyatakan Aidilfitri patut digunakan sebagai perayaan untuk perpaduan ummah.-16/6/2018
 
 


Sumber UMNO kesal perutusan PM berbaur politik kebencian...

Post a Comment

Previous Post Next Post