Syarikat Ubisoft rajin keluarkan game Assassin’s Creed terutamanya game terbaru yang bakal dilancarkan pada tahun hadapan iaitu Assassin’s Creed Odyssey setelah pengeluaran game Assassin’s Creed Origin. Ingatkah kalian bahawa sebelum kedua-dua game itu dikeluarkan, pada tahun 2016 ada filem adaptasi dari video game ini juga bernama Assassin’s Creed?
Filem arahan Justin Kurzel ini mengisahkan Callum Lynch, penjenayah yang diselamatkan oleh syarikat Abstergo dari dihukum mati. Syarikat Abstergo adalah syarikat penyelidikan, yang sebenarnya adalah organisasi terbaru Templar, bagi mencari Apple of Eden, artifak yang mampu mengawal minda manusia, untuk kegunaan Templar bagi menguasai dunia. Dr. Sophia Rikkin, ketua penyelidikan Abstergo, memberitahu Callum bahawa dia adalah generasi terakhir dari keturunan Aguilar de Nerha, Assassin dari zaman kejatuhan kerajaan Islam Sepanyol, 1492. Dr. Sophia kemudian meminta pertolongan dari Callum bagi menggunakan Animus, mesin yang membolehkan subjek memasuki memori moyangnya melalui DNA, bagi mencari lokasi sebenar Apple of Eden.
Secara peribadi, saya berpuas hati bagi kesemua elemen yang wujud dalam filem Assassin’s Creed dan pada waktu yang sama agak tidak berpuas hati. Rating filem ini sekitar 6.8/10 dari IMDB. Rating yang mengecewakan dan banyak kritikan negatif dari para penonton khususnya peminat game Assassin’s Creed atas faktor tertentu:
1. Callum yang tidak berjiwa Assassin
Callum pada awalnya dia tidak tahu bahawa dia adalah generasi Assassin terakhir sehingga Dr. Sophia memberitahunya. Callum tidak memahami hakikat di depan matanya kerana berdendam terhadap ayahnya yang membunuh arwah ibu ketika dia masih kanak-kanak. Generasi Assassin lain yang terperangkap dalam Abstergo menasihati Callum supaya berhenti menjadi subjek Animus namun Callum tidak peduli. Kerana dendam, Callum bersubahat dengan Abstergo untuk menemui Apple of Eden dan hapuskan generasi Assassin.
Setelah Abstergo menemui lokasi sebenar Apple of Eden, arwah ibunya muncul dalam Animus dan memberitahu hal sebenar kepada Callum. Kemudian Callum seakan mendapat jiwa Assassin dan melakukan rusuhan bersama generasi Assassin lain dalam syarikat Abstergo dan membunuh Alan Rikki, ayah Dr. Sophia bagi merampas kembali Apple of Eden.
Perwatakan Callum (bagi peminat game bersiri) amat bertentangan dengan watak protagonis iaitu Desmond dalam game Assassin’s Creed (AC), AC 2, AC: Brotherhood dan AC: Revelation. Desmond menyedari bahawa dia adalah generasi Assassin terakhir dari keturunan Altair, Assassin dari zaman Perang Salib dan dia tidak tahu bahawa keturunannya adalah penjaga Apple of Eden. Jadi, dia berusaha mencari lokasi Apple of Eden bersama sahabatnya yang lain untuk melindungi artifak itu dari ancaman Abstergo.
Melihat Desmond yang lebih berjiwa Assassin dari Callum, membuatkan Callum adalah watak protagonis yang gagal menyedari hakikat sebenar dirinya.
2. Generasi Assassin adalah generasi ‘gagal’
Berbalik kepada game bersiri, Desmond dalam AC 2 telah bebas dari cengkaman Abstergo dan ditemui oleh sekumpulan anak muda berdarah Assassin. Kumpulan anak muda ini menyedari Desmond adalah keturunan Assassin terbaik dalam misi mencari Apple of Eden. Kemudian Desmond menyertai kumpulan tersebut untuk membantu mereka mencapai misi pencarian. Ternyata dalam game bersiri telah ada organisasi Assassin muda, membawa visi moyang mereka, yang berusaha menghalang cita-cita Templar menguasai dunia.
Berlainan dengan generasi Assassin dalam filem Assassin’s Creed. Callum dilihat sebagai generasi Assassin terakhir dalam misi mencari Apple of Eden. Generasi Assassin lain dilihat ‘dikurung’ oleh Abstergo dan tidak ada usaha untuk bebaskan diri dan menentang walaupun mereka tahu bahawa musuh tradisi mereka sedang melaksanakan impian buruk. Apabila Callum ditemui sebagai calon sesuai untuk mencari Apple of Eden, barulah generasi Assassin lain memulakan gerakan merusuh setelah artifak itu ditemui dan tubuhlah organisasi Assassin baru yang terdiri dari Callum dan dua sahabat seperjuangannya.
Penonton akan nampak bahawa generasi terakhir Assassin dalam filem adalah generasi tidak mengambil peranan yang serius sebagai penjaga Apple of Eden. Jika dibandingkan antara usaha Assassin dan Templar dalam filem, Templar nampak lebih konsisten dalam mencapai misi menguasai dunia.
Dua faktor inilah penyebab mengapa filem Assassin’s Creed mendapat kritikan negatif dari para penonton (khususnya para peminat game bersiri). Walau bagaimanapun, Saya telah menemui sesuatu yang menarik dalam perwatakan Dr. Sophia sendiri, yang mana perwatakannya berlawan dengan kedudukannya sebagai musuh kepada Assassin.
3. Memanfaatkan sains dan teknologi untuk Absolute Peace
Animus adalah mesin ciptaan Dr. Sophia, bertujuan untuk mencari Apple of Eden dari memori generasi terakhir Assassin, bukan sebagai alat untuk menguasai umat manusia seperti Templar inginkan. Dr. Sophia bercadang, secara peribadi, menggunakan Apple of Eden untuk mencapai keamanan yang mutlak (absolute peace) tanpa perang dan persengketaan dari Assassin dan Templar. Jadi Dr. Sophia memanfaatkan ilmu sains dan teknologi yang ada untuk mencapai keamanan yang dia impikan.
Malang tak berbau, dari tindakan sucinya, dia menyesal kerana ayahnya, Alan tetap mencapai impian Templar dan Dr. Sophia gagal mencapai keamanan yang mutlak yang dia inginkan. Kesimpulannya, keamanan sebegitu boleh dicapai dengan sains dan teknologi tetapi di mana ada usaha kebaikan, di situ juga muncul usaha kejahatan untuk kepentingan individu atau organisasi. Lagipun mustahil bagi manusia untuk mencapai keamanan yang kekal abadi kerana sejarah telah mengajar kita bahawa jika hendak keamanan dunia tanpa sebarang konflik, peperangan saja jawapannya.
Ini saja ulasan saya mengenai filem Assassin’s Creed. Walaupun mendapat kritikan yang mengecewakan, namun Justin Kurzel tetap meneruskan pembikinan filem Assassin’s Creed seterusnya. Pertama, sambungan dari filem pertama dan kedua, pertembungan Assassin dan Templar di zaman Perang Dingin.
Pengajaran?
Kritikan negatif dari penonton biasanya melalui kekecewaan mereka kerana mengharapkan filem ini seiras dengan plot dalam game. Tapi pengarah dan producer inginkan elemen yang berlainan sepanjang mereka membikin filem ini. Jadi, terpulang kepada cita rasa kita terhadap filem kita tonton. Tambahan pula, kebiasaannya filem sebegini mendapat rating rendah kerana filem adaptasi game/anime melanggar jangkaan para peminat.
Saya tidak tahu kalau ada moral yang boleh dipelajari melalui filem ini sebab filem ini cuma usaha Fassbender (pemegang watak Callum dan producer) untuk hidupkan legasi Assassin’s Creed setelah lama game Assassin’s Creed lama bertapak di hati para gamers.
Rasanya, setelah kita semua menonton, adakah filem adaptasi ini suatu kegagalan?