Hidupan alam semulajadi sentiasa beradaptasi dengan situasi persekitarannya untuk terus hidup dan membiak dengan jaya-nya. Kesan dari ‘survival instinct’ ini, mendorong hidupan untuk melakukan apa sahaja termasuklah membunuh hidupan yang lain.
Tetapi, tentang apa yang dilakukan oleh sejenis kulat untuk memastikan kemandirian spesis nya telah mengejutkan para saintis. Kulat tersebut ibarat seorang dalang didalam persembahan wayang kulit, mengawal tubuh mangsanya iaitu semut dan menyebabkan semut tersebut tidak lagi mempunyai ‘keinginan sendiri’ dan hanya mengikuti ‘arahan’ yang diberikan kulat tersebut, seakan-akan zombi.
🌟Sejarah Penemuan Kulat O.unilateralis:
Kulat yang menjadi ‘protagonis’ didalam artikel ini, adalah dari spesis Ophiocordyceps unilateralis.
Kulat ini pertama kali dijumpai oleh ahli biologi dari England, Alfred Russel Wallace pada tahun 1859. Rekod yang menunjukkan penemuan “Zombie-ant-fungus” ini berdasarkan dua spesimen semut yang dijumpai Wallace di Sulawesi, Indonesia. (Haa, nak claim ke tu?).
Selain itu, Wallace turut menemui lebih banyak spesimen dari eksplorasi beliau ke hutan Amazon di Brazil, malangnya kapal yang membawa spesimen tersebut, terbakar dan karam di lautan menuju ke England.
ℹ Funfact: Wallace pernah berbalas surat dengan Charles Darwin membahaskan tentang teori evolusi. Wallace juga pernah menjejakkan kaki ke Kepulauan Melayu (Malay Archipelago) pada tahun 1854 hingga 1862 bagi menjalankan kajian, dan mengumpul spesimen.
🌟 Mengenali mangsa: Semut
Bukan semua spesis semut menjadi mangsa kepada kulat tersebut, hanya beberapa spesis sahaja iaitu semut dari spesis Camponotus, yang diberi jolokan Semut Carpenter.
Diberi jolokan ‘carpenter’ iaitu bahasa inggeris bagi tukang kayu adalah kerana semut tersebut mendiami di dalam pokok serta berada di atas kanopi pokok tinggi. Semut ini, banyak didapati di hutan beriklim tropika.
⚠Mengapa hanya semut yang menjadi mangsa dan bukannya haiwan lain?
Ini kerana, semut merupakan hidupan yang ‘berjaya’ memastikan kemandirian spesisnya, berikutan jumlah semut yang terlalu banyak.
Jumlah biojisim (biomass) semut merangkumi hampir separuh daripada keseluruhan biojisim serangga seluruh dunia. Menyebabkan ia mangsa yang sesuai bagi menjamin kemandirian spesis kulat tersebut.
*Biojisim= berat keseluruhan sesuatu hidupan didalam sesebuah kawasan/habitat.
🌟 Bagaimana kulat menjangkiti semut & Proses-proses yang berlaku setelah semut dijangkiti kulat.
Diketahui umum bahawa semut mempunyai hierarki didalam koloni nya. Ia terbahagi kepada 3 iaitu ratu, semut tentera, dan pekerja. Ratu semut tugasnya menghasilkan telur. Manakala pekerja akan mencari makanan di lantai hutan sambil dijaga oleh semut tentera.
Berbalik kepada artikel, semut pekerja yang sedang mencari makanan di lantai hutan, terdedah kepada spora kulat tersebut. Spora itu kemudian bertindak merembeskan enzim yang mendedahkan bahagian dalam semut itu. Perkara ini menyebabkan kulat bertindak menanamkan diri dan hidup di dalam badan semut. Untuk beberapa ketika, kulat tersebut akan terus membesar dari dalam rangka semut.
Apabila kulat telah mencapai tahap untuk membiak, ia akan ‘mengarahkan’ semut untuk turun dari kanopi pokok yang kering tersebut, untuk ke kawasan lembap dan suhu yang sesuai berhampiran lantai hutan. Ia bagi menjamin pertumbuhan sihat kulat tersebut.
⚠Soalan ini mungkin bermain di fikiran anda; Bagaimana kulat mengawal pergerakan semut tersebut?
Seperti yang kita tahu, segala pergerakan dikawal oleh otak melalui isyarat elektrik yang dihantar ke otot. Akan tetapi, ia berlainan bagi kulat ini berdasarkan kajian yang dibuat.
Dibawah pemerhatian mikroskop elektron (mikroskop terbesar dan tercanggih), ke atas rangka semut yang telah mati akibat jangkitan kulat ini, didapati bahawa otak semut tidak diganggu kulat dan hanya anggota badan serta organ tidak penting sahaja dikawal. Mengapa bukan otak? Ia supaya semut terus kekal hidup lama walaupun telah dijangkiti, sehingga tempoh untuk kulat membiak.
Saintis berpendapat bahawa kulat tersebut merembeskan toksin neuron (saraf) yang berupaya mengawal saraf serta otot anggota badan semut tersebut untuk mengikut kehendaknya.
Berdasarkan pemerhatian, keadaan semut ketika dikawal @ menjadi zombi ini seperti orang yang mabuk todi. Jalannya tersengguk-sengguk serta adakalanya berjalan dalam bulatan. (kesian si semut).
Seakan-akan ‘diprogram’, setelah semut tiba di kawasan lembap, kira-kira 25 sentimeter dari lantai hutan, semut kemudian akan berjalan menuju ke bahagian bawah daun dan akan menghadap ke arah utara daun tersebut.
Kemudian, tepat pada waktu tengahari, semut tersebut akan menggunakan mandibel (rahangnya) untuk menggigit urat utama daun sehinggakan mandibelnya tertutup rapat. Para saintis memberi gelaran kepada perbuatan ini (lockjaw). Ia dilakukan sebegitu supaya semut tersebut tidak jatuh ke lantai hutan bagi menjamin perlepasan spora kulat baru berlaku dengan berjaya.⚠ Bagaimana ia berlaku tepat pada tengahari setiap kali?
Saintis berpendapat bahawa genetik kulat memainkan peranan di dalam hal ini. Informasi telah ‘diprogram’ kedalam urutan genetik kulat tersebut memberinya ‘panduan’.
Selepas gigitan terakhir semut itu, 3-6 jam kemudian, tamat lah riwayat seekor semut yang menjadi mangsa kulat.
🌟 Pembiakan kulat
Selepas sekurang-kurangnya 3 hari kematian semut, batang utama kulat yang dipanggil stroma dan hifa (hyphae) kulat akan mula tumbuh melalui bahagian belakang kepala semut itu.
Ketika itu, bahagian penting kulat iaitu akarnya, masih berada didalam rangka semut untuk melindunginya. Kulat akan menghadam kesemua organ dalaman semut, bagi membekalkan nutrien untuk kulat terus membesar.
Setelah matang sepenuhnya, kulat akan melepaskan spora baru ke lantai hutan. Menanti semut yang baru untuk menjadi mangsa kawalannya.
Anggaran kawasan taburan spora kulat tersebut adalah sekitar 10 kaki persegi dari tempat perlepasan spora. Ia boleh diibaratkan sebagai jerangkap samar atau lapangan periuk api bagi semut yang kurang bernasib baik.
Rujukan:
Harmon, Katherine. (2009). Fungus Makes Zombie Ants Do All the Work. The Sciences. https://www.scientificamerican.com/article/fungus-makes-zombie-ants/
Sample, Ian. (2011). Fungi that create ‘zombie ants’ discovered in Brazilian jungle. The Guardian. https://amp.theguardian.com/science/2011/mar/02/fungi-zombie-ants-amazon
Andrews, Robin. (2017). That Mind-Controlling Zombie Ant Fungus Is Even Creepier Than We Thought. http://www.iflscience.com/plants-and-animals/mindcontrolling-zombie-ant-fungus-creepier-thought/
Pinzone, Philip. (2017). New fossil suggests ‘zombie ants’ were around 48 million years ago. Forest Floor Narative.
Zachos, Elaina. (2017). See What’s Controlling These Zombie Ants. National Geographic. https://relay.nationalgeographic.com/proxy/distribution/public/amp/2017/11/controlling-zombie-ants-fungus-spd