Ratu Hijau Dan Kerajaan Melayu Patani Menurut Ejen Mahkota Sepanyol

Jacques de Courte menyatakan pada tahun 1595 dia melintasi Ligor dan melihat sebuah menara ‘alcorane’ iaitu masjid yang besar di samping sebuah biara. Pada tahun 1602 beliau berlabuh di Patani dan sempat melihat Raja Hijau dan salah seorang adindanya barangkali Raja Biru yang duduk di sebalik tirai tembus di istananya. Raja Hijau telah mengirim kepada Gabenor Melaka sepucuk surat balas dan menganugerahkan sebuah kapal layar dan bekalan hadiah lain seperti beras dan ayam kambing untuk digunakan di sepanjang perjalanan pulang.

De Courte sempat bersahabat dengan Che’ Tangan seorang nakhoda wanita yang menjadi ejen perdagangan Raja Hijau ke Johor dan Pahang. Beliau merupakan seorang wanita bangsawan yang dihormati masyarakat dan mempunyai ramai saudara mara di Patani yang bertugas sebagai nakhoda atau pembesar pembesar istana. Masalah utama Patani pada waktu itu adalah pergaduhan dan pertumpahan darah yang dicetuskan antara dua kuasa berseteru Belanda dan Kastilan menyebabkan suasana agak tidak tenteram.

Agak menjengkelkan apabila budi bahasa orang Patani menerima sesiapa sahaja yang berlabuh ingin berdagang di negeri mereka tidak dihargai orang Eropah yang tamak dan suka bergaduh membawa budaya feudal kebenuaan tanah besar Eropah. Mereka seolah olah tidak dapat menghormati adat budaya dan kemakmuran sedia ada yang wujud di negeri negeri Islam yang terkenal mengamalkan aturan pasaran bebas. De Courte sendiri dalam satu peristiwa hampir dibunuh pada satu malam oleh askar askar Belanda namun beliau sempat diselamatkan oleh Che Tangan dan beberapa ratus ahli keluarga dan orang kampungnya sebelum beliau mengamanahkan saudaranya yang bernama Nakhoda Kemasik(Quevasse) untuk membawa De Courte keluar ke Melaka.

Setelah berlayar beberapa hari anak anak kapal Nakhoda Kemasik cuba meninggalkan beliau keseorangan di Pulau Redang kerana tidak percayakannya sebagai orang putih yang terkenal suka berkhianat namun setelah dipujuk oleh nakhoda mereka mengambil beliau kembali dan sebagai tanda meminta maaf kelasi kelasi Patani itu menjamu De Courte dengan sebuah jamuan mewah nasi yang diberi lauk ayam dihidangkan di atas sebuah meja. Pelayaran disambung sehingga mereka terlihat sebuah kapal perang Peringgi milik Fransesco de Silva de Menes dan kapal Patani itu masuk berlindung ke kuala Sungai Johor. Mereka memberi alasan berhenti sebentar berhampiran Johor Lama untuk mengambil bekalan kayu. Dari situ mereka melepaskan beliau untuk pergi sendiri ke Melaka dan orang orang tersebut mudik naik ke Johor Baru atau kota Batu Sawar yang diperintah Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Syah atau Sultan Alauddin Riayat Syah III.

Dalam gambar di bawah ini kita dapat melihat Raja Hijau duduk di atas gajah yang mempunyai hiasan bulu merak memegamg cokmar diiringi gajah gajah yang membawa wanita bangsawan Patani yang lain. Kelihatan mereka tidak bertudung dan bersanggul labuh. Askar askar bersenapang pula memakai pakaian Turki tidak seperti yang digambarkan filem Queen of Langkasuka manakala sebahagian lagi memakai zirah Peringgi yang dibeli daripada orang Portugis dahulu. Untuk pengetahuan pada waktu ini takhta Portugal dan Sepanyol disatukan dibawah satu pemerintahan beraja yang mempusakai warisan kedua dua kerajaan tersebut.

Dalam satu lampiran surat lain yang ditulis oleh ejen Kastilan yang sama beliau mencadangkan agar raja Kastilan mengirim beberapa puluh armada kapal untuk menyerang Patani. Cadangan ini dibuat untuk merompak kekayaan Patani dan menumpaskan perdagangan Belanda melalui peperangan. Patani dikatakan sebagai sebuah negeri kaya yang menjadi pelabuhan dagangan pelbagai barangan antaranya adalah seperti lada hitam yang dibawa dari Inderagiri dan Jambi. Dari pelabuhan ini kapal Portugis atau Belanda akan membawanya ke Melaka, Goa, Hormuz dan seterusnya ke Eropah.

De Courte sebenarnya telah melakukan kerja perisikan yang mantap. Beliau melaporkan suasana pantai Teluk Patani yang sesuai untuk pendaratan askar Kastilan dan seterusnya mereka boleh terus menyerbu bandar Patani yang tidak bertembok. Kota raja Patani dikatakan dilindungi tembok kayu balak besar seperti yang kita lihat pada lakaran kota Palembang oleh Belanda namun dinyatakan bahawa ada bahagian tembok yang reput dan repih tidak diselenggara termasuk gerbang pintu yang tidak berdaun. Meskipun begitu kota raja itu dijaga oleh ratusan lela perak yang tidak berapa bagus jika dibandingkan dengan meriam Eropah.

Sekiranya rancangan ini berjaya maka pihak Kastilan merancang untuk mara pula ke Ligor dan Ayutia walaubagaimanapun cadangan ini tidak mendapat sambutan mungkin kerana raja Kastilan mendapati ia tidak realistik tambahan suasana yang menghalang penguasaan Kastilan di Hindia Timur akibat kekacauan di Eropah.

Sumber : Peter Borschberg (2014)

Post a Comment

Previous Post Next Post