“Dan mengapa tidak ada (penduduk) suatu negeri pun yang beriman, lalu imannya itu bermanfaat kepadanya selain kaum Yunus? ketika mereka (kaum Yunus itu) beriman, Kami hilangkan dari mereka azab yang menghinakan dalam kehidupan dunia, dan Kami beri kesenangan kepada mereka sampai waktu tertentu”.
(Yunus: 98)
• “Dan (ingatlah kisah) Dzunnun (Yunus), ketika dia pergi dalam keadaan marah, lalu dia menyangka bahwa Kami tidak akan mempersempitnya (menyulitkannya), maka dia menyeru dalam keadaan sangat gelap bahawa: ‘Tidak ada Ilah (yang berhak diibadahi) selain Engkau. Mahasuci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim. Maka Kami memperkenankan doanya dan menyelamatkannya daripada kedukaan. Dan demikianlah Kami selamatkan orang-orang yang beriman”.
(al-Anbiyaa’: 87 – 88)
• “Dan sungguh, Yunus benar-benar termasuk salah seorang rasul, (ingatlah) ketika dia lari, ke kapal yang penuh muatan. Kemudian dia ikut berundi, ternyata dia termasuk orang-orang yang kalah dalam undian. Maka dia ditelan oleh ikan besar dalam keadaan tercela. Maka sekiranya dia tidak termasuk orang yang banyak berzikir (bertasbih) kepada Allah, nescaya dia akan tetap tinggal di perut (ikan itu) sampai hari kebangkitan. Kemudian Kami lemparkan dia ke daratan yang tandus, sedang dia dalam keadaan sakit. Kemudian untuk dia, Kami tumbuhkan sebatang pohon dari jenis labu. Dan Kami utus dia kepada seratus ribu orang atau lebih. Sehingga mereka beriman, karena itu Kami anugerahkan kenikmatan hidup kepada mereka hingga waktu tertentu”.
(as-Saffat: 139 – 148)
• “Maka bersabarlah kamu (hai Muhammad) terhadap ketetapan Tuhanmu, dan janganlah kamu seperti (Yunus) orang yang berada di dalam (perut) ikan ketika dia berdoa, sedangkan dia dalam keadaan marah (kepada kaumnya). Kalau sekiranya dia tidak segera mendapat nikmat dari Tuhannya, benar-benar dia dicampakkan ke tanah tandus dalam keadaan tercela. Lalu Tuhannya memilihnya dan menjadikannya termasuk orang-orang yang soleh. Dan sesungguhnya orang-orang kafir itu benar-benar hampir menggelincirkan kamu dengan pandangan mereka, tatkala mereka mendengar Al-Quran dan mereka berkata, “Sesungguhnya dia (Muhammad) benar-benar orang yang gila.” Dan Al-Qur’an itu tidak lain hanyalah peringatan bagi seluruh umat”.
(al-Qalam: 48 – 52)
Berdasarkan dari surah al-Yunus ayat 98, surah an-Anbiya ayat 87 hingga 88, surah as-Saffat ayat 139 sehingga 148 dan surah al-Qalam ayat 48 hingga 52, dikisahkan sebuah peristiwa yang terjadi ke atas Nabi Yunus a.s. Pembaca disarankan untuk membuka Quran jika ingin melihat lebih jelas ayatNya di dalam bahasa Arab.
Apakah peristiwa itu?
Peristiwa bersejarah yang dimana baginda telah diutuskan oleh Allah swt pada umur 30 tahun untuk berdakwah ke sebuah masyarakat yang tinggal di Ninawa. Apabila baginda berada di sana, seruan dakwah baginda tidak disahut oleh masyarakat di sana termasuklah raja yang memimpin masyarakat tersebut. Status kerasulan Nabi Yunus a.s ditolak oleh penduduk Ninawa sehinggakan dakwah baginda hanya membuahkan hasil yang nihil. Mengapa masyarakat kota Ninawa menolak seruan Nabi Yunus a.s? Ia ada dua sebab, iaitu:
1. Ajaran yang dibawa oleh Nabi Yunus a.s untuk menyembah Allah swt adalah sebuah ajaran yang baharu walhal masyarakat disitu sangar berpegang teguh pada agama yang dibawa oleh leluhur mereka iaitu menyembah Dewi Ishtar.
2. Nabi Yunus a.s adalah dari Bani Israel dan berdakwah di sebuah tempat yang penduduknya majoriti berbangsa Assyria. Baginda langsung tidak mempunyai sebarang pertalian darah dengan bangsa Assyria. Sebab kedua ini menyulitkan ucapan dan seruan baginda diterima bulat-bulat oleh mereka.
Mengikut riwayat lain, hanya ada dua orang pemuda yang bersedia menjadi pengikutnya, iaitu Rubil dan Tanuh. Rubil adalah seorang yang alim dan bijaksana, sedangkan Tanuh merupakan seorang yang tenang dan sederhana.
Setelah seruannya diabaikan selama 33 tahun dan ditolak mentah-mentah oleh masyarakat Ninawa, baginda mendoakan supaya mereka ditimpa azab sepertimana azab yang turun kepada umat Sodom dan umat Tsamud.
Baginda seraya membawa diri keluar daripada wilayah Ninawa tanpa mendapatkan perizinan dari Allah swt. Baginda berjalan selama beberapa hari lamanya sehinggalah baginda tiba di sebuah kota pelabuhan. Sesampainya di sana, baginda terserempak dengan sebuah kapal yang kebetulan ingin belayar menyeberangi lautan. Nabi Yunus a.s mengambil peluang keemasan ini untuk menumpang kapal tersebut dan baginda mendapatkan perizinan dari ketua nakhoda kapal. Atas perilaku akhlak yang mulia dan permintaan yang sopan, maka nakhoda kapal tersebut memberi keizinan kepada baginda untuk menumpang kapalnya.
Maka, belayarlah kapal tersebut dengan tenangnya sehinggalah pada suatu ketika lautan terbabit dilanda oleh sebuah ribut taufan yang kuat. Kapal tersebut terombang-ambing dihempas ombak sehingga menyebabkan kapal hampir karam. Nakhoda kapal memerintahkan supaya anak-anak kapal dan para penumpangnya membuang segala barang yang tidak berguna ke dalam laut supaya kapal berkenaan tidak dibebani dengan muatan yang terlalu berat.
Tetapi hasilnya tidaklah terlalu memuaskan kerana muatan kapal tersebut masih lagi membebankan. Nakhoda kapal mengambil keputusan untuk melakukan cabutan undi kepada anak-anak kapal dan para penumpang. Undian dicabut sebanyak tiga kali dan ketiga-tiga cabutan itu jatuh kepada Nabi Yunus a.s. Tatkala kali ketiganya, barulah Nabi Yunus a.s berasakan ini merupakan sebuah hukuman dari Allah swt kerana meninggalkan dakwah di Ninawa tanpa perizinanNya. Baginda dengan redha, menerima keputusan terbabit dan serta-merta melompat ke dalam lautan yang bergelombang.
Tetapi, kesilapan Nabi Yunus a.s bukanlah kesilapan seperti manusia biasa. Allah swt telah menjaga hambaNya yang terpilih dengan sebaik mungkin mengikut qada dan qadar yang telah ditentukanNya. Baginda telah ditelan oleh seekor makhluk laut sejurus melompat ke dalam laut. Makhluk laut yang dikenali sebagai Nun tersebut menelan Nabi Yunus a.s di atas perintah Allah swt. Baginda yang menyedari dirinya berada di dalam perut Nun tersebut berasa bersyukur kerana masih diberikan kesempatan oleh Allah swt. Baginda menyesali dengan perbuatannya dan selama 40 hari berada di dalam perut makhluk laut tersebut, baginda tidak putus-putus berzikir dan memohon keampunan dari Allah swt. Akhirnya, setelah 40 hari dihukum, Allah swt menerima keampunan Nabi Yunus a.s.
Sementara itu, di negeri Ninawa, penduduk kota tersebut telah bertaubat dan memohon keampunan dari Allah swt. Doa dan rintihan keampunan mereka telah diterima Allah swt lantas mengakhiri azabNya. Penduduk Ninawa terselamat daripada menjadi kaum yang dihancurkan dari muka bumi. Setelah itu, penduduk Ninawa beserta rajanya mencari-cari kembali gerangan Nabi Yunus a.s. Pada waktu itu, mereka perlukan kembali manusia yang mampu memimpin mereka mentauhidkanNya. Hasil pencarian mereka hanyalah kosong semata-mata. Mereka menunggu dan terus menunggu kemunculan Nabi Yunus a.s. Waktu terus berjalan dan berjalan.
Setelah 40 hari berada di dalam perut Nun.
Nun tersebut memuntahkan kembali tubuh Nabi Yunus a.s ke atas daratan. Tubuh badan baginda menjadi lesu kerana selama 40 hari berada di dalam perut makhluk terbabit, baginda tidak menyentuh apa-apa makanan ataupun minuman. Sesampainya di daratan, Allah swt menumbuhkan sebuah tanaman menjalar berupa labu untuk dimakan oleh Nabi Yunus a.s.
Dan kisah perjalanan dakwah Nabi Yunus a.s diakhiri dengan kembalinya baginda kepada umat yang telah ditinggalkannya untuk memimpin mereka.
Daripada kisah ringkas dari al-Quran di atas, saya akan memecahkan peristiwa ini dalam beberapa tajuk kecil yang dibahagikan kepada tiga fasa, iaitu:
1. Bahagian pertama:
• Biografi ringkas Nabi Yunus a.s.
• Kota Nineveh.
• Pemimpin dan masyarakat kota Nineveh.
2. Bahagian kedua:
• Pelabuhan yang disinggahi oleh Nabi Yunus a.s sebelum menaiki kapal.
• Jenis kapal yang dinaiki oleh Nabi Yunus a.s.
• Jarak perjalanan yang ditempuhi kapal dari pelabuhan Jaffa ke Lautan Mediterranean.
• Lokasi Nabi Yunus a.s diturunkan oleh Nun.
• Jenis tumbuhan labu yang ditumbuhkan di tepian pantai.
3. Bahagian ketiga:
• Paus sperma dan jerung putih.
• Naga laut Ketos.
Dalam penulisan kali ini juga, saya akan menyelitkan beberapa fakta sejarah yang diambil daripada kajian para ilmuwan Islam dan Barat. Disadurkan dengan beberapa penelitian yang diambil daripada sumber kitab Perjanjian Lama. Semoga penulisan kali ini dimanfaatkan oleh kita dan menerimanya sebagai sebuah ilmu yakni permulaan untuk diri kita melangkah jauh dalam mengkaji dan mempelajari sejarah dari al-Quran.
YUNUS: UTUSAN ALLAH DI NEGERI ASING.
Yunus bin Matta binti Abumattai atau gelarannya adalah Dhul-Nun yang dikenalpasti hidup pada sekitar tahun 820 SM sehingga 750 SM merupakan seorang utusan Allah swt ke negeri Ninawa.
Dalam buku Zikir Cinta: Menggapai Kebahagiaan oleh Maman Imanulhaq Faqieh, Ibnu Hatim meriwayatkan bahawasanya Nabi Yunus a.s hidup pada zaman raja-raja bangsa Assyria yang berjuang bertahun-tahun untuk mengajak kaumnya beriman kepada Allah dan meninggalkan segala bentuk kemungkaran dan maksiat.
Biografi tambahan Nabi Yunus a.s dari sumber Quran dan Prophet Jonah dari sumber Perjanjian Lama, iaitu:
a. Quran.
Yunus adalah bangsa Yahudi dari susur galur keturunan Bunyamin dan nama ayah baginda adalah Amittai. Di dalam Quran, Nabi Yunus a.s mendapat gelaran mulia iaitu Sahib al-Hut (Sahabat Ikan) dan Dhannun (Bapa Nun). Berbeza dengan sumber dari Perjanjian Lama yang Jonah digambarkan sebagai seorang utusan yang melarikan diri dari Ninawa, tetapi di dalam Quran, watak baginda dimuliakan. Baginda dikatakan telah membawa diri setelah kecewa dengan perilaku penduduk Ninawa Seterusnya ditelan oleh Nun dan kembali ke Ninawa semula. Pada masa itu, kaumnya (penduduk Ninawa) telah bertaubat dan memohon keampunan dari Allah swt. Kaumnya telah terselamat daripada azab Tuhan.
b. Perjanjian Lama.
Johannas anak Ammatai, berasal dari sebuah kota yang bernama Gath-Hepher (Kings 14:25) yang berada di utara Nazareth. Nabi yang kelima daripada bangsa Yahudi. Setelah kaum Ninawa diselamatkan daripada azab Allah swt, timbul rasa kecewa di hatinya kerana azab tidak menimpa kaum tersebut.
Daripada sumber ini, Nabi Yunus a.s digambarkan di dalam Quran sebagai seorang utusan yang membawa diri kerana kecewa dengan sikap masyarakat Ninawa pada dirinya dan akhir sekali baginda kembali semula ke kota Ninawa lalu bersyukur dengan penerimaan yang hangat oleh masyarakat Ninawa terhadap agama mentauhidkan Allah swt yang dibawa olehnya. Berbeza daripada sumber Perjanjian Lama, Jonah digambarkan sebagai seorang utusan yang melarikan diri daripada Ninawa. Tetapi ketika kembali pada kaumnya, bagibda berasa sangat kecewa kerana umat tersebut tidak ditimpakan azab oleh Tuhan.
Di manakah Nabi Yunus a.s dikuburkan?
a. Orang Palestin mengatakan Nabi Yunus a.s meninggal dunia di Halhul (utara Hebron) sedangkan orang Lebanon mengatakan pula, baginda dikebumikan di Sarafund.
b. Lokasi lain yang dikenalpasti sebagai makam Nabi Yunus a.s adalah di Mosul, Iraq.
NINEVEH: KOTA ASSYRIA YANG DISELAMATKAN TUHAN
Apakah negeri Ninawa tersebut?
Ninawa atau Nineveh merupakan sebuah kota maju yang dipimpin oleh bangsa Assyria. Ninawa sendiri membawa banyak maksud, antaranya adalah Ninâ yang membawa maksud ‘Tempat Berkumpulnya Ikan’ dan ahli sejarawan berpendapat maksud Ninaweh adalah nama dewa sembahan masyarakat pada masa tersebut.
Bangsa Assyria adalah etnik yang berasal dari belahan negara Turki, Iraq, Iran dan Syria tetapi setelah kejatuhan kota Nineveh pada tahun 612 SM, maka bangsa ini beramai-ramai keluar dan berpecah ke negara Kaukasus, Amerika Utara dan Eropah Timur. Mereka ini adalah sebuah bangsa yang suka berperang dan mengambil alih kawasan-kawasan yang dianggap menguntungkan pembangunan kerajaan Assyria.
Pada mulanya, bangsa Assyria hanyalah sebuah komuniti kecil yang tinggal di kota Ashur (Assur) menjalankan aktiviti perdagangan secara barter sebelum mereka berkembang dan menubuhkan sebuah kerajaan yang mampu memiliki jajahan empayar takluk yang luas. Setelah membangunkan kerajaan yang kuat, maka pusat pemerintahan berpindah dari kota Ashur ke kota Nineveh. Walaupun kota Ashur sudah tidak dijadikan ibukota, tetapi kota ini sentiasa dipenuhi oleh para pedagang dari zaman ke zaman sehinggalah ianya hancur di dalam tangan penguasa Samarkand Mongol-Islam iaitu Timurlenk.
Sebuah kota kuno bangsa Assyria yang berada di tebing sungai Tigris (dalam wilayah Mesopotamia). Pada zaman kedatangan Nabi Yunus a.s, kota ini telah menjadi salah sebuah kota yang maju dalam sektor perindustian, perdagangan dan keseimbangan politik dalaman mahupun luaran. Kota ini menjadi penghubung jalur perdagangan diantara utara-selatan dan barat-timur. Kemakmuran kota ini juga tercapai dalam bidang agrikultur berkat aliran sungai Khawsar yang mengalir di dalam kota seterusnya ke sungai Tigris. Hasil tanaman penduduk kota Nineveh pada masa itu adalah gandum, barli dan bawang.
Kebijakkan pemimpin pada masa tersebut membina benteng atau penahan di sepanjang sungai Khawsar menyelamatkan kota daripada ditenggelami limpahan air ketika musim hujan.
Kota ini didampingi oleh dua buah dataran tinggi yang dimana dataran tinggi di sebelah utara bernama Kuyunjik dan sebelah lagi dinamakan Tell Nebi Yunus (ia dinamakan setelah masyarakat di situ menerima seruan dakwah baginda). Kota Nineveh dikelilingi oleh benteng pertahanan sepanjang 8 mil. Benteng ini berketinggian 16 meter dan tebalnya mencecah 15 meter. Benteng pertahanan kota Nineveh mempunyai 15 buah pintu gerbang, iaitu:
1. Gerbang utara:
Pintu Sin, Pintu Nergal dan Pintu Adad.
2. Gerbang timur:
Pintu Halahhu, Pintu Shibaniba, Pintu Mushlalu, Pintu Kar-Mulissi, Pintu Shamash dan Pintu Halzi.
3. Gerbang selatan:
Pintu Ashur.
4. Gerbang barat:
Pintu Handuri, Pintu Pertahanan, Pintu Gurun, Pintu Quay dan Pintu Air.
Menurut kepercayaan bangsa Assyria, taraf Dewa Ashur menyamai dengan Dewa Marduk dan Dewa Enlil milik bangsa Sumeria. Pada pandangan bangsa Assyria, Dewa Marduk adalah dewa yang turut turun bersama-sama raja mereka dalam pertempuran sengit melawan musuh-musuh. Dewa Marduk memanah para musuh dan menjadikan mereka hancur lebur sehingga menciptakan suatu kemenangan yang besar bagi bangsa Assyria. Pada saat itu, menurut orang Babylonia, Dewa Astarte adalah Dewi Cinta, Kesuburan dan Keindahan. Sementara Dewa Napo adalah penulis para dewa, sedangkan Dewa Adad adalah Dewa Taufan, Guruh dan Hujan.
Kuil megah untuk Dewi Ishtar dibina pada abad pertama sebelum pembinaan benteng di sebelah Kuyunjik. Tell Nebi Yunus merupakan pusat kekuatan benteng kerana dari sini, pengawal kota Nineveh mampu melihat kedatangan musuh.
Ketika zaman Nabi Yunus a.s, kota Nineveh telah menjadi pusat metropolis dan perkembangan budaya. Pada waktu tersebut, masyarakat yang berpopulasi seramai 100 ribu orang, masih menyembah tuhan utama mereka iaitu Dewi Ishtar merangkap dewi cinta dan perang. Gambaran ini menunjukkan bagaimana kesusahan yang dihadapi oleh Nabi Yunus a.s untuk berdakwah di bawah bayangan gergasi kota Nineveh yang luas dan padat. Keluasan dan kepadatan kota Nineveh disamakan dengan kota moden sekarang seperti New York, Paris dan Tokyo.
Empayar Assyria berkembang maju setelah mengikuti ajaran Nabi Yunus a.s tetapi akhirnya pada tahun 613 SM, bangsa Assyria dikalahkan dan kota Nineveh ditakluk oleh bangsa Parsi.
SIAPAKAH RAJA ASSYRIA YANG MENYAHUT SERUAN DAKWAH BAGINDA?
Berdasarkan beberapa pemerhatian, ada empat orang raja Assyria yang dipercayai menerima ajaran mentauhidkan Allah swt yang dibawa oleh Nabi Yunus a.s iaitu:
a. Raja Adad-Nirari I (811 SM-783 SM).
b. Shalmaneser IV (783 SM-773 SM).
c. Ashur Dan III (773 SM-755 SM).
d. Tiglath Pileser III (745 SM-727 SM).
Pada zaman Ashur Dan III, empayar Assyria pernah ditimpa suatu bala pada sekitar tahun 765 SM dan pada tahun 759 SM. Begitu juga dicatatkan pernah berlaku gerhana matahari penuh pada tanggal 15 Jun 763 SM di dada langit Nineveh. Mungkin kejadian-kejadian ini merupakan bukti yang pada masa period waktu berkenaan merupakan hari yang telah ditunjukkan tanda-tanda azab akan diturunkan.
Sebelum kedatangan Nabi Yunus a.s, kota Nineveh hanyalah salah sebuah jajahan yang berada di bawah wilayah Ashur ketika zaman pemerintahan Raja Shamshi-Adad I.
Setelah beberapa lama kedatangan Nabi Yunus ke kota Nineveh, maka barulah kota Nineveh dijadikan sebagai pusat empayar pada zaman pemerintahan Raja Sennacherib. Setelah pengisytiharan ini diumumkan, maka telah dilancarkan beberapa projek gergasi membangunkan kota Nineveh.
Profesor Richard M. Davidson dalam ‘The Time of Jonah’ pula berpendapat Raja Adad Nirari III sebagai raja yang mengimani dengan ajaran Jonah (Yunus a.s) kerana pada zaman pemerintahannya, terjadinya sebuah perubahan agama secara besar-besaran di Nineveh iaitu menganut agama Monoteisme.
Kebanyakan ahli sejarah menyebutkan Raja Shalmaneser IV sebagai raja yang sebenar-benarnya yang menerima seruan agama yang dibawa oleh Nabi Yunus a.s, tetapi di dalam sejarah, Raja Shalmaneser IV dikenali sebagai pemimpin kejam dan baginda juga pernah berperang dengan Raja Ahab di dalam pertempuran Qarqar pada tahun 853 SM.
Misteri yang menyelebungi sosok siapakah pemimpin yang menerima agama yang dibawa oleh Nabi Yunus a.s atau Prophet Jonah masih diperdebatkan oleh para ilmuwan sehingga sekarang. Kerana kronologi masa yang berlanggaran dan kurang jelas menyulitkan para ilmuwan mengetahui siapakah yang mentadbir Nineveh pada zaman Nabi Yunus a.s.
PELABUHAN JAFFA DAN LAUTAN MEDITERRANEAN
Ketikamana seruan Nabi Yunus a.s yang dijalankan selama beberapa tahun tidak berhasil, maka baginda memutuskan untuk membawa dirinya dan keluar daripada kota Nineveh. Baginda keluar pada malam harinya dan berjalan selama beberapa hari lamanya sehinggalah baginda sampai di sebuah kota pelabuhan, iaitu Jaffa (yang sekarang berada di negara mitos Israel). Diperkirakan anggaran perjalanan yang ditempuhi oleh Nabi Yunus a.s adalah sepanjang 550 mil.
“Johannas mengambil sebuah kapal dari Joppa (Jaffa) untuk belayar ke kota Tarshish. Dalam perjalanan ke sana, kapal Johannas dilanggar ribut taufan di Lautan Mediterranean. Johannas ditelan makhluk laut”.
Di sana, baginda menumpang sebuah kapal untuk pergi menuju ke Tarshish (sebuah negeri yang terletak di Gunung Lebanon). Kapal yang dinaiki baginda adalah kapal Phoenicia jenis Gauloi, iaitu sebuah kapal bersaiz sederhana dan merupakan kapal yang pertama dan sering digunakan dalam urusan perdagangan dan pengangkutan di sekitar Lautan Mediterranean, Selat Gibraltar dan Lautan Atlantik. Mengikut sumber The Mariner’s Museum, kapal Phoenicia dipercayai wujud pada sekitar abad 1500 SM sehingga 332 SM.
Ketika baginda bersama penumpang kapal dalam pelayaran ke Tunisia, maka Allah swt telah menurunkan ribut taufan sehingga membuatkan kapal tersebut terumbang ambing dilambung ombak yang ganas di Lautan Mediterranean.
Seperti yang dikisahkan pada bahagian awal, Nabi Yunus a.s telah melemparkan dirinya ke dalam lautan tersebut dan jasad baginda ditelan serta-merta oleh Nun.
Melalui sumber Perjanjian Lama, Jonah tinggal di dalam perut Nun selama 3 hari 3 malam. Berdasarkan ayat,
Berbeza dengan tafsiran para ulama Islam yang mengatakan Nabi Yunus a.s berada di dalam perut Nun selama 40 hari lamanya. Salah seorangnya ahli tafsir yang mengungkapkannya adalah Said bin Abu Hasan Al-Basri.
Setelah doa rintihan Nabi Yunus a.s yang bertaubat diampunkan oleh Allah swt, maka dengan perintahNya, Nun berenang ke tepian sebuah perairan yang cetek untuk mengeluarkan jasad baginda daripada perutnya.
Lalu baginda diturunkan ke daratan iaitu di sebuah pantai yang dikenali sekarang sebagai Ashdod, Israel.
Ashdod tidak disebutkan di dalam Quran, melainkan ianya disebutkan di dalam Perjanjian Lama iaitu:
Sebuah bukit berdekatan pantai Ashdod dinamakan sebagai Nebbi Yunus dalam bahasa Arab dan dalam bahasa Hebrew disebut sebagai Girat-Yonah, iaitu sempena memperingati kejadian baginda Nabi Yunus a.s atau Prophet Jonah yang telah diturunkan oleh Nun di pantai tersebut.
“فَنَبَذْنَاهُ بِالْعَرَاء وَهُوَ سَقِيمٌ وَأَنبَتْنَا عَلَيْهِ شَجَرَةً مِّن يَقْطِينٍ”
“Lalu Kami lemparkan dirinya di kawasan lapang (tandus) ketika dia sakit. Dan Kami tumbuhkan untuknya sebatang pokok daripada jenis Yaqtin”.
(as-Shaffat: 145-146).
Di sinilah Allah swt menumbuhkan sebuah tanaman yang dipanggil ‘Yaqtin’ di dalam Quran. Apakah itu buah Yaqtin?
Di dalam bahasa Arab ianya dipanggil Yaqtin dan di dalam bahasa Melayu, ia lebih dikenali sebagai labu air. Di dalam sebuah penulisan bertajuk ‘Botanical Terms in the Holy Qur’an and Hadith “Yatin” oleh Mohamed Nabih el-Gharib, buah Yaqtin adalah daripada keluarga labu ‘Cucurbitaceae’. Nama saintifik bagi labu ini adalah ‘Lagenaria sicerariaor’. Setelah baginda merehatkan dirinya di bawah rimbunan dedaun pohon labu dan memakan buahnya, maka tubuh baginda kembali bermaya seperti sediakala. Tanpa melengahkan masa, baginda melangkah kakinya menuju ke kota Nineneh, tempat di mana, kaumnya yang telah bertaubat menunggu kedatangannya kembali.
Dalam tafsir Ibnu Katsir berdasarkan surah as-Saffat ayat 145-146, daun pokok tersebut sangat rendang dan buah yang dikeluarkan dari pokok tersebut tidak terlalu muda atau tua (dalam keadaan baik) dan tidak terlalu mentah atau terlalu masak.
Dari garis pantai Ashdod, baginda berjalan kaki selama beberapa hari lamanya sehinggalah tiba ke kota Nineveh semula. Di sana, kedatangan baginda disambut hangat dan mesra oleh para penduduk. Masyarakat kota Nineveh beserta rajanya menerima agama yang dibawa oleh Nabi Yunus a.s. Peradaban Nineveh diselamatkan oleh Tuhan, dan mereka menjadi bangsa yang beruntung kerana tidak dilenyapkan dari muka bumi Allah swt.
Dalam buku Yakjuj dan Makjuj karya Wisnu Sasongko, dikatakan seluruh warga masyarakat dan Raja Nineveh memeluk agama yang dibawa oleh Nabi Yunus a.s. Bangsa Assyria terselamat dari azab Allah swt kerana mempercayai Nabi Yunus a.s. Hasil bimbingan Nabi Yunus a.s juga, para penduduk Ninawa terselamat daripada serangan dahsyat bangsa Yakjuj dan Makjuj yang pada ketika itu mengganas di atas muka bumi.
Atas kepatuhan dan tahap kesedaran yang tinggi oleh masyarakat Nineveh, maka bangsa mereka menjadi salah satu bangsa yang terselamat daripada azab Allah swt dan serangan ganas bangsa Yakjuj dan Makjuj. Jikalau mereka masih mengeraskan diri menolak menyembah Allah swt pasti peradaban yang telah dibina dengan susah payah selama berpuluh tahun akan dihancurkan oleh Tuhan dalam sekelip mata sebagaimana yang menimpa masyarakat kota Sodom dan masyarakat kota Madain.
Peradaban Nineveh bertahan selama beberapa abad lamanya di bawah raja-raja yang lain setelah kewafatan baginda Nabi Yunus a.s, sebelum empayar ini berpecah-belah kepada wilayah-wilayah yang kecil dan hancur selamanya dalam genggaman tangan bangsa Parsi.
NUN: MAKHLUK TUHAN PENGHUNI LAUTAN GANAS
Mengikut dari sumber Perjanjian Lama, spesis yang dikenalpasti menelan Nabi Yunus a.s adalah sejenis ikan paus sperma (sperm whale) yang hidup disekitar Lautan Mediterranean. Ini disebabkan, paus tersebut merupakan satu-satunya mamalia yang terbesar yang hidup di lautan tersebut dan mampu menelan manusia sekaligus.
Di Lautan Mediterranean, terdapat dua ekor spesis kehidupan laut yang mendiami di lautan tersebut yang mampu menelan manusia sekaligus iaitu jerung putih dan paus sperma. Kewujudan dua ekor spesis ini dipastikan berdasarkan kisah dan catatan para pelayar yang terserempak dengan kedua ekor makhluk terbabit. Aristotle juga pernah mendakwa di dalam tulisannya melalui karya ‘Historia Animalium’ tentang keshahihan kewujudan kedua ekor mamalia tersebut.
KETOS: LEGENDA NAGA AIR KUNO.
Selain itu, Perjanjian Lama dalam Book of Jonah 1:17, dalam bahasa Hebrew pula menyebut nama haiwan terbabit sebagai ‘Dag’. Dag adalah haiwan yang selalu digambarkan oleh masyarakat pada waktu itu sebagai makhluk laut yang bersaiz gergasi yang mampu menelan manusia dalam waktu yang singkat.
Perjanjian Lama yang diterjemahkan ke dalam bahasa Greek yang dikenali sebagai kitab Septuagint, Dag diterjemahkan sebagai ‘Ketei Megalo’ yang membawa maksud ‘raksasa laut bersaiz gergasi’ atau Ketos.
Seorang ahli sejarah, Dr.Bill Cooper berjaya memecahkan teka-teki yang menyelubungi misteri Nun tersebut di dalam kajiannya pada tahun 2012, melalui sebuah penulisan di dalam buku, ‘The Authenticity of the Books of Jonah’. Petunjuk utama beliau dalam mendapatkan jawapan dalam pemecahan misteri ini adalah melalui sebuah perkataan dari bahasa Greek yang digunakan oleh Jesus (Isa a.s) di dalam Matthew 12:40. Jesus memanggil nama makhluk laut terbabit dengan panggilan Ketos. Dr. Cooper mengatakan yang Ketos merupakan sebuah makhluk atau naga laut raksasa ataupun merupakan seekor reptilia laut yang sudah pupus pada zaman sekarang.
Dalam bahasa Greek, sesetengah makhluk laut lain dipanggil juga dengan panggilan Galeos (jerung kecil), Zygania (jerung tukul), Karcharias (jerung pasir) dan Icthus (ikan).
Di dalam bukunya itu juga, beliau menyelitkan tentang maklumat Ketos iaitu naga laut berkepala seperti anjing, badan melingkar seperti ular dan bergigi taring tajam yang kewujudannya sudah tercatat dalam beberapa manuskrip kuno sekitar tahun 700 SM sehingga 500 SM.
Antara penulis awal yang pernah mencatatkan tentang Ketos adalah:
a. Homer.
b. Aristophones.
c. Euripides.
d. Lychophron.
e. Marcus Terentius Varro.
f. Drodorus Siculus.
g. Manilius.
h. Pausanias.
i. Claudius Aelianas dalam buku ‘De Natura Animalium’.
j. Oppian of Apamea.
k. Eustathius.
l. Hesychius.
m. Johannes Moschus.
Tambahan pula, Ketos melalui dalam gambaran para seniman dan pemahat dari zaman Rom, Afrika, Turki, Asia dan Eropah iaitu dalam anatomi menyerupai naga air.
Walaubagaimanapun, para ilmuwan menolak dakwaan dengan kewujudan makhluk air Ketos sebagai Nun kerana ianya beranggapan seperti mitos dan tidak pernah dibuktikan melalui penampakan di hadapan mata melainkan ianya hanya khabar angin untuk menakutkan pelayar yang belayar di Lautan Mediterranean pada suatu ketika dahulu.
Akhir sekali, para ilmuwan Islam dan Barat bersepakat dengan pendapat bahawasanya Nun yang disebutkan di dalam Quran dan Perjanjian Lama merupakan spesis mamalia yang menetap di Lautan Mediterranean sebagai ikan paus sperma berdasarkan kewujudannya spesisnya di sana dan kemampuannya yang mampu menelan manusia dalam satu masa yang singkat.
Wallahu’alam.
Sumber rujukan:
1. Atlas Agama-Agama oleh Abdullah al-Maglouth dan Sami Bin.
2. The Might That Was Assyria: “The Agricultural Cycle, Farming, and Water Management in the Ancient Near East,” in Civilizations of the Ancient Near East” oleh H. W. F. Saggs.
3. What Really Swallowed Jonah? oleh Dr. Brian Thomas (Penulis Sains di Institue for Creation Research).
4. Ancient Israel: A Story History from Abraham to the Roman Destruction of the Temple oleh Hershel Shanks.
5. NASA, Technology Through Time: Ancient Babylonia.
6. The Concise Encyclopedia of Islam oleh Cyril Glasse.
7. Johannas and the Big Fish oleh Fazal Ahmad.
8. The Authenticity of the Book of Jonah oleh Dr.Bill Cooper.
– TAMAT –