Dalam hadis Rasulullah saw, dinyatakan bahawasanya neraka itu terdiri dari tujuh pintu yang membawa erti mempunyai tujuh tingkat. Melalui penulisan kali ini, akan mengenalkan kepada para pembaca bagaimana bentuk neraka mengikut kepercayaan umat Islam bersumberkan al-Quran.
Demikianlah pembahagian tingkatan neraka menurut para ahli tafsir dan ilmuwan agama, termasuk Syeikh Qurtubi dan Imam Ghazali r.a.
Pembahagian ini sesuai dengan firman Allah swt, iaitu:
“Sesungguhnya neraka Jahannam itu tempat seksaan mereka semuanya. Neraka itu mempunyai tujuh pintu. Tiap-tiap pintu itu ada bahagian yang ditentukan untuk orang-orang yang berdosa”.
( al-Hijr ayat 43 sehingga 44 ).
1. JAHANNAM.
Neraka paling atas.
“Katakanlah kepada orang kafir, ‘Nanti kamu dikalahkan oleh orang Islam dan dihimpunkan kamu ke dalam neraka Jahanam. Di sanalah tempat yang seburuk-buruknya”.
( Ali Imran ayat 12 )
Siapakah ciri-ciri penghuni neraka Jahanam?
a. Manusia yang derhaka dan yang suka melakukan kejahatan.
b. Manusia kafir.
c. Manusia yang suka menimbun dosa.
d. Manusia yang tidak mensyukuri nikmat Allah swt.
e. Manusia yang menentang ajaran para Rasul.
f. Manusia munafik.
2. LUZA.
Neraka kedua.
“Sebab itu Kami memperingatkan kepada kamu dengan neraka Luza (neraka yang menyala-nyala). Tiada yang masuk ke dalamnya selain orang-orang yang celaka. Iaitu orang-orang yang mendustakan agama dan berpaling daripadanya”.
( al-Lail ayat 14 sehingga 16 ).
Siapakah ciri-ciri penghuni neraka Luza?
Manusia yang mengumpulkan harta-benda lalu menyimpannya. Tiada sedetik di dalam hatinya untuk menyumbang ke jalan Allah swt.
3. HUTAMAH.
Neraka ketiga.
“Sebenarnya dia akam dilemparkan ke dalam neraka Hutamah. Tahukah engkau apakah Hutamah itu? Iaitu api neraka yang menyala-nyala. Yang membakar hati manusia. Api yang ditutupkan kepada mereka. Sedangkan mereka itu diikat pada tiang yang panjang”.
( al-Humazah ayat 4 sehingga 9 ).
Siapakah ciri-ciri penghuni neraka Hutamah?
a. Manusia yang pekerjaannya suka mengumpat, membawang dan mencaci maki orang lain.
b. Manusia yang mengumpulkan harta dan bersifat bakhil.
4. SAIR.
Neraka keempat.
“Bahawasanya orang-orang yang memakan harta anak yatim dengan aniaya, sesungguhnya mereka memakan api sepenuh perutnya. Dan nanti mereka akan dimasukkan ke dalam neraka Sair”.
( an-Nisa ayat 10 ).
Siapakah ciri-ciri penghuni neraka Sair:
a. Manusia yang mengingkari segala apa yang diturunkan Allah swt.
b. Manusia yang terpedaya dengan kehidupan dunia dan godaan syaitan.
c. Manusia yang tidak mematuhi perintah Allah swt.
d. Manusia yang tidak beriman kepada Allah dan RasulNya.
5. SAQAR.
Neraka kelima.
“Di dalam syurga mereka saling bertanya tentang perkara orang-orang yang berdosa. Apakah sebabnya kamu masuk ke dalam neraka Saqar? Mereka menjawab: Kerana kami dahulunya tidak mengerjakan solat, tidak mahu memberi makan terhadap orang-orang miskin, kami percaya kepada yang bukan-bukan. Kami mendustakan hari kiamat”.
( al-Mudtasir ayat 40 sehingga 46 ).
Ciri-ciri penghuni Saqar:
a. Manusia yang ingkar dalam urusannya kepada Allah swt.
b. Manusia yang pakar dalam membicarakan perkara-perkara yang bathil.
6. JAHIM.
Neraka keenam.
“Dan orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itulah penghuni neraka Jahim”.
( al-Maidah ayat 86 ).
Ciri-ciri penghuni neraka Jahim:
a. Muslim yang berdosa
b. Manusia yang melakukan perbuatan yang dilarang Allah swt.
c. Manusia yang bermegah-megah dengan apa yang diperolehinya dan tidak mahu membelanjakan hartanya di jalan Allah swt.
d. Manusia yang derhaka pada Allah swt.
e. Manusia yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Allah swt.
f. Manusia yang berusaha menentang ayat-ayat Allah swt dan para utusanNya.
7. HAWIYAH.
Kerak neraka, neraka yang paling bawah.
“Dan barangsiapa yang ringan timbangan (amal baiknya), maka dia akan dilemparkan ke dalam neraka Hawiyah. Tahukah kamu apakah neraka Hawiyah itu? Iaitu api yang sangat panas”.
( al-Qariah ayat 8 sehingga 11 ).
Jadinya, masih mempersoalkan kewujudan neraka milikNya? Sedangkan malaikat Malik penjaga pintu neraka sudah gerun dengan azabNya kerana melihat setiap hari, apalagi kita yang masih belum melihat dengan kepala mata sendiri bagaimana bentuk rupanya suasana sebuah neraka Allah swt tersebut. Nauzbillahi min zaalik.
Wallahu’alam.
Sumber rujukan: Fenomena Neraka oleh Kasmuri Selamat MA.