Umat Nabi Lut Dari Perspektif Kristian Dan Yahudi

Kita semua sedia maklum dengan kisah perjuangan Nabi Lut a.s dan usaha dakwah baginda di kota Sadum. Selain berusaha menyebarkan akidah tauhid dalam kalangan penduduk, baginda diutus Allah s.w.t atas sebab memperbetulkan kecenderungan seksual pelik masyarakat Sadum ketika itu. Walaupun sudah dinasihati untuk kembali ke pangkal jalan, nyata dakwah Nabi Lut kepada kaumnya ibarat mencurah air ke daun keladi. Dan selebihnya seperti kita sedia maklum, baginda bersama kelompok orang beriman meninggalkan Sadum dengan kota berkenaan dan penghuninya musnah diterbalikkan oleh malaikat Jibril. Justeru, apa pula persepsi agama Kristian terhadap Sadum dan kisah Nabi Lut ini?

Para cendekiawan Kristian hari ini masih berbalah tentang sebab mengapa Tuhan menterbalikkan dua kota yang disebut dalam Book of Genesis iaitu Sodom dan Gomorrah. Sehinggakan pada satu ketika, sesetengah pihak menyimpulkan kemusnahan dua kota berkenaan langsung tiada kena-mengena dengan isu lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT). Justeru, ini menimbulkan persoalan kepada para cendekiawan Kristian terutama yang beraliran konservatif; mengapa Tuhan memusnahkan dua bandar berkenaan? Adakah ia ada kena-mengena dengan isu LGBT dan apa dosa yang menyebabkan dua kota berkenaan musnah dilanda bala Tuhan?

Jetpack Langkawi

Untuk mengetahui bagaimana, kita perlu lihat kepada peristiwa kemusnahan Sadum itu sendiri. Seperti kita sedia maklum, sebelum kota berkenaan dimusnahkan, Allah menghantar dua malaikat ke Sadum dalam bentuk lelaki yang tampan. Kedua-duanya menjadi tetamu Nabi Lut a.s tetapi berita ketampanan dua tetamu baginda itu diketahui penduduk yang dibocorkan oleh isteri baginda. Ini menyebabkan mereka berkumpul di rumah baginda dan mendesak Nabi Lut menyerahkan kedua-dua tamu berkenaan kepada mereka. Walaupun sudah dinasihati dan dihalang tetapi mereka tetap berkeras mahukan kedua-dua tamu baginda. Tatkala itu, dua tamu baginda mendedahkan diri mereka sebagai malaikat dan menasihatkan baginda, keluarga dan orang beriman meninggalkan Sadum kerana tidak lama lagi, ia akan dilanda azab Allah s.w.t. Kisah ini yang direkodkan dalam ayat 77-81, Surah Hud turut direkodkan dalam Book of Genesis, babak 19, ayat 4-13.

Menurut sejarawan dari Universiti Yale, John Boswell, beliau berpandangan ada empat sebab yang membawa kepada kemusnahan Sadum dan Gomorrah. Pertama, orang-orang Sodom dimusnahkan kerana kejahatan mereka yang menyebabkan Tuhan mengutuskan malaikat untuk melihat kota berkenaan. Kedua, kota Sadum musnah gara-gara tindakan penduduknya yang mahu meliwat dan merogol dua tetamu Nabi Lut. Ketiga, kota itu musnah kerana kaum Adam Sadum cuba mengadakan hubungan seksual dengan kedua-dua tamu baginda. Akhir sekali, bandar tersebut musnah kerana layanan zalim yang diterima para malaikat yang diutuskan oleh Tuhan.

Boswell berpandangan sebab kedua itu merupakan penjelasan paling munasabah tetapi tidak dihiraukan oleh cendekiawan dan ahli teologi Kristian. Sementara sebab keempat pula dilihat konsisten dengan teori semasa ahli teologi Kristian. Sejak tahun 1955, kelompok ini berpandangan kota Sadum musnah bukan kerana LGBT tetapi atas tindakan kaum Nabi Lut menzalimi tetamu atau orang asing. Pandangan tersebut turut disokong oleh ahli teologi Inggeris, Derrick Sherwin Bailey yang mengatakan penduduk Sadum mahu menyoalsiasat dua tamu baginda untuk memastikan mereka bukan perisik. Kesalahan rogol beramai-ramai ada disebut tetapi tidak berkenaan LGBT.

Dalam erti kata lain, penduduk Sadum sebenarnya berlaku zalim kepada tetamu baginda. Tetapi bagi penulis dan pengkaji agama Kristian, Greg Koukl, hujah Boswell dan Sherwin Bailey dianggap tidak munasabah sama sekali. Alasannya, jika penduduk Sadum ingin mengetahui niat sebenar dua tamu baginda itu, maka ia sepatutnya merujuk kepada soal siasat dan bukan cubaan rogol/liwat. Jika berlaku sebaliknya seperti dinyatakan pandangan tradisional Kristian dan agama Islam, maka penjelasan tentang soal siasat itu patut dibakulsampahkan.

Ini mendorong Koukl menanya soalan yang dianggap amat sensitif oleh kelompok dan penyokong gerakan LGBT: mengapa Tuhan memusnahkan kota Sadum? Kebanyakan petunjuk datang bukan saja dari Book of Genesis tetapi juga dari Book of Prophets, Book of Peter dan Book of Jude. Pertama sekali, penduduk Sadum diazab Tuhan kerana melakukan dosa besar berdasarkan Book of Genesis, babak 18, ayat 20. Selain itu, azab yang melanda kota itu dijadikan sebagai pengajaran kepada Abraham (Nabi Ibrahim a.s) dan orang lain selepasnya bahawa kejahatan sebegini akan dihukum. Ini berdasarkan ayat 6, babak 2, Book of Peter, “Tuhan mengutuk dan memusnahkan kota-kota sebagai amaran kepada sesiapa yang hidup tidak berlandaskan hukum Tuhan.”

Book of Peter dan Book of Jude turut menyebut berlakunya kerosakan moral yang teruk dalam kalangan penduduk Sadum dan kecenderungan mereka mengejar daging pelik (kecenderungan seksual songsang). Book of Genesis turut menyatakan 27 rujukan yang menyebut sikap dan tindakan penduduk Sadum yang tidak bermoral, zalim dan melanggar hukum manusiawi itu sendiri. Dengan menggabungkan semua ini, nyatalah bala yang Tuhan turunkan ke atas kaum Sadum berpunca daripada tindakan mereka yang jahat, zalim dan melanggar hukum manusiawi yang disaksikan oleh Nabi Lut a.s dan orang beriman saban hari. Dan itu yang membawa kepada kemusnahan kaum baginda yang dinyatakan bukan sekali tetapi sembilan kali dalam Al-Quran.

Dan ini juga mendorong Koukl membuat satu kesimpulan, Sadum musnah bukan kerana berlaku zalim kepada tetamu Nabi Lut tetapi kerana kecenderungan seksual pelik masyarakat itu. Book of Genesis menyatakan masyarakat ketika itu memang mengamalkan homoseksual tanpa mengira muda atau tua dan ianya berleluasa dalam kalangan masyarakat sehinggakan mengabaikan kaum Hawa ketika itu. Dan selepas mereka dibutakan Tuhan tatkala cuba mendapatkan tamu baginda, mereka masih mahukan kedua-duanya untuk memenuhi keinginan songsang mereka. Homoseksual ternyata memenuhi kriteria kitab-kitab Kristian dan ia juga menggambarkan kekejaman dan kezaliman Sadum yang tidak mampu disaksikan lagi oleh Nabi Lut dan para pengikut baginda, sekaligus membawa kepada kemusnahan dua bandar berkenaan.

Kitab-kitab Yahudi turut menyelar perlakuan homoseksual. Book of Leviticus misalnya dalam babak 18, ayat 22 menyelar tindakan seorang lelaki tidur dengan seorang lelaki dan seorang wanita tidur dengan seorang wanita. Perlakuan berkenaan juga dilabel sebagai keji atau toebah dalam Bahasa Ibrani. Dalam buku yang sama juga, kesalahan homoseksual dianggap keji dan para pelakunya harus dikenakan hukuman mati. Ada yang menyatakan frasa-frasa sebegini sebagai kolot dan ketinggalan zaman serta orang-orang sebegini harus dijulang sebagai wira dalam komuniti.

Hakikatnya, ia satu kenyataan yang bersifat munafik kerana hanya mahu mengikut apa yang dirasakan sesuai dengan kehendak nafsunya dan menolak apa yang bertentangan dengan kemahuan dirinya. Jika diletakkan kesalahan homoseksual mengikut keseriusan dosa, ia dianggap satu dosa besar dan sebaris dengan zina, mengorbankan kanak-kanak dan mengadakan hubungan seksual dengan haiwan. Malah, ayat-ayat dinyatakan ini bukan saja ditujukan kepada para rahib tetapi kepada semua anak Bani Israel. Selain dilarang dari melakukan empat dosa ini, mereka juga dilarang mengamalkan pemujaan roh dan sumbang mahram.

Justeru sebagai penutup, ingin saya nyatakan di sini bahawasanya homoseksual atau terma sekarang, LGBT ialah satu dosa besar tanpa mengira sesiapa yang mempraktikkannya. Tanpa mengira budaya atau agama seperti yang dinyatakan dalam beberapa artikel The Patriot, ia satu kesalahan yang patut ditolak sekeras-kerasnya bukan saja pada zaman dahulu dan sekarang tetapi sepanjang zaman. Andai ia dianggap jijik di sisi Tuhan hingga membawa kepada kemusnahan Sadum, maka mengapa masih tega memperjuangkannya? Atau memang tidak sabar menanti azab Tuhan kerana apa yang diperjuangkan itu bersifat hak asasi. Ironi kerana pengamal dan penyokong gerakan sebegini sebenarnya menafikan hak kelompok majoriti yang mahu aman dari gangguan nafsu songsang ini.

SUMBER

Koukl, Greg. (2013). StandtoReason.org. What Was the Sin of Sodom and Gomorrah? https://ift.tt/2BgdGTs

Post a Comment

Previous Post Next Post