Saya percaya, sesiapa yang lahir pada sekitar tahun 1990-an atau 1980-an akan kenal satu kartun siri yang menarik dan kelakar. Kartun ini saya masa kecil lagi, kalau pukul 7 petang, mesti akan siar di TV 1 atau TV 2 (maaf, saya dah lupa siaran mana) saya akan duduk dan tengok kartun ini selama 30 minit.
Tapi secara jujurnya, saya tak faham sangat cerita dia sebab gaya bahasanya agak “bahasa pasar” dan juga agak susah nak faham sedikit cerita dia. Iyalah, saya masa itu bak kata orang sekaeang “kanak-kanak Ribena” apabila ia disiarkan semula di TV9 pada tahun 2009, saya menonton dan saya faham jalan ceritanya dan juga mesej setiap siri yang nak cuba disampaikan. Siri kartun itu ialah USOP SONTORIAN. Saya ceritakan sedikit tentang sejarah Kartun ini dan pengajaran saya dapat dalam kartun ini mengikut pendapat saya.
Usop Sontorian adalah siri animasi pertama Malaysia yang disiarkan dalam RTM pada tahun 1996 hingga 1998. Ia direka oleh kartunis Ujang dan pengarah kartun, Kamn Ismail dan diterbitkan oleh Kharisma Pictures Sdn. Bhd yang diketuai oleh Dato Md. Othman Hj. Yusuf atau lebih dikenali sebagai Dato’ MOY (Kharisma Pictures diubah menjadi MOY sekitar awal 2000-an).
Pada awalnya, Usop Sontorian ini adalah salah satu daripada komik sisipan dari Ujang namun disebabkan popularitinya meningkat, Kamn Ismail berbincang dengan pelukis komik ini (Ujang) untuk menjadikannya sebagai kartun animasi bersiri pada tahun 1994. Mereka mengumpulkan berberapa pelukis-pekukis animasi yang lain dari pelusuk kampung untuk membuat animasi ini bertema kehidupan di kampung atau pekan bagi menggambarkan kehidupan luar bandar serta menyelitkan semangat cinta kepada tanahair.
Kartun ini dirasmikan oleh Y.A.B. Dato’ Seri Mohamed Rahmat pada 20 Januari 1996 di PWTC. Kisah Usop Sontorian ini mengisahkan seorang kanak-kanak yang bernama Usop (yang berkemungkinan berusia antara 9 hingga 11 tahun) dan kawan-kawannya yang tinggal di Parit Sonto yang terletak tidak jauh dari pekan Ayer Hitam, Johor. Kartun ini mengisahkan kehidupan kampung yang memfokuskan Usop, yang tinggal bersama keluarganya bersama kakak dan abang yang dikenali sebagai Kiah dan Budin. Usop juga mempunyai kawan-kawan yang akan bersama dengannya iaitu Abu, Dol, Singh, Vellu dan Ah Kim untuk membuat onar ataupun membuat pelbagai “projek” seperti membuat rakit, gasing, meriam buluh terbesar dan lain-lain.
Kartun ini mendapat sambutan hangat rakyat Malaysia kerana ia sememangnya menggambarkan kehidupan kampung dan penyatuan setiap bangsa yang berbeza dalam pelbagai cara. Kartun ini menjadi terkenal sehingga ia disiarkan di Festival Animasi Asia di Hiroshima, Jepun pada tahun 1996. Kartun ini terhenti disebabkan kegawatan ekonomi Asia pada tahun 1998 dan kartun ini agak lenyap dalam masa berberapa tahun. Ia disiarkan semula di TV 9 pada tahun 2009 dan ia menjadi kartun yang masih mendapat sambutan. Kini kartun Usop Sontorian berlegar di seluruh dunia dengan pelbagai tajuk, antaranya Usop dan Kawan-kawan, Usop and Geng dan Adventures of Usop.
Saya memang suka kartun ini kerana selain ia menggambarkan kehidupan kampung, ia juga menggambarkan gaya bahasa yang rakyat biasa gunakan. Pada suatu ketika dahulu, filem Melayu (kecuali filem-filem P. Ramlee), ayat mereka guna agak rasmi dan bertatabahasa namun dalam kartun ini, ia menggunakan bahasa pasar dan kanak-kanak ketika bersama dengan kawan-kawannya untuk berborak dan merancang sesuatu. Dengan gaya bahasa sebegitu, saya dapat “feel” cara rakyat biasa bertutur malah lebih asli.
Saya juga suka dengan cara “setting” cerita ini yang mengisahkan kehidupan kampung serta muzik tradisional digunakan bagi menampakkan keaslian kartun Melayu. Namun bagi saya, jika ia diletkkan pelakon suara dari bangsa lain mungkin akan jadi lebih “gempak” kerana ia lebih asli (kesemua pelakon suara dalam kartun ini ialah berbangsa Melayu, termasuk Ah Kim, Singh dan Vellu) kerana bangsa Cina dan India kebanyakannya akan bertutur bahasa Melayu dengan loghat yang berbeza.
Apa saya lihat dari kartun ini, ia sememangnya menggambarkan penyatuan sesama bangsa adalah perkara yang baik. Kita kena faham, ketika kartun ini disiarkan, penyatuan sesama bangsa adalah perkara yang agak remeh pada ketika itu. Saya tidak kata di Malaysia, Malaysia memang sudah mempunyai masyarakat Majmuk hampir berdekad yang lalu. Tetapi di negara lain.
Pada ketika itu, negara lain mempunyai masalah dalam penyatuan bangsa dalam satu bumbung kerana pemikiran rasis dan apharteid (diskriminasi mengikut kaum) masih menebal. Jika ia tidak membendung, kemungkinan akan berlaku masalah ini di Malaysia secara besar-besaran seperti di Afrika Selatan. Jadi dengan siaran kartun ini, ia memberi gambaran kepada kita yang ia adalah perkara yang baik bila kita bersatu dalam satu kawasan (dalam kartun ini, kampung) untuk hidup secara majmuk.
Penyatuan bangsa ini adalah perkara yang penting kerana kita boleh mengenal setiap budaya-budaya yang berbeza, bekerjasama dalam semua lapisan masyarakat dan lain-lain. Kartun ini memberi gambaran sebegitu selain dari menggambarkan kehidupan luar bandar. Selain itu juga, ia memberi gambaran kepada pemainan tradisi kampung seperti rakit, gasing, meriam buloh dan lain-lain. Bak kata Usop ketika mimpi membuat Meriam Buloh besar
“Meriam ni, kalau kita bomkan, boleh dengar sampai ke Jakarta” -Usop
“Ini bukan satu guni serbuk (kabaid) ni, ni satu lori kena guna”-Abu
Kita boleh buat gambaran, bagaimana kehidupan kampung sebelum datangnya internet, telefon bimbit dan alat-alat teknologi yang lain. Ia memberi gambaran kepada kita, inilah kanak-kanak dahulu menghabiskan masa mereka bermain lagi-lagi masa bulan puasa. Saya amat berterima kasih kepada Ujang dan Kamn Ismail yang membuat memori kanak-kanak kami menyeronokkan bila menonton kartun ini. Bagi saya, jika mereka “rework” kartun ini semula, mesti lagi seronok.
#SelimThe3rd
Rujukan
“Usop Sontorian makes its debut on TV”, New Straits Times, 21 January 1996.
Irma Musliana (7 September 2017). Animasi Malaysia ini paling banyak merentas benua
The evolution of Malaysia’s animation industry The Star (Malaysia) (4 September 2014
Usop Sontorian dilancar hari ini”, Berita Harian, 20 Januari 1996
Mengimbas Kembali Siri Animasi Pertama di Malaysia ‘Usop Sontorian’ Sarawakiana