Kesultanan Sambas antara kerajaan – kerajaan Melayu yang terletak di Kalimantan Barat, Borneo. Kerajaan ini diasaskan pada tahun 1671 oleh Sultan Muhammad Shafiuddin I atau dikenali sebagai Raden Sulaiman yang merupakan putera kepada Sultan Tengah atau Sultan Sarawak. Sultan Muhammad Shafiuddin I telah berkahwin dengan Ratu Sapudak yang merupakan keturunan Raja Majapahit dan pemerintah Sambas yang beragama Hindu.
Mengenai Sarawak merupakan sebahagian daripada Sambas masih lagi diperdebatkan dikalangan ahli sejarah. Menurut peta Borneo yang dilakar oleh Francis Valentyn, Kuching (Sarawak) pada ketika itu merupakan sebahagian daripada Kesultanan Sambas. Walaubagaimanapun, menurut sumber sejarah rasmi, Sarawak diperintah oleh golongan aristokrat Perabangan yang menjadi wakil kepada Sultan Brunei.
Sejarah Kesultanan Sambas bermula apabila Sultan Tengah telah dibunuh di kota Santubong dan meninggalkan pewaris baginda, Raden Sulaiman di Kota Lama, Sambas. Raden Sulaiman amat popular di Kota Lama dikalangan rakyat. Selain itu, Raden Sulaiman juga menyebar dakwah Islam di Sambas bagi meneruskan usaha ayahandanya, Sultan Tengah sehingga Kota Lama menjadi pusat penyebaran agama Islam di Sambas.
Walaubagaiamanapun, Raden Sulaiman terpaksa meninggalkan Kota Lama kerana baginda bimbang ancaman keatas dirinya dan keluarganya apabila seorang menterinya dibunuh oleh Pangiran Aryo Mangkurat kerana dengki dengan populariti Raden Sulaiman di Sambas. Raden Sulaiman dan pengikutnya telah meninggalkan Kota Lama dan pergi menuju ke Kota Bangun. Pada mulanya, Raden Sulaiman ingin kembali ke Sarawak dan mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Sarawak. Namun begitu, baginda telah dinasihati oleh Ratu Kesuma Yudha supaya menjadi Sultan di Sambas. Oleh itu, Raden Sulaiman telah ditabalkan sebagai Sultan Sambas yang memakai gelaran Sultan Muhammad Shafiuddin I pada tahun 1631.
Selepas 15 tahun memerintah Sambas, Sultan Muhammad Shafiuddin I telah menyerah takhtanya kepada puteranya, Raden Bima sebagai Sultan Sambas dengan memakai gelaran Sultan Muhammad Tajuddin I. Selepas itu, Sultan Muhammad Tajuddin I memindah pusat pemerintahan Sambas ke Muara Ulakkan. Tempat tersebut kekal menjadi pusat pemerintahan sehingga sekarang.
Kesultanan Sambas amat terkenal sekali dirantau Alam Melayu dengan menjadi Pusat Ilmuwan Agama Islam. Syeikh Daud Al Fatani, ulama Melayu yang terkenal dari Sambas pernah melawat ke kota Sambas bagi memenuhi jemputan Sultan Sambas, Sultan Muhammad Shaifuddin pada tahun 1820 -an. Di situ juga Syeikh Daud Al Fatani menulis kitab Dhiya Murid. Selain itu, kota Sambas juga menjadi tempat kelahiran Wali Allah Besar, Syeikh Ahmad Khatib Sambas yang menjadi pengasas Tarikat Qadiriyyah wal Naqsyabandiyyah.
Kesultanan Sambas juga amat makmur dalam kekayaan emas terutama sekali ketika zaman pemerintahan Sultan Umar Akamuddin II (1760-1793). Baginda telah menjemput kaum Cina untuk bekerja sebagai pelombong emas. Walaubagaimanapun, cukai yang dikenakan keatas kaum Cina terlalu tinggi sehingga menyebabkan kaum Cina memberontak. Oleh kerana tiada pilihan, Sultan Umar Akamuddin II terpaksa memohon Belanda untuk menghapuskan pemberontakan kaum Cina.
Sultan Muhammad Ibrahim Shafiuddin merupakan Sultan Sambas yang berdaulat yang terakhir memerintah Sambas dari tahun 1931 sehingga 1944. Ketika Perang Dunia Kedua tercetus, Jepun telah menakluki Kalimantan. Dalam satu peristiwa yang berdarah iaitu Peristiwa Mandor dimana beberapa kaum Melayu dan Dayak telah menjadi mangsa pembunuhan beramai – ramai oleh tentera Jepun. Beberapa para Sultan Melayu juga turut dibunuh termasuklah Syarif Moehammad Alkadri (Sultan Pontianak), Sultan Muhammad Ibrahim Shafiuddin (Sultan Sambas), dan ramai lagi kerabat diraja Melayu telah menjadi mangsa korban keganasan tentera Jepun.
Sekarang, Kesultanan Sambas terus menjadi institusi adat Melayu Sambas bagi tidak menyelisihi politik di Indonesia dan bukanlah sebuah institusi bersifat politik lagi. Sultan Muda Muhammad Tarhan merupakan Sultan Sambas sekarang yang ditabalkan pada tahun 2008.
Rujukan:
Andry, Borneo Tribun (June 27, 2008). “Hadirkan Dubes Jepang” Borneo Tribun. Retrieved from: https://ift.tt/2PXQblk
Al-Fatani, A. F. (2011). Ulama’Patani di Terengganu: Sejarah dan Peranan (Dari Tuan Hassan Besut hingga Haji Abdul Rahman Pombeng). Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Islam, Universiti Kebangsaan, Malaysia.
Risa, R. (2015). ETNIS CINA DI KESULTANAN SAMBAS TAHUN 1760-1854. Khatulistiwa, 5(2).
Larsen, I. (2012). The First Sultan of Sarawak and His Links to Brunei and the Sambas Dynasty, 1599–1826: A Little-known Pre-Brooke History. Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, 1-16.