Khalifah Al-Ma’mun – Bapa Pendidikan Abbasiyyah (813-833)

Khalifah Al Ma’mun atau nama sebenarnya Abu Abbas Al-Ma’mun bin Harun Ar-Rasyid dilahirkan di Baghdad pada 14 September 786. Baginda dilahirkan beberapa minggu selepas bapanya, Harun Ar-Rasyid menjadi Khalifah pada tahun 786. Baginda ialah abang kepada Khalifah sebelumnya, Al-Amin (809-813). Sejak kecil lagi, baginda bersama adiknya dididik oleh guru dan mentor bapanya (Harun Ar-Rasyid).

Seperti adiknya, baginda diajarkan ilmu dalam bidang pentadbiran, perang, sastera, bahasa dan ilmu hisab. Semenjak kecil lagi, hubungan dengan Al-Amin agak renggang disebabkan perbezaan pendapat dan juga persaingan. Hubungan ini dilihat sendiri oleh Harun Ar-Rasyid dan disebabkan itu Harun Ar-Rasyid membuat satu wasiat yang akan menaikkan Al-Amin sebagai penggantinya dan Al-Ma’mun dijadikan gabenor Khurasan dan bakal menggantikan adiknya selepas adiknya mangkat.

Ada yang menyokong Al-Ma’mun sebagai khalifah seterusnya mengantikan ayahnya kerana statusnya sebagai anak sulung berbanding Al-Amin sesuai dengan peraturan utama monarki. Sokongan lain pula memetik Al-Ma’mun kelihatan lebih kuat dan berkarisma berbanding Al-Amin. Namun ada juga yang menyokong Al-Amin menggantikan Harun Ar-Rasyid kerana keturunan bangsanya.

Ibu baginda berasal keturunan Parsi dan Al-Amin berketurunan bangsa Arab penubuh Keluarga Abbasiyyah. Jadi mereka (menteri-menteri zaman pemerintahan Harun Ar-Rasyid) bersetuju untuk melantik Al-Amin menjadi khalifah selepasnya kerana darah yang lebih tulen. Akhirnya Khalifah Harun Ar-Rasyid melantik Al-Amin menjadi khalifah dan mangkat pada tahun 809.

Pada zaman pemerintahan Al-Amin berlaku kontroversi dan masalah politik di mana zamannya dibahagi dua kumpulan yang menyokong Al-Amin dan juga penyokong Al-Ma’mun. Terjadinya perang saudara sehingga Baghdad ditawan oleh askar Al-Ma’mun yang diketuai oleh Tahir Al-Husayn lalu menangkap serta memancung Khalifah Al-Amin pada tahun 813 Masihi. Kemangkatan Al-Amin menandakan permulaan era Al-Ma’mun menjadi Khalifah ke 7 Empayar Abbasiyyah.

Ketika Al-Ma’mun menjadi Khalifah, Empayar Abbasiyyah dalam kucar kacir apabila perang saudara masih berlaku dek gerakkan balas dendam oleh penyokong Al-Amin untuk menawan semula Baghdad. Disebabkan perang ini, baginda dinasihatkan untuk tinggal di Merv, Turkmenistan dan mengarahkan askarnya yang majoriti dari kaum Parsi untuk mempertahankan Baghdad. Pada tahun 815, Mekah dan Madinah sekali lagi ditawan oleh pemberontak yang diketuai oleh Muhammad bin Al-Ja’far As-Siddiq menjadi Khalifah di Mekah sebelum dikalahkan dengan mudah dan lalu memberi semula jajahannya kepada Abbasiyyah namun tetap memasang tekas akan menawan semula Mekah selepas kemangkatan Al-Ma’mun.

Baginda juga melakukan satu perubahan besar di mana baginda meminta Imam Reza, seorang Imam keturunan ke-8 Nabi Muhammad S.A.W. menjadi Khalifah seterusnya. Ia mendapat tentangan hebat oleh keluarga Abbasiyyah yang lain namun menerimanya kerana melihat dari segi politik, baginda tidak mahu ada golongan yang bersimpati kepada keturunan Ahlul-Bayt yang sememangnya dipandang tinggi oleh kebanyakan umat Islam pada zaman pemerintahan baginda.

Malah, reputasi keluarga Abbasiyyah agak tercalar akibat kelakuan moyangnya, As-Saffah (750-754) yang menepikan Syiah dan juga keturunan Ahlul-Bayt sedangkan ia adalah janji khalifah itu sebelum menjatuhkan Empayar Umaiyyah. Terdapat banyak spekulasi tentang keputusan Al-Ma’mun ingin melantik Imam Reza sebagai Khalifah selepas baginda

Ada yang mengatakan bahawa Imam Reza dijadikan alat untuk mengelakkan ada usaha menjatuhkannya. Ada juga pendapat bahawa baginda tidak mempercayai anak-anaknya yang kurang berkarisma dan tiada sifat kepimpinan. Tidak dipastikan mana satu yang betul tetapi spekulasi ini menular di seluruh Empayar dan ia semakin teruk apabila Imam Reza mangkat pada tahun 818 atas sebab yang tidak dipastikan.

Imam Reza dimakamkan sebelah makam bapa baginda, Harun Ar-Rasyid di Khurasan. Kematian Imam Reza mendatangkan kemarahan orang ramai kerana ada yang menuduh banginda yang membunuh Imam Reza. Malah ada yang berpendapat, selepas penaklukan tentera Al-Ma’mun di Baghdad, penglima Tentera Al-Ma’mun iaitu Tahir bin Al-Husayn dihantar ke Ar-Raqqah untuk memerintah di sana. Di sana, Tahir mentadbir wilayah tersebut tanpa apa-apa bantuan daripada baginda sehingga ada yang mengatakan bahawa Tahir telah diketepikan oleh Al-Ma’mun.  Tindakan baginda ini adalah kerana baginda lebih fokus untuk menjaga “hati” umat Islam yang ketika itu agak obses dengan Imam Reza kerana keturunan beliau.

Selepas perang saudara yang panjang dan memenanginya, baginda akhirnya tiba di Baghdad setelah hidup dalam “buangan” di wilayah lain selama 10 tahun. Ketibaan baginda adalah dalam pakaian serba hijau yang menjadi simbol kepada perpaduan dan menyatukan semula wilayah. Baginda duduk di atas takhta Abbasiyyah di Baghdad dan mengarahkan askar Abbasiyyah untuk menangkap pemberontak dan memerangi mereka.

Sedikit demi sedikit, keadaan Abbasiyyah semakin aman (masih ada lagi pemberontak tetapi sudah berkurangan) membolehkan baginda memerintah Abbasiyah secara sepenuhnya tanpa gangguan. Zaman baginda juga terkenal dengan jihad memerangi Empayar Byzantine kerana isu sempadan Baginda mengarahkan askarnya untuk menawan berberapa wilayah yang dirampas oleh Byzantin ketika berlakunya perang saudara dalam Abbasiyah.

Akhirnya, baginda berjaya mengalahkan Byzantine dalam dua pertempuran besar (824 dan 827) yang telah mengorbankan hampir 40,000 tentera Byzantin. Malah Abbasiyyah telah berjaya menawan  Pulau Sicily namun ia berlaku dalam tempoh hanya berberapa bulan sahaja selepas berlaku konfrontatasi antara penduduk pulau itu dan tentera Abbasiyah, mereka (tentera Abbasiyyah) telah dihalau keluar dari pulau itu.

Maka, hilanglah salah pulau strategik bagi aktiviti perdagangan Laut Mediterrenean. Namun demikian, zaman baginda jugalah menyaksikan berlakunya sebuah perjanjian damai antara Abbasiyyah dan Byzantine pada tahun 829. Selain tidak berperang antara satu sama lain, berlaku juga pertukaran teknologi dan ilmu antara kedua-dua tamadun ini. yang bernilai ratusan tahun lamanya.

Pada zaman baginda, bermulanya transformasi pendidikan Abbasiyyah. Baginda membuka dua sekolah astronomi di lembah Mesopotamia serta memanggil pakar-pakar bahasa Yunani Purba untuk menterjemahkan buku Plato, Aristotle dan beberapa lagi tokoh lain kepada bahasa Arab. Baginda juga membuka beberapa sekolah dan universiti bahasa di mana baginda mewajibkan pelajarnya untuk mempelajari bahasa lain selain bahasa Arab yang bertujuan untuk memupuk perpaduan rakyatnya yang berbilang bangsa selain menyuburkan gerakan penterjemahan manuskrip dan kitab-kitab ilmu yang lain.

Zaman baginda juga berlakunya penyebaran ilmu seperti sains, matematik, fizik dan biologi.  Subjek-subjkek ini diperkenalkan oleh baginda melalui pelbagai professor dan tokoh di seluruh rantau malah terdapat banyak cendekiawan Islam lahir menjadi tokoh dalam pembaharuan pendidikan Abbasiyyah seperti Jabir Ibn Hayyan, Yusuf Lukwa, Ibn Hambal dan lain-lain lagi. Pengenalan rumah-rumah farmasi dan makmal ubat penyembuh penyakit mula membesar selaras dengan pembukaan rumah kajian ubat.

Pembelajaran falsafah dan proto-sains juga berkembang di mana kajian seperti tumbuhan dan fizik sangat giat dijalankan pada zaman baginda. Beberapa buah sekolah dan tempat  pendidikan baru di buka di kawasan lain selain Baghdad seperti di Damsyik, Khurasan, Mekah, Madinah, Rayy (Tehran) dan kawasan sekitar Anatolia. Perancangan sistematik ini juga dimudahkan dengan pembukaan jalan yang turut disediakan rumah rehat untuk pengembara dan ilmuan selain keamanannya dijamin dengan tentera yang sentiasa berkawal.

Disebabkan ilmu astronomi dan geografi mula meluas ketika pemerintahan baginda, maka lahirlah peta Abbasiyyah yang pertama, yang dengan jelas memaparkan semua wilayah tanah Arab sehingga ke Eropah. Peta ini berjaya dihasilkan atas usaha pengkaji geografi dan juga pedagang-pedagang yang mempunyai latar belakang astronomi dan geografi. Peta ini masih lagi wujud dan dipamerkan di Tokapi Sarai, Istanbul. Ia adalah peta yang pertama dibuat di rantau ini dan ia menjadi penunjuk arah yang penting pada ketika itu.

Malah usaha menghasilkan peta ini disambung pula oleh Tamadun China yang bermula dengan hubungan dagang antara pedagang Arab Abbasiyah ke China. Walaupun terkenal antara peta terawal yang dihasilkan pada zaman itu, ia masih lagi belum lengkap kerana kebatasan teknologi dan benua Amerika yang masih belum ditemui.

Bidang arkeologi sejarah juga mengalami perkembangan yang membanggakan dengan pembukaan sekolah arkeologi khas untuk mengkaji sejarah silam. Dikatakan, Khalifah Al-Ma’mun amat meminati sejarah dan arkeologi sehingga baginda sendiri pergi ke Mesir semata-mata untuk mengkaji Piramid Giza. Pencarian baginda ke sana dipandu keinginan untuk masuk sendiri ke dalam piramid tersebut dan menyelidik mengenai kisah harta karun firaun yang kononnya bersemadi di dasar piramid.

Baginda berjaya memasuki Piramid Giza hasil bantuan ahli arkeologi yang telahmenggali sebuah terowong yang dikenalis ebagai Robbers Tunnel. Sehingga hari ini, terowong ini masih lagi wujud dan boleh dilihat oleh pengunjung Piramid Giza. Terowong merupakan laluan pintas ke dalam piramid yang di mana laluan asalnya telah tertimbus sejak ribuan tahun.

Pendidikan kebudayaan di Abbasiyah juga ditekankan, mengajar rakyat di wilayah Abbasiyyah tentang kehidupan budaya yang berbeza demi menanam sikap menghormati pelbagai kaum. Baginda juga memberi jaminan perlindungan untuk agama lain yang untuk diamalkan di wilayah Abbasiyyah.

Baginda turut memperkenalkan sekolah-sekolah khas untuk agama lain untuk memudahkan pengganutnya mereka meneruskan pembelajaran dalam bidang berkaitan sosial, teologi. Peruntukkan khas diwujudkan, manakala guru-guru agama dari wilayah asing diambil memudahkan proses pembelajaran pelbagai ilmu. Kewujudan sekolah-sekolah ini adalah berasaskan syarat tidak ada sebarang revolusi dicetuskan melawan kepimpinan baginda.

Sudah tentu pendidikan Islam turut dijulang dibawah pemerintahan baginda. Antara usaha baginda:

  1. Membuka Maktab Institusi Dasar di mana diajarkan ilmu-ilmu Khat, Kaligrafi, Al-Quran, Akidah dan Syair.
  2. Memperkenalkan Halaqah yang bermaksud pelajaran dalam bulatan di mana seorang guru akan duduk bersila bersmaa 10-12 murid-murid bersila di atas lantai atau bawah pokok untuk memulakan ilmu. Ini bertujuan untuk merapatkan hubungan murid-murid dan guru
  3. Memperkenalkan Majlis-Majlis Institusi pendidikan Islam dimana setiap majlis ini fungsinya untuk memfokuskan pembangunan dalam pelbagai subjek berkaitan agama Islam. Terdapat tujuh majlis disediakan:i. Majlis Al-Hadith
    ii. Majlis Al-Tadris
    iii. Majlis Al-Munazarah
    iv. Majlis Al Muzakharah
    v. Majlis Al-Syu’Ara
    vi. Majlis Al-Adab
    vii. Majlis Al-Fatwa
  1. Kelas-kelas di masjid yang diperkenalkan ketika zaman Khalifah Al-Mahdi diperluaskan dan dijadikan pusat institusi utama Islam.
  2. Pembinaan asrama untuk pelajar sama ada luar dan dalam Abbasiyyah untuk tinggal. Pada awalnya, sejak zaman Khalifah Al-Mahdi, pelajar akan tinggal di kawasan masjid, Namun semuanya berubah apabila baginda membina berberapa asrama untuk kemudahan pelajar muslim yang turut diluaskan untuk kegunaan pelajar bukan Islam.
  3. Ribath ialah tempat tinggal sufi yang dibina dikawasan jauh dari bandar. Ribath ini digunakan sebagai pusat ibadah dan permantapan akidah. Tujuannya menumpukan daya usaha semata-mata beribadah kepada Allah dan meninggalkan duniawi.
  4. Rumah-rumah ulama dijadikan tempat bercambahnya ilmu dengan galakkan kepada para ulama untuk
  5. Membuka pelbagai perpustakaan di seluruh Empayar Abbasiyyah untuk bahan rujukan para pelajar.
  6. Membuka balai cerap
  7. Membuka hospital.

Sungguhpun dengan pencapaian hebat ini, zaman baginda juga dilanda kontroversi besar di mana baginda meletakkan akidah Muktazillah sebagai ajaran yang utama. Muktazillah secara umumnya merupakan ajaran yang mengangkat rasional akal melebihi wahyu. Namun, terdapat pendapat yang mengatakan bahawa baginda sempat bertaubat sebelum kewafatannya kerana mengangkat akidah yang bertentangan dengan Ahlul Sunnah Wal Jamaah ini.

Kisah kematian baginda agak menyedihkan. Diceritakan ketika bersama beberapa jemaah menteri dan pengawal baginda berjalan ke Tarsus atas urusan yang melibatkan baginda dan maharaja Rom, baginda sampai di sebatang sungai yang cantik. Sungai itu menjadi lokasi rehat baginda. Baginda bertanya kepada penduduk di sana, jika airnya agak jernih dan cantik ini, adakah tanaman kurmanya tumbuh segar dan cantik?

Malah, baginda memesan buah kurma hasil dari sungai ini. Ketika memakan buah kurma ini, tidak langsung timbul sebarang syak wasangka. Baginda mempercayai kualiti buah tersebut kerana ia datang daripada sumber yang bersih. Esoknya, rombongan Baginda dilanda keracunan makanan yang dasyat, yang mengakibatkan sebahagian daripadanya mangkat termasuklah. Akhirnya, pada 9 Ogos 833, pada usia 47 tahun, setelah sakit berberapa hari, baginda menghadap sang pencipta.

Tiada siapa tahu bagimana baginda sakit dan buah kurma yang dinikmati oleh mereka juga tidak ada sebarang bukti ia diletakkan racun. Kemangkatan baginda menjadi kejutan orang ramai di seluruh wilayah Abbasiyyah selepas memerintah selama 20 tahun dan mangkat ketika usia 47 tahun. Baginda dimakamkan di Masjid Besar Tarsus.

 

Post a Comment

Previous Post Next Post