Kpop: Sejarah Ringkas Senjata Perang Budaya Korea Selatan

Saya sejujurnya mempunyai hubungan suka dan benci jika disabitkan dengan muzik KPOP. Mungkin kerana saya membesar bersama generasi yang telinga kami sudah tepu mendengar lagu-lagu Indonesia yang terlampau banyak memenuhi corong radio di Malaysia ketika itu. Ingin mendengar lagu Malaysia pula tidak kena dengan jiwa kerana lagu Malaysia ketika itu terlampau banyak cenderung ke arah genre pop. Jiwa saya pula lebih kepada muzik alternatif dan metal.

Akhirnya saya mengikut sama anak-anak muda lain yang sealiran fikiran dengan saya ketika. Kami mula memperhebatkan gerakan muzik indie di Malaysia. Yang mana akhirnya gerakan muzik ini menamatkan gelombang muzik Indonesia di Malaysia dan mengakibatkan lagu Malaysia mula mendapat tempat semula di radio. Saya masih ingat bagaimana bapa saya pernah memberi komen yang beliau tidak faham apa yang dinyanyikan oleh lagu-lagu Indie yang saya dengar biarpun lagu itu lagu Melayu. Namun bapa saya sebagai seorang nasionalis tegar tidak pula membantah pilihan lagu saya kerana beliau tahu lagu-lagu tersebut masih lagu tempatan.

Saya menyebut saya mempunyai hubungan suka dan benci dengan muzik KPOP kerana seperti lagu-lagu dari Indonesia saya tidaklah menolak kesemuanya. Mana-mana lagu yang saya rasa sedap di telinga saya, saya tetap juga mendengar lagu tersebut secara berkala. Lagu-lagu dari Indonesia contohnya mungkin saya tidak begitu mendengar lagu-lagu aliran arus perdana mereka. Namun saya kenal kumpulan-kumpulan muzik dari Indonesia yang bermain muzik alternatif seperti SiksaKubur dan Burgerkill. Begitu juga dengan KPOP.

Tipulah andai saya tidak kenal siapa itu BigBang, Momoland, BlackPink dan lain-lain. Mungkin kerana saya sendiri dari generasi yang menamatkan kitaran trend muzik yang lama dan memulakan trend baru melalui muzik indie, saya juga memahami segala perkara dalam dunia ini ada tempoh masa jatuh bangunnya yang tersendiri. Tidak ada perkara yang kekal selamanya dalam dunia. Lebih-lebih lagi dalam isu trend muzik. Indie itu sendiri tenggelam buat beberapa waktu buat masa kini dan digantikan dengan trend KPOP.

Maka saya disini. Menghabiskan beberapa jam dari waktu hidup saya. Untuk memahami sejarah dan bagaimana terbentuknya sebuah trend bernama KPOP.

BALIK ASALNYA MUZIK KPOP

Rangkum waktu yang terawal saya boleh menjumpai perkataan KPOP ialah seawal dua dekad yang lalu. Kita semua tahu perkataan KPOP itu berasal dari Muzik Korean Pop. Namun muzik KPOP hanyalah sebahagian dari jentera budaya yang lebih besar yang dikenali sebagai gelombang Halyu ataupun gelombang Korea.

Dari mata politikalnya saya amat mengagumi Industri KPOP dari sudut susun aturnya yang amat mirip dengan sistem ketenteraan moden. Artis-artis mereka dilatih dari usia yang muda dan mempunyai disiplin dan susun atur hidup yang amat tinggi ibarat mereka benar-benar seorang askar yang akan berjuang meluaskan wilayah negara mereka. Biarpun ianya dari segi budaya.

Di zaman moden ini banyak negara sudah tidak begitu memandang lagi penjajahan menerusi budaya dan lebih memberi fokus pada ekonomi dan ketenteraan. Namun Korea dilihat mengambil pendekatan yang sebaliknya dan Korea dilihat begitu berjaya dari sudut ini. Ingin juga saya tahu siapakah yang merancang susun jentera perang budaya bagi negara Korea ini.

ERA 1970’an

Nama yang paling hampir untuk dianggap sebagai general tentera Korea dalam perang budaya ini ialah Lee Soo Man. Lee Soo Man merupakan pengasas rekod label SM Entertainment, salah satu label gergasi dalam industri muzik korea. Pengaruh Lee Soo Man begitu besar sehingga beliau kini digelar presiden budaya rakyat Korea. Pendidikan yang diterima oleh Lee Soo Man bukanlah biasa-biasa. Beliau merupakan alumni salah satu universiti yang kini dianggap antara universiti terkemuka di dunia iaitu Seoul National University (SNU).

Selepas bergraduasi Lee Soo Man telah menjadi seorang penyanyi yang agak popular. Beliau sempat mempunyai karier solo sebagai penyanyi dan mempunyai beberapa lagu popular seperti “Happiness” dan “One Piece of a Dream”. Biarpun Lee Soo Man boleh dikata seorang penyanyi lagu balada dan pop beliau juga mempunyai kecenderungan terhadap muzik rock dan metal. Atas faktor kecenderungan inilah beliau cuba menubuhkan sebuah kumpulan projek muzik metal yang dinamakan Lee Soo Man and 365 days.

Nasib Lee Soo Man dalam cubaan memasuki genre rock dan metal agak buruk. Korea Selatan ketika itu mengamalkan sekatan media yang agak kuat terutamanya dalam perihal hiburan angkara konflik dengan Korea Utara. Ini mengakibatkan beliau meninggalkan industri muzik buat sementara waktu. Beliau ketika itu memilih untuk menyambung pelajaran dalam bidang kejuruteraan robotik di Universiti California.
US ketika itu sedang mengalami kegemilangan era muzik pop mereka.

Artis-artis seperti Michael Jackson dan Madonna menguasai carta. Revolusi dalam muzik di US ini dinamakan revolusi MTV seiring dengan kewujudan dan permulaan stesen MTV ketika itu. Kesemua perkara ini tidak lepas dari pandangan Lee Soo Man. Beliau amat minat memerhati bagaimana artis-artis ini diuruskan serta bagaimana imej dan lagu-lagu mereka dipasarkan. Beliau cukup tertarik dengan konsep bagaimana hampir setiap lagu yang berbeza mempunyai koreografi tarian yang khusus untuk setiap lagu. Pada waktu ini Lee Soo Man mula merangka formula untuk mengatasi sekatan media kerajaan dan mempunyai pasaran luas di Korea Selatan.

ERA 80’AN

Korea pada era ini tidak mempunyai sebuah industri muzik yang kukuh. Apatah lagi untuk menawan pasaran negara luar. Namun segalanya berubah menjelang era 80’an dengan berlangsung Sukan Olempik di Korea pada tahun 1988. Kerajaan Korea Selatan ketika ini buat sementara waktu telah membuang sekatan terhadap media hiburan serta perjalanan mereka. Ini membenarkan rakyat Korea Selatan ketika itu mempelajari mengenai dunia berserta trend-trend di negara lain termasuklah trend hiburan.

Kebebasan baru ini biarpun pada asalnya lebih bersifat politik namun ianya turut diterjemahkan dalam bidang seni Korea apabila pemuzik-pemuzik serta pemain industri muzik mereka mula melakukan experimentasi muzik. Perkara pertama yang disedari oleh mereka ialah muzik mereka perlulah unik sekiranya mereka mahu mencapai capaian yang lebih luas.

Experimentasi ini membenarkan kebudayaan moden Korea memuncak. Anehnya kebudayaan moden Korea ini dipacu dengan semangat konservatif dan nasionalisme yang amat tinggi. Rakyat Korea bangga menikmati budaya baru mereka dan mempunyai semangat yang amat tinggi untuk menyebarkan budaya tersebut ke dunia luar pula.

ERA 90’AN

Pada era 90’an ataupun lebih tepat pada tahun 1992 kumpulan terawal yang mengikut acuan moden kumpulan KPOP, biarpun masih pada tahap konsep yang primitif, bernama SEO Taiji Boys telah muncul. Ahli kumpulan tersebut ialah Seo Taiji, Lee Juno dan juga Yang Hyung Suk. Yang Hyung Suk merupakan satu nama yang harus diperhatikan disini kerana beliau selepas itu membentuk YG Entertaiment, satu lagi syarikat gergasi yang memacu industri KPOP.

Konsep yang dibawa oleh Seo Taiji Boys amat mudah. Mereka perlulah berwajah tampan, pandai menari, dan tidak semestinya perlu pandai menyanyi kerana dalam kumpulan itu hanya Seo Taiji yang memiliki kemahiran vokal. Mereka juga menunjukkan kebolehan untuk tidak terikat dengan satu genre muzik sahaja. Genre seperti hip-hop, tekno dan juga pop mereka berjaya adunkan dalam satu lagu yang sama. Pada era itu adalah amat jarang untuk seseorang penyanyi boleh menceburi genre yang berbeza dalam satu album yang sama. Konsep ini kemudiannya dianggap menjadi titik mula KPOP moden.

Seo Taiji And Boys – I know

Berbalik kepada Lee Soo Man, beliau telah pun kembali ke Korea dalam tempoh ini. Pada tahun 1995 akhirnya SM Entertainment tertubuh secara rasmi. Cara pengurusan Lee Soo Man adalah amat berbeza dari label-label muzik yang lain di Korea ketika itu. Jika label muzik lain berpendapat fungsi mereka ialah menarik mereka yang berbakat dalam bidang muzik menyertai mereka, Lee Soo Man melalui SM Entertainment pula berpendapat mereka boleh menghasilkan artis-artis mereka dengan sistem ibarat akademi muzik.

Lee Soo Man menguruskan segala aspek kehidupan artis mereka. Sistem ibarat pangkat juga diperkenalkan dimana seseorang artis itu harus bermula dari peringkat pelatih dan mengikuti siri latihan sebelum mereka boleh dianggap “bergraduasi” dan ditentukan yang mereka itu akan menjadi artis solo atau pun berkumpulan. Beliau juga tidak hanya menekankan aspek muzik malah aspek lain seperti latihan lakonan turut diperkenalkan. Ini menyebabkan artis keluar SM Entertainment menjadi cukup versatil dan benar-benar berstatus seorang penghibur baik dari segi nyanyian, tarian atau lakonan.

Artis pertama yang diperkenalkan oleh SM Entertainment ialah kumpulan H.O.T pada tahun 1996. Jika Seo Taiji Boys memperkenalkan konsep boyband KPOP, H.O.T pula dianggap sebagai kumpulan yang menyempurnakan konsep boyband KPOP. Konsep yang diperkenalkan melalui SM Entertainment melalui H.O.T diteruskan oleh kumpulan-kumpulan lain seperti Shinhwa, SES, Fin.KL, dan juga G.O.D.

Kumpulan H.O.T.

Pada tahun 1996 bekas ahli kumpulan Seo Taiji Boys iaitu Yang Hyung Suk telah pun menubuhkan YG Entertainment. Manakala seorang penyanyi bernama Park Jin Young telah menubuhkan label muzik milik beliau sendiri bernama JYP Entertainment pada tahun 1997. Ke dua label ini kemudiannya bersama SM Entertainment menjadi label-label gergasi dalam industri KPOP di kemudian harinya. Dengan wujudnya 3 syarikat label ini industri KPOP mula bersaing dengan sengit menggunakan formula yang sama. Ini akan mendorong industri ini berkembang pesat pada tahun-tahun mendatang.

ABAD KE 21: PERMULAAN GENERASI KE DUA.

Menjelang abad ke 21 ataupun tahun 2000 dan ke atas artis-artis KPOP telah pun memasuki generasi yang ke dua. Jika generasi yang pertama mengasaskan dan memulakan industri maka sasaran generasi ke dua ialah untuk mula menembusi pasaran antarabangsa. Menjelang abad ke 21 ini juga jualan muzik secara fizikal telah jatuh mendadak disebabkan cetak rompak digital. Industri muzik Korea ketika itu merudum sedikit kerana dari segi perundangannya mereka tidak begitu bersedia untuk berdepan cetak rompak digital. Maka untuk mengurangkan kesan negatif ini Korea mula berhajat mengembangkan pasaran mereka ke luar negara.

Sasaran utama Korea ialah Jepun dan US. Sebabnya adalah mudah. Ke dua Jepun dan US merupakan negara pendengar muzik terbesar dalam dunia. Jika Korea berjaya menembusi pasaran muzik ke dua negara ini maka masa depan industri mereka akan terjamin. Ini merupakan titik mula di mana pemain-pemain industri menukarkan sasaran industri mereka kepada pasaran eksport.

Projek BOA diwujudkan demi merealisasikan matlamat ini. Lee Soo Man melain BOA projek berhasrat untuk menghasilkan seorang penyanyi wanita yang berkemampuan untuk menembusi pasaran Jepun. Beliau tidak yakin Korea akan mempunyai seorang artis yang berkemampuan untuk menembusi pasaran Jepun jika beliau semata menunggu artis sedemikian rupa untuk muncul.

Maka langkah yang terbaik bagi beliau ialah menghasilkan artis tersebut secara artifisial melalui projek BOA. Projek BOA ketika itu ibarat telah menjadi senjata nuklear buat Korea dalam perang budaya ini. Projek ini dinamakan projek BOA sempena nama calon yang akan dijadikan subjek uji kaji untuk projek ini iaitu Kwon Bo-ah. SM Entertainment dilaporkan telah melaburkan hampir 3 juta US Dollar dalam Projek BOA ini.

Selama 3 tahun BOA telah dilatih dengan keras dengan segala jenis latihan yang ada baik nyanyian ataupun tarian. Hidup beliau disusun atur dengan kemas untuk memastikan projek tersebut berjaya. Malah BOA turut diberi latihan bahasa dalam kedua bahasa Jepun dan Inggeris. BOA ketika itu ibarat telah menjadi seorang super soldier bagi industri muzik Korea.

Pada tahun 2000, ketika BOA baru berusia 13 tahun, beliau telah debut buat pertama kali di Korea. Sambutan BOA hanyalah suam-suam kuku di negara asal beliau sendiri dengan Korea. Namun SM Entertaiment dengan kerjasama syarikat label Jepun iaitu AVEX berjaya membuatkan BOA membolosi pasaran Jepun. BOA tidak dipasarkan sebagai seorang artis Korea.

Sebaliknya BOA hanyalah disebut sebagai artis tanpa begitu menyentuh latar belakang asal usul beliau. Kemampuan beliau untuk menyanyi dan bercakap dalam bahasa Jepun juga memudahkan rakyat Jepun untuk menerima BOA. BOA dikatakan telah menjual hampir 1 juta album di Jepun sahaja. Konsep tersebut masih lagi digunakan untuk masa kini yang mana artis dan kumpulan KPOP akan menghasilkan lagu mereka dalam versi Jepun dengan harapan untuk menembusi pasaran Jepun.

Kejayaan BOA telah menyebabkan Kerajaan Korea mengambil keputusan untuk membuang sekatan terhadap import masuk kebudayaan Jepun. Korea pada asalnya menyekat sebarang bentuk lagu dan filem dari Jepun atas faktor Jepun pernah menjajah Korea. BOA selepas itu menjadi artis asing pertama berjaya menjuarai carta muzik Jepun dalam sejarah industri muzik Jepun.

Kwon Bo-ah @ BOA

Pada tahun 2002 pula kumpulan H.O.T telah berjaya mengadakan sebuah konsert di Beijing, China. Pada waktu ini media-media China telah menggelarkan mereka sebagai sebahagian dari Korean Wave ataupun Halyu Wave. Halyu Wave ini dianggap sebagai satu cubaan penembusan budaya yang amat agresif dari Korea menurut media China. Pada tahun 2005 pula satu lagi kumpulan dibawah naungan SM Entertainment iaitu TVXQ berjaya menembusi pasaran Jepun. TVXQ seterusnya berjaya menjadi kumpulan boyband Korea pertama yang berjaya menjuarai carta muzik Jepun.

Pada tahun 2007 raja bagi generasi kedua kumpulan KPOP iaitu kumpulan Big Bang telahpun debut. Big Bang bersama kumpulan Wonder Girls berjaya menimbulkan semula minat rakyat Korea terhadap kumpulan berkonsep idol group. 2007 selepas itu dinobatkan sebagai era kegemilangan industri KPOP. Kumpulan-kumpulan yang ditubuhkan dalam sekitar tahun itu majoritinya berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Malaysia belum menerima kesan yang kuat ketika itu kerana gerakan Indie ketika itu mula mendapat momentum yang amat kuat dengan dua kumpulan indie iaitu Hujan dan Bunkface. Hanya beberapa tahun selepas itu barulah KPOP mula menembusi pasaran Malaysia.
Pada tahun 2008 laman web Youtube mula menjadi popular. Pada waktu itu kumpulan Wondergirl telah berjaya menjadi viral di Youtube melalui lagu mereka “Nobody”.

Populariti lagu tersebut di pasaran antarabangsa telah menyebabkan mereka menghasilkan lagu tersebut dalam bahasa Inggeris sepenuhnya sebagai versi antarabangsa. Pada saat ini KPOP berjaya memecah masuk pasaran muzik US.
Industri KPOP mula menyedari bagaimana mereka mampu menggunakan Youtube untuk membantu populariti artis mereka. Kejayaan wondergirl berjaya diulang oleh kumpulan SuperJunior menerusi lagu mereka “Sorry-Sorry”. Muzik video lagu Sorry-sorry telah menjadi antara video muzik terviral pada waktu itu di laman Youtube. Girl Generation menerusi lagu mereka “Gee” juga berjaya melakukan perkara yang sama.

Demi memastikan KPOP benar-benar berjaya menembusi pasaran US, BOA dan juga RAIN, yang mana mereka merupakan antara artis KPOP paling senior ketika itu telah diberi tanggungjawab besar untuk menarik minat rakyat US terhadap KPOP. Rain ketika itu terutamanya memasuki carta majalah TIME sebagai salah seorang dari 100 orang individu yang paling berpengaruh dalam dunia. Rain juga telah berlakon dalam beberapa filem di US seperti Ninja Asasin dan juga Speed Racer. Biarpun begitu mereka tidak begitu berjaya menembusi pasaran US.

2011: PERMULAAN GENERASI KETIGA KPOP.

Tidak banyak yang dapat saya katakan mengenai generasi ketiga ini. Kerana tidak ada satu kumpulan yang benar-benar berpengaruh. Mungkin peminat BTS akan geram dan mula memaki hamun saya atas kenyataan ini namun anda harus ingat, baru beberapa tahun lepas kumpulan EXO merupakan antara kumpulan KPOP lelaki yang popular namun kini BTS yang menggantikan mereka. Tidak ada jaminan BTS akan kekal apabila ada kumpulan lain menggantikan mereka.

Namun majoriti kumpulan dari generasi ketiga ini berjaya menembusi pasaran antarabangsa termasuklah pasaran US. BlackPink sebagai contohnya mendapat tempat di kalangan pendengar muzik US. Expo-expo Korea seperti KCON juga semakin kerap diadakan di US dan kumpulan-kumpulan KPOP sering dijemput membuat persembahan di expo ini.

Namun saya tidak dapat menolak menjelang generasi ketiga ini muzik KPOP mula menjadi terlalu mengikut formula dan mula membosankan sesetengah pihak. Malah langkah-langkah tarian mereka juga mula menjadi terlampau seksi sehingga banyak muzik video KPOP diharamkan dari disiarkan di TV oleh kerajaan Korea Selatan sendiri.
KPOP juga mula didedahkan sisi gelap industri tersebut. Sisi gelap ini mula didedahkan oleh kumpulan TVXQ yang menyaman label mereka iaitu SM Entertaiment. TVXQ mendakwa kontrak mereka terlampau lama dan mengandungi banyak perkara yang seolah memaksa mereka menjadi hamba syarikat label. Mereka berjaya memenangi saman mahkamah tersebut. Seterusnya 3 ahli bekas TVXQ membentuk kumpulan baru yang diberi nama JYJ. JYJ boleh dikatakan agak berjaya di Jepun dan berjaya menjuarai carta disana.

Insiden TVXQ ini mendorong ramai artis KPOP untuk menyemak semula kontrak mereka agar mereka boleh mendapat keadilan. Kerajaan Korea juga mula mengambil berat dan meletakkan had masa 7 tahun sahaja bagi kontrak artis Korea.

Era generasi ketiga ini juga menyaksikan PSY, seorang artis Korea yang sebenarnya dari generasi senior, menjadi popular menerusi lagu beliau “Oppa Gangnam Style”. PSY boleh boleh di ibaratkan seorang individu yang mengejutkan dunia dan menyedarkan dunia tentang kewujudan KPOP. Oppa Gangnam Style menjadi video terviral Youtube buat tempoh hampir beberapa tahun. PSY begitu popular sehingga Youtube terpaksa menaik taraf angka bilangan mereka untuk video yang melebihi 1 Billion jumlah ulang tayangan.

Seterusnya bagi tahun 2017 dan ke atas… jika dibaca dari komen-komen peminat KPOP di Youtube… artis-artis KPOP lain kesemuanya sudah pupus dan hanya kumpulan BTS yang tinggal -_- Kerana itulah nama kumpulan yang sering disebut sejak 2017.
Maka itulah serba sedikit sejarah perang budaya Korea yang diberi nama KPOP.

RUJUKAN:

1) DareDB KPop. (2018) 20 Most Important Moments in K-Pop History. https://www.youtube.com/watch?v=8df9yjZRm_A
2) Budak-budak kelas perempuan saya yang tak reti duduk diam pasal KPOP.
3) Adik beradik perempuan saya.
4) Majoriti perempuan Malaysia.

Post a Comment

Previous Post Next Post