Sebuah keluarga dari Jitra, Kedah terkejut apabila dikenakan harga “cekik darah” iaitu RM50 bagi semangkuk 'maggi ketam' yang dimakan di sebuah gerai di persisiran Pantai Cahaya Bulan, Jumaat lalu.
Mereka seramai 29 termasuk kanak-kanak datang ke Kelantan sempena majlis pertunangan salah seorang ahli keluarga dengan seorang gadis di Pengkalan Chepa.
Seorang daripada mereka, Siti Roshilah Rosli, 31, berkata, pada malam hari berkenaan, mereka pergi ke pantai tersebut untuk beriadah sebelum berhenti makan di salah sebuah gerai yang ada di tepi pantai itu.
Katanya, mereka kemudian memesan makanan masing-masing termasuk dua mangkuk maggi ketam; beberapa nasi putih dan tomyam selain memesan minum minuman kebanyakannya teh o ais; kopi o dan segelas air lobak merah.
Tiba masa untuk menjelaskan bil, mereka dikenakan bayaran RM413 bagi kesemua makanan itu menyebabkan pelanggan tergamam sebelum bertanyakan harga mi segera yang dimasak bersama ketam berkenaan.
“Air minuman dikenakan bayaran RM101; celup tepung RM109 dan masakan panas RM203 termasuk dua maggi mengandungi seekor ketam nipah dalam setiap mangkuk hidangan itu.
“Apabila kami tanya, harga masakan panas sampai RM203, peniaga itu memberitahu harga bagi semangkuk maggi ketam tersebut RM50 sedangkan tertera papan tanda harga di kedai itu menunjukkan harga maggi RM15,” katanya.
Menurutnya, biarpun berasa teraniaya dengan situasi itu, mereka tetap menjelaskan bayaran sebelum bertindak memuat naik status di laman sosial dan turut berkongsi luahan ketidakpuasan hati berhubung perkara itu di Facebook Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
“Aduan saya mendapat maklum balas positif daripada pihak berkenaan dan mendapat tahu mereka sudah menyerbu kedai makan tersebut. Status itu mendapat banyak perkongsian oleh pengguna Facebook dan banyak komen mengatakan mereka juga pernah terkena harga cekik darah di kedai yang sama.
“Saya harap tindakan tegas diambil pihak berkuasa supaya memberi pengajaran kepada peniaga sebegini agar tidak mengambil kesempatan dan sewenang-wenangnya mengenakan harga yang tidak munasabah kepada pelanggan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, Firdus Zakaria berkata, pihaknya sudah melakukan pemeriksaan di gerai berkenaan dan mendapati peniaga itu dipercayai cuba mengelirukan dengan mempamerkan tanda harga yang berlainan berbanding harga yang dikenakan kepada pelanggan.
“Peniaga memberi alasan bahawa harga ketam mengikut pasaran semasa dan memberitahu tidak sempat untuk menukar paparan harga. Peniaga ini dipercayai mengambil kesempatan kerana ketika itu musim cuti dan terdapat elemen berniat “sembelih” pelanggan.
“Sehubungan itu, pihak kami tidak akan berkompromi dan akan mengenakan tindakan tegas dengan memanjangkan kes ini kepada pihak pendakwaan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sumber artikel : https://ift.tt/2xmpak3
Sumber Maggi ketam terlajak cekik darah Hanya Di Pantai Cahaya Bulan!
Tags:
mazeer