Mengapa Bahasa Melayu Relevan Sebagai Bahasa Kebangsaan?

Pernah timbulkah kesyakan dalam hati ketika anda sudah yakin bahawa bahasa Melayu yang sedang anda gunakan itu bahasa kebangsaan untuk seluruh rakyat Malaysia? Bisik-bisik yang meragukan anda akan putusan penggunaan bahasa Melayu dalam suasana rasmi selalu mengacau anda: “Mengapakah aku asyik menggunakan bahasa Melayu?

Aku semakin mengabaikan bahasa Mandarin, bahasa ibunda sendiri…”; “Bahasa Melayu untuk orang Melayu, mengapakah tidak digunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa kebangsaan…?; “Mengapakah tidak digunakan bahasa Inggeris yang neutral sebagai bahasa kebangsaan untuk mengekalkan keadilan semua kaum?”

Tidak mengapa, perkara itu biasa kerana anda tidak memahami syarat-syarat pemilihan bahasa kebangsaan. Rencana ini akan meneguhkan pegangan anda kepada bahasa kebangsaan yang menjadi tonggak jati diri negara Malaysia dan alat pemersatu pelbagai kaum.

Menurut Asmah Haji Omar (2015), lima syarat harus disiasat untuk penentuan bahasa kebangsaan sesebuah negara, iaitu kedudukan geolinguistik, asal usul, lingua franca, jumlah penutur dan sejarah sosiobudaya.

Berteraskan sebab kedudukan geolinguistik, negara Malaysia terletak di dalam Kepulauan Melayu. Kepulauan Melayu terdiri daripada Singapura, Brunei, Myanmar, Thailand, Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dan sebagainya. Dengan kata lain, Kepulauan Melayu itu negara Asia sekarang. Oleh sebab Kepulauan Melayu itu didominasi oleh kaum Melayu, maka tentu bahasa merekalah yang dipilih. Kenyataan itu diperkuat dengan hakikat bahawa bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa rasmi kerajaan Sriwijaya pada abad ke-12 dan di pelabuhan Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 (Awang Sariyan, 2017), maka dapat disimpulkan bahawa pada zaman silam, bahasa Melayu itu bahasa serantau Kepulauan Melayu.

Kedudukan yang pernah dijawat oleh bahasa Melayu pada zaman dahulu itu meyakinkan kita bahawa bahasa Melayu sudah berwibawa menjadi bahasa serantau, apatah lagi bahasa kebangsaan sesebuah negara? Berhubung dengan perkara tersebut, setiap negara Kepulauan Melayu, setiap negara Asia memilih bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kecuali Singapura yang ada satu bahasa kebangsaan dan tiga bahasa rasmi: bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan; bahasa Inggeris, bahasa Mandarin dan bahasa Tamil sebagai bahasa rasmi namun tampaknya bahasa Inggeris lebih luas digunakan jika dibandingkan dengan bahasa kebangsaan.

Daripada sudut asal usul, negara Malaysia dihuni oleh orang Melayu dari waktu dahulu lagi, sejak pembukaan Singapura oleh Seri Teri Buana yang disusuli pengasasan Melaka oleh Parameswara. Zaman Melaka Parameswara pula dilangsungkan oleh rantai kesultanan Melayu yang diketuai Sultan Muhammah Syah, Sultan Muzaffar Syah, Sultan Mansur Syah, Sultan Alauddin Riayat Syah, Sultan Mansur Syah dan akhirnya, Sultan Ahmad Syah. Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh kenyataan bahawa orang Melayu peribumi di sini. Untuk dikekalkan keaslian jati diri kemelayuan Tanah Melayu ini, bahasa Melayu terpilih sebagai bahasa kebangsaan.

Selanjutnya, bahasa Melayu pernah gemilang sebagai lingua franca, iaitu bahasa perhubungan tidak rasmi yang dituturkan oleh setiap pedagang yang datang ke pelabuhan negeri Melaka. Francois Valetijn, pendeta Belanda, dalam Pui (2018), mengatakan:

Bahasa mereka, bahasa Melayu, bukan saja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh Kepulauan Melayu dan di segala negeri Timur sebagai bahasa yang difahami di mana-mana saja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau Latin di Eropah atau sebagai bahasa lingua franca di Itali dan di Levant. Sungguh luas tersebarnya bahasa Melayu itu sehingga kalau kita memahami bahasa Melayu, tidak mungkinlah kita kehilangan jejak kerana bahasa itu bukan saja dierti di Parsi bahkan lebih jauh dari negeri itu, dan di sebelah timur Parsi hingga Kepulauan Filipina.

Jumlah penutur juga harus dipertimbangkan. Bahasa kaum majoriti wajar diketengahkan sebagai bahasa kebangsaan yang menjalin persefahaman antara kaum. Hal ini dikatakan demikian kerana bahasa kaum majoriti itu tersebar luas, sejajar dengan bilangan kaumnya yang banyak. Kaum yang sedikit tentu perlu mempelajari bahasa kaum majoriti yang menguasai negara itu supaya berupaya berhubung dengan kebanyakan orang. Sehubungan dengan itu, bangsa Melayulah kaum majoriti negara Malaysia. Oleh itu, bahasa Melayu terpilih sebagai bahasa kebangsaan. Hal ini sama dengan hakikat bahawa orang putih kaum majoriti di England jika dibandingkan dengan orang berkulit hitam. Maka itu, bahasa mereka, bahasa Inggeris terpilih sebagai bahasa kebangsaan negara England.

Akhir sekali, harus juga ditelusurilah sejarah sosiobudaya sesebuah negara ketika hendak dipilih bahasa kebangsaan yang paling sesuai. Berpandukan Kamus Dewan Edisi Keempat (2015), sosiobudaya bermaksud hubungan antara masyarakat dengan budaya. Dalam hal ini, yang dimaksudkan oleh Asmah Haji Omar (2015) hubungan antara bahasa Melayu (daripada masyarakat) dengan fungsi bahasa Melayu (budaya penggunaan bahasa Melayu), iaitu cara bahasa Melayu dibudayakan dalam pelbagai bidang. Memang sudah diterimalah hakikat bahawa bahasa Melayu itu bahasa asal negara Malaysia kerana pada zaman Sriwijaya dan Kesultanan Melayu Melaka

Bahasa Melayulah yang diangkat sebagai bahasa kerajaan dan bahasa perdagangan, tambahan pula, pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, bahasa Melayu beransur-ansur mendapat acuan bakunya dalam merata-rata tulisan malah menjadi alat penyampai ilmu yang cekap dan teratur kerana cendekiawan dan pujangga dahulu rajin mengasah keupayaan bahasa dalam pelbagai sastera, seperti Hikayat Hang Tuah dan Sulalatus Salatin dalam bidang kesusasteraan; Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Melaka serta Undang-undang Tubuh Pahang, Johor, Terengganu dalam bidang perundang-undangan dan kitab-kitab keagamaan. Bersandar pada keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa tinggi dari zaman silam lagi, bahasa Melayu layak menjadi bahasa kebangsaan negara Malaysia kini sebagai warisan dari zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Sebagai simpulan, bahasa Melayu memang bahasa kebangsaan negara Malaysia selama ini. Pemansuhan bahasa Melayu hanya berlaku pada waktu penjajahan British. Dapat dikatakan bahawa pemartabatan bahasa Melayu semula sebagai bahasa kebangsaan itu kesinambungan daripada kegemilangan bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka. Sementara menjunjung bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kaum lain bebas mengekalkan bahasa mereka dalam pergaulan seharian.

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak pernah menimbulkan soal menghapuskan jati diri kaum Cina atau kaum Melayu kerana bahasa Melayu hanya diwajibkan dalam majlis dan urusan rasmi, khususnya urusan dan majlis kerajaan sebaliknya dalam pergaulan seharian yang tidak rasmi, penggunaan loghat negeri Melayu, bahasa Mandarin, bahasa Tamil digalakkan untuk menimbulkan kemesraan dalam kaum yang sama-sama memiliki bahasa itu. Setelah kenyataan itu difahami dan dihayati, ayuh kita bernaung bersama-sama di bawah payung bahasa kebangsaan, melafazkan ikrar kesetiaan kepada bahasa kebangsaan selama-lamanya!

Rujukan

Asmah Haji Omar. (2015). Dasar bahasa kebangsaan: sejarah memartabatkan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Awang Sariyan. (2017). Pemikiran Awang Sariyan dalam pemartabatan bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Awang Sariyan. (2018). Mencari makna diri Melayu: renungan untuk bangsaku. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hajah Noresah Baharom. (2015). Kamus dewan edisi keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pui Wen Hang. (2018, September). Jangan skeptikal terhadap bahasa kebangsaan. Dewan Bahasa, 9: 52—53.

Post a Comment

Previous Post Next Post