Semua sedia maklum apa yang berlaku minggu lepas selepas pertarungan UFC membabitkan Conor McGregor dan Khabib Nurmagomedov. Selepas berjaya mengatasi lawannya itu, Khabib melompat ke sangkar gelanggang dan mencetuskan keributan dengan dakwaan kedua-duanya menyerang krew masing-masing. Dengan situasi tidak terkawal pada akhir perlawanan, bukan saja nama UFC tercemar. Bahkan bahana turut menimpa Khabib dan McGregor dengan McGregor digantung selama sebulan atas sebab perubatan manakala Khabib disiasat Suruhanjaya Perlawanan Negeri Nevada dengan wang pertarungannya ditahan. Beliau juga berhadapan prospek kehilangan pingat kejuaraan lightweight yang dimenanginya. Jadi apa UFC boleh lakukan untuk mengelak insiden sebegini berulang?
Sebarang berita publisiti baik untuk UFC?
Bohonglah jika semua mahu menyalahkan Khabib sepenuhnya atas kekecohan yang berlaku minggu lepas. Cubaan sesiapa mahu menjadikan beliau sebagai kambing hitam pasti akan gagal kerana ada dua pihak lain juga harus bertanggungjawab, McGregor dan UFC sendiri. Bagi UFC, sebarang berita yang dilihat boleh memberi publisiti perlawanan dan UFC dianggap publisiti yang baik walaupun ia memberi imej buruk kepada UFC. Katakanlah apa saja berita buruk yang pernah menimpa mereka seperti pelawan gagal ujian air kencing, kekecohan semasa sesi timbang berat dan pelawan mengalami kecederaan yang tidak disangka-sangka. Tetapi entah bagaimana, UFC dapat bangkit semula dari semua itu.
Tetapi semua itu berubah selepas insiden McGregor menyerang bas yang membawa Khabib dan beberapa atlet UFC lain di Brooklyn. Selepas McGregor dikenakan hukuman (ringan dan tak memberi kesan) oleh mahkamah, video serangan itu digunakan mempromosikan perlawanan McGregor-Khabib hinggalah ke tarikh pertarungan bermula. Dengan erti kata lain, UFC menggunakan insiden tersebut bukan saja menaikkan lagi profil perlawanan tetapi juga cuba mengaut keuntungan dari perseteruan dua atlet ini. Dan secara tidak langsung, ia dilihat beri pengesahan untuk tingkah laku mengarut kedua-duanya yang menconteng arang UFC selang beberapa bulan.
Bagi yang cuba mencari hikmah di sebalik semua ini, insiden ini dilihat akan menarik lebih ramai penonton menonton perlawanan membabitkan nama-nama besar dalam dunia sukan seni mempertahankan diri campuran (MMA) lain seperti bekas bintang World Wrestling Federation (WWF) Brock Lesnar, Jon Jones, Anderson Silva dan Georges St Pierre untuk perlawanan Tahun Baru. Selepas apa yang berlaku minggu lepas, UFC pasti mahu bintang-bintangnya tampil untuk menarik lebih banyak publisiti terhadap jenama mereka.
Musnahkah reputasi MMA?
Tipulah jika ada yang pendek akal menyangka insiden sebegini menaikkan nama UFC khasnya dan MMA amnya. Hakikatnya, ia sama sekali tidak membantu usaha menggalakkan lagi aktiviti MMA dan pengesahannya dalam arena sukan arus perdana. Walaupun sukan ini semakin meningkat naik dari segi popularitinya, ia masih lagi diharamkan di sesetengah tempat seperti Perancis. Dan tak semua negara berminat membantu sukan ini terus berkembang terutama dari segi penerimaan rakyat mereka.
Tetapi mari kita ketepikan seketika kekecohan pasca-perlawanan McGregor-Khabib. Menerusi UFC 229, para penonton sama ada di arena atau di rumah dihidangkan dengan pertarungan sengit pelawan dan kemunculan bintang-bintang baru MMA. Perlawanan kategori wanita membabitkan Michelle Waterson dengan Felice Harrig menyaksikan pertarungan sengit yang memihak kepada Waterson, salah seorang model contoh atlet wanita dalam UFC. Sementara Derrick Lewis membuat kebangkitan saat akhir semasa bertarung dengan Alexander Volkov bagi mendapat peluang kedua merebut kejuaraan kategori heavyweight.
Dan siapa sangka orang lama UFC dan pelawan berpengalaman Ovince St-Preux tewas mengejut kepada bintang baru meningkat naik Dominick Reyes. Sementara Tony Ferguson yang langsung tidak diberi harapan untuk menang selepas pulih dari pembedahan lutut berjaya membuat kebangkitan semula dan sekaligus mengalahkan bekas juara dunia Anthony Pettis. Dan bagi sesiapa yang menonton perlawanan McGregor-Khabib, pasti sedia maklum bagaimana Khabib mendominasi lawannya dari Ireland dari mula hingga akhir. Persembahan dominannya itu seharusnya menjadi perbualan pasca-pertarungan tetapi yang timbul ialah kekecohan membabitkan kedua-dua kem.
Mengejek pihak lawan
Ejek-mengejek bukan sesuatu yang baru dalam MMA dan sukan tinju. Ia boleh diibaratkan seperti perang psikologi antara kedua-dua atlet untuk cuba mendapat sebarang bentuk kelebihan sebelum pertarungan. Peminat sukan tinju pasti sudah masak dengan kerenah legenda tinju Allahyarham Muhammad Ali yang mengejek lawan-lawannya sebelum pertarungan. Bagi sukan MMA terutama UFC, peminat pasti sudah masak dengan kerenah McGregor yang suka mengejek pihak lawan, kadangkala sehingga ke tahap melampaui batas.
Biasanya, taktik sebegini sudah cukup untuk membuatkan lawannya gementar bila berhadapan dengan beliau di gelanggang. Tetapi taktik tersebut langsung tidak memberi kesan kepada Khabib yang mempunyai pegangan agama yang kuat. Ini memaksa McGregor melancarkan provokasi yang bersifat peribadi dengan harapan ia sudah cukup menjejaskan pertimbangannya dalam gelanggang. Tetapi siapa sangka provokasinya itu bukan saja tidak menjadi, bahkan ia sebaliknya memotivasikan Khabib untuk mengajar lawannya sedikit ‘pengajaran’ berkenaan moral dan kehormatan dalam gelanggang. Dan secara tidak langsung, provokasi bintang UFC dari Ireland itu sedikit sebanyak turut menyumbang kepada kekecohan dalam gelanggang pasca-perlawanan.
Atas sebab itulah, dalam satu sidang media pasca-perlawanan, Khabib memohon maaf atas tingkah lakunya yang disifatkan tidak munasabah dan tidak seharusnya berlaku. Namun dalam sidang yang sama, beliau juga mahukan sebarang bentuk perang psikologi antara atlet tidak seharusnya menyentuh isu peribadi dan perkara-perkara yang bersifat sensitif seperti negara dan agama. Dan ini seharusnya diambil perhatian oleh UFC dengan menyediakan panduan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan bila mempromosikan sesebuah perlawanan. Dan bila memikirkan komen Presiden UFC Dana White yang menganggap insiden yang berlaku selepas perlawanan McGregor-Khabib sebagai memalukan, rasanya ia akan menjadi kenyataan.
Sebut pasal McGregor…
Hala tuju McGregor
Selepas kalah dengan Floyd Mayweather dalam pertarungan tinju tahun lepas, McGregor menyangka perlawanannya dengan Khabib akan berakhir dengan kemenangan mudah berpihak kepadanya. Tetapi sebaliknya selepas didominasi lawannya yang berdarah Avar itu dari mula hingga akhir, ia merupakan satu detik yang pasti tidak mahu dikenang pelawan dari Ireland itu buat masa ini. Walaupun ada yang mencadangkan satu lagi perlawanan ulangan membabitkan kedua-dua atlet ini, bila melihat semula insiden pasca-perlawanan minggu lepas, idea tersebut pasti akan ditolak jauh-jauh buat masa sekarang. Dan perkara terakhir dimahukan UFC ialah satu lagi kekecohan di luar gelanggang yang merosakkan nama mereka dan sukan MMA itu sendiri.
Sekiranya McGregor mahu bangkit semula dari kekalahan ini, beliau boleh saja memilih melawan Nate Diaz. Kedua-duanya mempunyai satu kemenangan selepas dua perlawanan dan perlawanan ketiga membabitkan dua seteru lama ini pasti menarik perhatian peminat tegar UFC. Dan jangan terkejut sekiranya satu lagi nama besar UFC bersedia menentang McGregor. Peminat UFC pasti sedia maklum kemahiran bintang MMA Kanada Georges St-Pierre di gelanggang. Jika tidak, bagaimana beliau boleh memegang gelaran kejuaraan kategori welterweight (2002-2013) dan middleweight (2017)? St-Pierre sudah dianggap legenda dalam kalangan atlet UFC dan prospek pertarungan dengan bintang besar UFC itu sudah pasti tidak akan dinafikan McGregor.
McGregor juga pasti akan memerhati dengan penuh minat apa yang berlaku terhadap Khabib selepas apa yang berlaku minggu lepas. Ketika ini, Suruhanjaya Pertarungan Negeri Nevada sedang menyiasat punca kejadian dan menahan duit pertarungan dari diserahkan kepada beliau. Walaupun Khabib sudah memohon maaf atas apa yang berlaku, White melihat pelawan dari Rusia pasti akan berhadapan dengan penggantungan. Bukan itu saja, sekiranya beliau meninggalkan UFC dan mengosongkan gelaran kejuaraan yang dimenanginya, peluang terbuka luas untuk McGregor mencuba sekali lagi merebut gelaran juara kategori lightweight. Tetapi bersediakah beliau membuat kemunculan semula menentang bekas juara Tony Ferguson? Melihat kepada persembahan longlai McGregor dan semangat Ferguson semasa menentang Pettis, ia pasti satu pertarungan yang mengujakan.
Masa depan Khabib
Seperti saya katakan sebelumnya, walaupun Khabib sudah memohon maaf dan menyatakan kekesalannya atas apa yang berlaku, itu tidak boleh mengubah fakta prospek penggantungan yang akan dikenakan jika pihak suruhanjaya merasakan beliau punca kekecohan pasca-perlawanannya dengan McGregor. Walau bagaimanapun, White mahu Khabib dibenarkan menyimpan gelaran juara kategori lightweight yang dimenanginya itu.
Tetapi itu sama sekali tidak bererti sekiranya beliau memilih meninggalkan dunia UFC terus. Ini berikutan tindakan UFC sedang mempertimbang untuk membuang rakan sepasukannya iaitu Zubaira Tughukov. Tughokov berhadapan prospek dibuang berikutan dikesan memanjat sangkar gelanggang dan menyerang McGregor dari belakang kepala semasa kekecohan yang berlaku pasca-perlawanan. Ini menyebabkan perlawanannya dengan Artem Lobov yang seharusnya diadakan pada akhir bulan ini dibatalkan.
Khabib merasakan apa yang berlaku pada rakannya itu satu bentuk ketidakadilan dari UFC. Dalam satu hantarannya di Instagram, beliau berkata, “Anda memutuskan untuk memecat dia, anda patut tahu bahawa anda juga akan kehilangan saya. Kenapa anda harus menghukum pasukan saya, sedangkan kedua-dua pasukan bergaduh hari itu? Saya tak pernah menyerah kalah dengan saudara-saudara saya di Rusia dan saya akan berusaha mempertahankannya sampai akhir. Jika anda tetap dengan keputusan memecatnya, jangan lupa hantarkan kontrak saya yang anda batalkan. Jika tidak, saya sendiri akan batalkan kontrak tersebut. Jangan lupa, Conor (McGregor) juga memukul saudara saya terlebih dahulu, tengok dulu video.”
SUMBER
- BBC. (2018). Khabib Nurmagomedov: UFC fighter threatens to quit UFC in support of team-mate. https://ift.tt/2pQ3fNW
- Head, Simon. (2018). BBC. Nurmagomedov v McGregor: How does UFC move on from ugly scenes in Las Vegas? https://ift.tt/2CwsvRC