Khabib Nurmagomedov – Jaguh UFC Yang Mencintai Agama

Bagi yang mengikuti Ultimate Fighting Championship (UFC), pasti sudah maklum pertarungan dua jaguh UFC iaitu Conor McGregor dan Khabib Nurmagedov yang berlangsung di Las Vegas semalam. Dan seperti dijangka, di sebalik kekecohan yang berlaku selepas perlawanan, Khabib berjaya mengalahkan lawannya dari Ireland itu dalam empat pusingan sahaja. Tetapi siapa lelaki Rusia yang berupaya menundukkan lelaki yang dianggap simbol populariti UFC itu?

 

Anak jati Slidi, Dagestan ini dilahirkan pada 20 September 1988 dan mempunyai darah etnik Avar. Anak kedua dari tiga adik-beradik itu mula dilatih bapanya sendiri, Abdulmanap Nurmagedov dalam pelbagai disiplin seni mempertahankan diri seperti gusti, judo dan sambo sejak berusia lapan tahun lagi. Khabib sendiri sudah menunjukkan minat ke arah berkenaan bila melihat pelajar-pelajar berlatih di gimnasium.

 

Selepas berpindah ke Kirovaul, Abdulmanap mengubahsuai tingkat bawah rumah mereka dan dijadikan sebagai gimnasium. Di sinilah, beliau melatih mana-mana individu yang beraspirasi menjadi atlet seni mempertahankan diri termasuk Khabib. Ketika ini, Abdulmanap merupakan jurulatih pasukan sambo kebangsaan di Dagestan selain melatih beberapa atlet lain dalam disiplin lain di Makhachkala, Rusia. Namun, bukanlah sesuatu yang mudah dari satu sukan ke satu sukan lain dan ini diakui sendiri Khabib. Semasa usia remajanya, beliau berhadapan kesukaran beralih dari gusti ke judo tetapi bapanya mahu bakal jaguh UFC itu membiasakan diri memakai pakaian uniform kogi. Selain itu, Khabib juga selalu terjebak dengan pergaduhan jalanan sebelum memberi fokus kepada seni mempertahankan diri campuran (MMA).

 

Pertarungan pertama beliau dalam arena MMA bermula pada tahun 2008 dan dalam masa sebulan, sudah mampu menewaskan empat lawannya. Khabib tidak lagi menoleh ke belakang dan terus mengorak langkah dalam arena sukan ini. Dengan rekod 16 kemenangan dalam setiap perlawanan di Rusia dan Ukraine dalam tempoh tiga tahun, itu sudah cukup bagi UFC menawarkannya peluang bertanding dalam pertandingan sukan berprestij itu. Sebagai permulaan, Khabib memeterai perjanjian sebanyak enam perlawanan dengan UFC untuk bertanding dalam divisyen UFC kategori lightweight. Dan pada perlawanan pertamanya, anak jati Slidi ini berjaya mengatasi lawannya dari Iran, Kamal Shalorus pada pusingan ketiga perlawanan.

 

Pada tahun 2013, namanya mula meniti di bibir peminat UFC menerusi dua kemenangan besar. Pertama pada Mei 2013, Khabib berjaya mengalahkan Abel Trujillo dan turut mencipta rekod baru kejohanan iaitu bilangan menjatuhkan lawan paling banyak dalam satu perlawanan iaitu 21 kali daripada 27 percubaan. Dan pada September tahun sama, beliau berjaya mengalahkan satu lagi nama besar UFC iaitu Pat Healy. Selepas tamat perlawanan, Presiden UFC Dana White memuji persembahan pendatang baru dari Rusia itu dengan gaya perlawanannya mengingatkan White kepada bekas jaguh MMA, Matt Hughes.

 

Tetapi untuk beberapa tahun berikutnya, masalah kecederaan dan pembatalan beberapa perlawanan merencatkan sedikit rentak jaguh berdarah Avar itu. Bagi Khabib, bila mengetahui lawannya membatalkan perlawanan pada saat akhir merupakan sesuatu yang mengecewakan. Dalam satu temubual dengan The MMA Hour, beliau berkata, “Jika mereka kata mereka nak melawan yang terbaik,  mereka patut melawan yang terbaik. Jika mereka mahu, saya bersedia melawan mereka berdua (Gilbert Melendez dan Nate Diaz) secara serentak dalam gelanggang.” Kedua-dua individu membatalkan perlawanan mereka atas sebab-sebab berbeza pada tahun 2014.

Waqaf Saham

 

Pada April 2018, barulah lelaki berdarah Avar itu berupaya mencabar gelaran juara UFC kategori lightweight. Pada mulanya, Khabib seharusnya berhadapan dengan Tony Ferguson tetapi lawannya itu mengalami kecederaan dan terpaksa menarik diri. UFC kemudian memilih Max Holloway tetapi Holloway disingkirkan kerana dianggap tidak cergas oleh Suruhanjaya Perlawanan Negeri New York (NYSAC). Akhirnya, Al Iaquinta dipilih sebagai lawan untuk perlawanan merebut kejuaraan kategori tersebut. Dan sepanjang perlawanan, Khabib mendominasi perlawanan dari mula hingga akhir dan menang hasil keputusan sebulat suara juri. Ini membolehkannya meraih gelaran kejuaraan tersebut.

 

Dan seperti dijangka, Khabib akan berlawan dalam satu pertarungan untuk mempertahankan kejuaraannya pada Ogos 2018. Lawannya itu seperti dijangka ialah McGregor. McGregor memang dikenali dengan sikapnya yang suka memprovokasi pihak lawan dan kadangkala, provokasinya itu bersifat melampau termasuk menyerang negara atau agama pihak lawannya. Tetapi Khabib memilih menjawab cabaran dan kerenah lawannya di gelanggang dan pada 6 Oktober 2018, sejarah tercipta. McGregor tumbang dengan kemenangan menyebelahi anak jati Slidir itu dan beliau berjaya mempertahankan gelarannya itu lalu menambahkan winning-streak yang dimilikinya ke 27-0. 

 

Tetapi kekecohan tercetus gara-gara sikap Khabib yang dikatakan menyerang salah seorang krew McGregor dengan McGregor sendiri berlawan dengan beberapa krew Khabib. Dalam sidang media pasca-perlawanan, beliau berkata, “Dia (McGregor) mempersoalkan agama saya. Dia mengejek negara saya. Dia menghina bapa saya. Dia datang ke Brooklyn dan merosakkan bas serta hampir menyebabkan beberapa orang terbunuh. Jadi orang mempersoalkan mengapa saya melompat ke sangkar gelanggang? Kenapa mereka bercakap soal ini? Saya tak faham. Bapa saya mengajar saya untuk menghormati orang lain. Mereka yang mengenali saya, mereka tahu siapa diri saya. Ini sukan yang mementingkan maruah dan kehormatan, bukannya sukan di mana orang boleh menghina sesiapa saja sesuka hati. Saya nak ubah sukan ini. Mereka boleh bercakap tentang agama dan negara – anda tidak boleh katakan perkara-perkara sedemikian. Pada saya, ini sesuatu yang penting.”

 

Di sebalik rupanya yang ganas dalam gelanggang, tidak ramai tahu Khabib merupakan seorang Muslim yang berpegang teguh dengan ajaran agama. Beliau tidak pernah menyentuh arak dan jika anda perasan, tiada sebarang tatu yang dicacah pada badannya. Malah, Khabib juga amat berbangga dengan warisannya sendiri dengan memakai topi papakha iaitu topi tradisional etnik Avar selepas pertarungan dan semasa mempromosikan UFC. Lelaki ini juga fasih bertutur dalam beberapa bahasa seperti Bahasa Arab, Bahasa Rusia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Turki. Khabib sudah berkahwin sejak tahun 2013 dan mempunyai dua cahaya mata, seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan.

 

SUMBER

 

1. BBC. (2018). UFC 229: Who is Conor McGregor’s opponent Khabib Nurmagomedov? https://ift.tt/2DXFGwm

 

2. BBC. (2018). Khabib Nurmagomedov beats Conor McGregor: Russian ‘has to be suspended’. https://ift.tt/2yksls0

 

Post a Comment

Previous Post Next Post