Penipuan Sejarah Yang Disandarkan Pada Nama Marina Mahathir

Sebagai pendahuluan, adalah perlu untuk saya beritahu bahawa artikel yang mengatakan Melayu itu pendatang dan Hang Tuah itu Cina telah disebarkan sebanyak lebih 18 000 kali. Maka saya merayu agar anda semua bersatu membidas kenyataan tak masuk akal itu.

Pantang anak Melayu melihat sejarah bangsanya diputarbelitkan walau oleh anak Melayu sendiri. Kali ini, usaha untuk mengubah sejarah Melayu datang dari seorang insan bernama Bony Tony yang mengitar semula isu-isu lapuk yang pernah menjadi ajaran dan pegangan para manusia yang rendah IQ. Kali ini, kitaran isi lapuk ini disandarkan pada nama Marina Mahathir. Selepas membuat semakan, saya dapati Marina Mahathir tidak pernah menghamburkan penipuan yang menyedihkan ini.

Fokus bidasan adalah kepada dakwaan yang cuba mengatakan Melayu itu pendatang dan Hang Tuah itu cina.

Ujian DNA dan Kubur Hang Tuah dan Lima Bersaudara

Pertama sekali, kita harus perhalusi universiti manakah yang membuat kajian itu. Apakah bukti yang menunjukkan ujian DNA ada dibuat? Manakah dia kertas kerjanya untuk diteliti? Semua orang boleh buat dakwaan bermodalkan air liur sahaja. Saya juga boleh. Contohnya:

‘Maharaja Qin Shi Huangdi, yang membina empayar pertama dalam sejarah China, yang menyatukan seluruh China dalam siri peperangan yang dahsyat, dan membina makam yang hebat yang menempatkan askar Terracotta itu sebenarnya adalah seorang Melayu.’

‘Tahukah anda, sebuah universiti di China selepas meneroka makam Qin Shi Huangdi dan menjalankan ujian DNA ke atas Qin Shi Huangdi telah mendapati bahawa maharaja agung ini adalah seorang Melayu. Tak percaya? Nak bukti?’

‘Fikirkan… kenapa kerajaan China tiba-tiba melarang usaha untuk meluaskan penggalian makam itu dihentikan? Ini tak lain tak bukan adalah bertujuan untuk menutup sejarah!’

Senang sungguh bukan berkata-kata dengan modal air liur?

Bony Tony mengatakan kubur-kubur Hang Tuah dan lima bersaudara telah dijumpai. Dijumpai? Sayang sekali anda tidak menyatakan lokasi makam-makam mereka ini. Anda malahan telah menaburkan fitnah dengan mengatakan sesungguhnya makam-makam pahlawan Melaka ini cuba disembunyikan oleh kerajaan. Sejauh mana kebenarannya?

Izinkan saya untuk menafikan penipuan saudara. Hakikatnya, kerajaan Melaka sebenarnya menjadikan makam-makan sahabat Hang Tuah sebagai salah satu destinasi pelancongan di Melaka. Makam Hang Jebat sebenarnya masih utuh di Melaka dan terletak berdekatan dengan Jalan Tukang Emas dan Jalan Tukang Besi, di Kampung Pali, Jalan Gelanggang.

Makam seterusnya ialah makam Hang Kasturi. Ia terletak di Jalan Hang Jebat atau Persiaran Jonker. Anda boleh lihat gambar papan tanda di makam Hang Kasturi yang saya paparkan dalam gambar ini.

Mengenai makam Hang Tuah, terdapat banyak versi melibatkan lokasi sebenarnya. Namun, salah satu kuburan yang dikatakan milik Laksamana Tuah tetap menjadi lokasi pelancongan di Melaka, iaitu di Tanjung Keling. Untuk pengetahuan semua, dalam Sulalatus Salatin ada diceritakan mengenai kemangkatan Hang Tuah di Tanjung Keling. Berikut adalah petikan tersebut:

‘Hatta maka Laksamana Hang Tuah pun kembalilah ke rahmat-Allah Taala, maka oleh Sultan Mahmud ditanamkan di Tanjung Keling, dengan sepenuh-penuh adat dianugerahkan; tiga hari baginda tiada nobat.’

Di sini, saya kongsikan dengan anda gambar-gambar makam yang dikaitkan dengan Hang Tuah tersebut.

Dengan maklumat lokasi makam tiga pahlawan Melayu di atas, adakah masih tidak mencukupi untuk kita katakan sesungguhnya makam-makam mereka wujud dan tidak diselindungkan oleh kerajaan? Sekiranya pernah ada carian arkeologi di kuburan mereka, pasti kita semua akan tahu kerana lokasinya bukanlah di dalam hutan tebal, atau di tempat-tempat terpencil sebaliknya di tengah-tengah kota Melaka. Kenapa tidak ada pula rekod kerja ‘cari gali’ pernah dijalankan di situ?

Hang Tuah dalam Misi Mempertahankan Melaka daripada Siam?

Sebelum kita nak berbicara tentang sejarah Hang Tuah, kalian yang buta sejarah harus mencari dua naskhah sejarah agung yang menceritakan sejarah Melayu iaitu Hikayat Hang Tuah dan Sulalatus Salatin. Hadam dua karya bangsa Melayu ini sebelum nak bercakap tentang sejarah Melayu.

Ini ialah penipuan yang paling janggal yang pernah saya hadapi sepanjang berhujah mengenai sejarah Melayu. Kisah Hang Tuah ada tercatat dalam rekod sejarah seperti Hikayat Hang Tuah. Kisah Hang Tuah sudah diceritakan sejak beliau kecil sehinggalah dewasa termasuklah butiran nama ibu bapanya.

Pernahkah anda dengar kisah Hang Tuah menyelamatkan Bendahara daripada orang mengamuk? Pernah dengar kisah Hang Tuah dan para sahabatnya membunuh lanun? Buka balik kitab sejarah.

Waqaf Saham

Menurut sumber sejarah utama iaitu Hikayat Hang Tuah yang banyak menceritakan kisah Hang Tuah dan para sahabatnya, ketika kanak-kanak dahulu, Hang Tuah dan para sahabat telah ke laut menggunakan perahu lading. Berlaku adegan kejar mengejar antara Hang Tuah dan lanun yang mengejar perahunya. Sampai sahaja di darat, Hang Tuah telah bergelut dengan sang lanun dan pertempuran itu berakhir dengan kemenangan Hang Tuah.

Antara bukti lain ialah kisah Hang Tuah menewaskan orang mengamuk yang masih kemas tersisip dalam rekod sejarah dan kisah Hang Tuah menyelamatkan Bendahara Tun Perak serta bagaimana Hang Tuah mengadap Sultan Melaka. Kisah Hang Tuah menewaskan lanun-lanun ketika mengembara pada usia muda selepas mendapat perkenan juga merupakan bukti bahawa Hang Tuah sudah wujud lama sebelum kedatangan Hang Li Po.

Baju Kurung dan Baju Melayu Budaya China

Ini satu lagi kedangkalan yang dipamerkan oleh mereka yang tidak punya pengetahuan tentang sejarah baju Melayu dan baju kurung. Mari saya kongsikan dengan anda sejarah dua pakaian kebanggaan bangsa Melayu hari ini. Baju Melayu asalnya semua dicipta dengan gaya leher teluk belanga. Baju berleher cekak musang hanya boleh dipakai oleh raja atau sultan sahaja.

Pemakaian baju Melayu telah ‘dikuatkuasakan’ sewaktu pemerintahan Sultan Muhammad Syah (1424-1444) – sultan ketiga dalam empayar Kesultanan Melayu Melaka. Baginda telah mengeluarkan satu titah yang melarang orang-orang Melayu memakai cara atas angin (Arab, India, dan Eropah) dan cara bawah angin (China dan Khmer). Pada hari Jumaat juga, semua lelaki Melayu dikehendaki pergi ke masjid dengan memakai sepersalinan yang bersih dan cantik, lengkap bertanjak dengan wangian kasturi. Pemakaian serban Arab bagi lelaki Melayu hanya dibenarkan di dalam masjid sahaja.

Baju Melayu ada falsafahnya tersendiri. Baju Melayu cekak musang mempunyai 5 kancing. Ada pendapat mengatakan ia adalah lambang keharmonian rumah tangga – 2 butir di bahagian atas melambangkan ibu dan bapa manakala 3 butir di bawahnya melambangkan anak-anak. Walau bagaimanapun, pendapat ini disanggah oleh Azah Aziz atau lebih dikenali sebagai Mak Engku. Beliau berpendapat, ada tujuh butir untuk golongan bangsawan atau raja di istana. Ini bersamaan dengan salah satu seni pusaka orang Melayu iaitu keris. Dalam reka bentuk keris, lok 11 ialah milik sultan dan ratu, lok 9 untuk pewaris, dan lok 5 milik bendahara dan anak-anak raja.

Selain itu, lima butang di dada melambangkan lima rukun Islam yang harus menjadi isi dada pemakainya. Enam pesak di kanan dan kiri melambangkn enam rukun iman yg menjadi sangkar pemakainya. Tiga poket melambangkan tiga tuntutan iaitu Islam, iman dan ihsan yang perlu dipenuhi. Tengkolok yang berbutang satu melambangkn kepercayaan kepada Allah yang Maha Esa dan sunah menutup kepala bagi orang Islam.

Tentang baju kurung pula, perbualan Sultan Muhammad Syah dengan Manikam Kalbu yang dirakam Faizal Tehrani dalam novel beliau sebenarnya menceritakan serba sedikit falsafah baju kurung:

‘Tuanku, pacal namakan busana yang pertama ini baju kurung. Boleh sahaja disediakan untuk lelaki mahupun perempuan. Tetapi, dengan sedikit perbezaan. Adapun pacal namakan baju kurung kerana pertama, busana ini dikurung oleh syarak. Pakaian Melayu itu haruslah dikurung ketentuan syariat. Maka memang pacal rekakan pakaian ini supaya labuh, longgar, selesa dan tidak mengetam.’

‘Adapun kurung itu dikurung oleh adat. Manusia Melayu itu apabila mengenakan baju kurung, segera dia tahu membawa diri, menyesuaikan dengan tempat, tahu pula alat kelengkapan yang harus dipakai sama, tahu cara memakainya, dan wajib pula tahu apa makna dan tujuan mengenakannya.’

‘Pacal mengimpikan sejenis busana yang apabila dikenakan di badan si pemakainya terkurung dan terhindar sifat angkuh dan sombong. Oleh baju kurung itu sekali-kali si pemakainya tidak bercakap bohong dan apabila sudah berbaju kurung peliharalah iman supaya tidak terpesong.’

‘Mengapa baju kurung lelaki berbutang lima dan baju kurung perempuan berbutang satu?’

‘Pacal membayangkan rumah butang yang lima itu maknanya rukun Islam yakni yang atas itu mengucapkan dua kalimah syahadah, yang keduanya itu solat lima waktu justeru sesuai sekali baju kurung dibawa ke masjid. Rumah ketiga itu mengingatkan kepada puasa Ramadhan dan yang keempatnya supaya si pemakai sedar akan kewajipan berzakat dan yang terakhir ialah jika ada kemampuan, eloklah si pemakainya naik haji.’

‘Ampun Tuanku, pacal juga mengimpikan butang yang satu itu ialah lambang akidah kita. Kita mengesakan Allah yang satu. Pacal bayangkan bumi ini bulat seperti mulut belanga (leher baju kurung) dan kita duduk di mukanya (butang nan satu yang mengancing leher baju) sebagai abdi Tuhan.’

Sekarang saya mahu bertanya, adakah falsafah yang tersemat pada baju Melayu dan baju kurung ini tersemat pada mana-mana pakaian di China sehinggakan anda mahu mendakwa sedemikian? Kalau benar baju kurung dan baju Melayu berasal dari China, tentunya terdapat pakaian di sana yang berkongsi falsafah sama dengan dua baju kebanggaan Melayu ini.

Parameswara tidak Bertanggungjawab Membuka Kerajaan di Semenanjung Tanah Melayu?

Kata penulis artikel ini, Parameswara tidak bertanggungjawab membuka sebuah kerajaan di Tanah Melayu dan mendakwa bahawa tanah itu miliknya. Sebentar… Parameswara sekadar membuka kerajaan di sebuah kepulauan yang bernama Kepulauan Melayu!

Tanah yang disebut sebagai milik Parameswara itu telah saya sebut berulang kali dan saya rasa perlu untuk saya ulangi dalam bab ini bahawa seorang penyair Jawa telah menyatakan tanah tempat Parameswara membuka kerajaannya itu adalah tanah Melayu. Mpu Prapanca penyair Jawa di kraton Majapahit, dalam karyanya Desawarnama pada tahun 1365 telah menyenaraikan daerah yang dikenalpasti sebagai tanah orang Melayu iaitu Jambi, Palembang, Minangkabau, Siak, Kampar, Rokan, Pane, Kampe, Aru, Mandaileng, Tumiang, Perlak, Samudra, Lamuri, Barus di Sumatera dan Langkasuka, Kedah, Kelantan serta Pahang di Semenanjung Tanah Melayu.

Selain itu, ketika Singgahasari mahu menggerakkan ekpedisi menundukkan sisa-sisa kekuasaan empayar Srivijaya, ekpedisi itu dipanggil Ekpedisi Pamalayu. Ini membuktikan nama Melayu dan tamadun orang Melayu telah wujud lama sebelum Parameswara membuka Melaka. Pertanyaan saya – kalau tanah di semenanjung ini digelar Tanah Melayu oleh penyair Jawa tersebut dan Singgahasari menggunakan istilah Ekspedisi Pamalayu untuk menundukkan sisa-sisa empayar Melayu Srivijaya yang pernah menaungi seluruh Nusantara, bagaimana anda boleh tergamak mengutuk Parameswara? Setakat ini saya tidak pernah pula jumpa nama Tanah Cina atau Ekpedisi Pacina digunakan oleh Singgahsari?

Orang Cina Jejakkan Kaki di Tanah Melayu (Kelantan) Dahulu sebelum Melayu?

Hujah yang digunakan oleh mereka adalah – ketika Parameswara mendarat di Melaka, orang Cina sudah berada di Kelantan. Oleh sebab terpisah dek hutan dan tiada jalan untuk ke sana, orang Melayu tidak mengetahui bahawa orang Cina sudah tiba lebih awal. Tarikh yang digembar-gemburkan adalah 1200 Masihi.

Saya nak ketawa membaca sejarah palsu sebegini. Orang Melayu adalah pelaut hebat. Orang Melayu biasanya akan bergerak melalui jalan laut. Orang Melayu dipercayai sebagai bangsa pertama yang berlayar di lautan luas menurut buku The Human Journey: A Concise Introduction to World History oleh Kevin Reilly. Menurut Lynda Shaffler pada halaman 12 dalam bukunya, Maritime Southeast Asia to 1500, orang Melayu dicatatkan telah mula berlayar di lautan luas seawal kurun pertama Sebelum Masihi lagi. Dalam buku ini ada diceritakan bahawa orang Melayu berlayar di lautan jauh beribu batu tanpa menggunakan kompas atau peta.

‘Bangsa Melayu berlayar dengan bantuan bacaan angin dan bintang, melalui pembacaan akan bentuk dan warna awan, atau melalui pembacaan warna air laut, melalui gelombang dan juga alunan ombak lautan. Orang Melayu dapat mengenal pasti lokasi sebuah pulau sejauh 30 batu jauhnya melalui pembacaan pada spesis burung, ikan, dan batu karang yang ada di dalam lautan, sambil dibantu oleh alunan ombak.’

Bukan itu sahaja, orang Melayu juga terkenal dengan penghasilan kapal-kapal hebat. Lynda Shaffler dalam bukunya lagi berkata:

‘Orang Cina juga tahu penduduk pulau ini sebagai pembina dan kru kapal laut serta akan terlibat [dalam] perdagangan laut. Orang Cina sebenarnya telah banyak belajar daripada mereka. Orang Melayu mula membina kapal yang diperbuat dari tikar anyaman yang diperkukuhkan dengan buluh, sekurang-kurangnya beberapa beratus-ratus tahun SM dan ketika masa Dinasti Han (206SM hingga 221SM), orang Cina telah menggunakan layar itu.’

Anda cuba mengatakan… bangsa yang mengajar bangsa Cina untuk berlayar di lautan tidak pernah sampai ke Kelantan ketika itu? Kalau bangsa ini pernah sampai ke China, kenapa tidak pernah sampai langsung ke Kelantan pada tahun 1200 walhal pada 200SM lagi mereka sudah berhubung dengan Dinasti Han?

Untuk makluman, sebelum Melaka (yang tarikh kewujudannya bermula pada tahun 1262), orang Melayu telah membina kerajaan-kerajaan hebat sebelum itu. Mari kita dalami.

1.    Tamadun Sungai Batu (500SM)

2.    Empayar Funan (68M – 500SM)

3.    Kerajaan Malayu (400M – 700M)

4.    Sri Dharmaraja (100M – 1500M)

5.    Kesultanan Kedah (1136M)

6.    Empayar Srivijaya (600M – 1377M)

Maaf, tarikh 1200 anda tidak mampu menandingi era kerajaan-kerajaan Melayu di Nusantara ini. Sila cuba lagi.

Nama Hang Itu Nama Keluarga Cina?

Terdapat ramai lagi Melayu di zaman Melaka yang turut menggunakan nama pangkal Hang seperti Hang Ali, Hang Iskandar, Hang Nadim, Hang Hasan, dan Hang Hussin. Untuk pengetahuan saudara juga, nama Hang ini merupakan gelaran yang diberikan oleh Istana Melaka pada waktu itu, lebih kurang macam ‘Datuk’ pada hari ini. Jadi istilah ini tak ada kena mengena pun dengan orang Cina.


Ini ialah petikan daripada buku terbaru kami, JANGAN SELEWENGKAN SEJARAH MELAYU. Berminat mahu membaca setiap bidasan sejarah power seperti ini? Jangan tunggu lagi, dapatkan di laman portal kami (Pautan pembelian: https://goo.gl/4XmGuR). <— KLIK LINK WARNA BIRU. 

Post a Comment

Previous Post Next Post