Ingatkah anda dengan Heart of the Ocean yang pernah dinyatakan di dalam filem Titanic? Atau dengan The Rabbit’s Foot seperti yang dipaparkan di dalam sekuel popular Mission: Impossible III? Pernahkah anda terfikir apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan elemen ini? Jika tidak, marilah kita sama-sama menyelami elemen ini yang dikenali sebagai MacGuffin Effect, atau Kesan MacGuffin.
Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan Kesan MacGuffin ini? Secara mudahnya, Kesan MacGuffin boleh didefinisikan sebagai sesuatu perkara yang mudah untuk dilihat di dalam sesebuah karya fiksyen (drama, filem atau novel), namun sukar untuk diterangkan. Terdapat banyak pendapat dan pandangan yang telah diberikan mengenai pengertian sebenar untuk Kesan MacGuffin ini, di mana asasnya ia merupakan sesuatu yang digunakan di dalam plot (plot device) bertujuan untuk membantu menggerakkan plot tersebut dalam karya fiksyen. Apa yang penting di sini bukanlah objek atau elemen yang ditunjukkan itu, namun kesan serta motivasi yang diberikannya kepada watak dan keseluruhan jalan cerita tersebut.
Istilah MacGuffin ini telah dipopularkan oleh Alfred Hitchcock, tetapi ia sebenarnya mula-mula telah disebut oleh seorang penulis skrip British, iaitu Angus MacPhaill. Alfred Hitchcock telah menggunakan istilah MacGuffin ini di dalam penulisan skripnya bagi menggambarkan suatu objek yang menggerakkan plot, kebiasaannya disebabkan oleh keinginan watak yang ingin memiliki, melindungi, membina atau memusnahkan objek tersebut. MacGuffin ini haruslah sesuatu yang tangible, di mana elemen ini boleh dipersembahkan dalam bentuk objek, tempat mahupun individu.
MacGuffin juga seringkali dianggap sebagai suatu bahan atau elemen yang penting dalam proses penceritaan sesebuah karya fiksyen. Antara contoh karya Hitchcock yang mengaplikasikan Kesan MacGuffin ini ialah The Maltese Falcon, sebuah filem noir klasik yang mengisahkan mengenai seorang detektif peribadi, Sam Spade serta penglibatannya dalam penyiasatan mengenai satu patung hitam bertatahkan permata. Spade di dalam filem ini telah merujuk patung ini sebagai ‘suatu barang di mana impian dibina’ di mana ia menunjukkan bagaimana impak objek berkenaan kepada perkembangan wataknya.
Kesan MacGuffin kebanyakannya banyak ditemui dalam karya fiksyen dengan genre thriller dan penyiasatan. Malah, Alfred Hitchcock sendiri menginterpretasikan kewujudan Kesan MacGuffin ini di dalam karya bergenre thriller dan penyiasatan dengan menyatakan bahawa, “In crook stories, it almost always the necklace, and in spy stories, it is most always the papers.” Sebenarnya, meskipun MacGuffin (kadangkala disebut juga sebagai McGuffin) ini digunakan sebagai elemen untuk membantu menggerakkan plot, namun tujuannya hanya setakat itu sahaja. Ia kebiasaannya tidak akan muncul lagi pada penghujung sesebuah kisah fiksyen dan tidak akan membantu untuk menerangkan penamat kepada fiksyen tersebut.
Disebabkan inilah, ada sesetengah sarjana dalam bidang perfileman mempunyai pendapat yang berbeza mengenai Kesan MacGuffin ini, di mana walaupun ia seringkali dianggap sebagai penggerak plot, namun adakalanya ia juga boleh mengelirukan penonton atau pembaca dengan mengalihkan perhatian mereka. Dalam hal ini, Kesan MacGuffin boleh menjadi elemen atau objek yang mampu untuk menipu perjalanan plot di mana para penonton mula mencari dan mempersoalkan sebab kehadirannya di dalam kisah fiksyen tersebut.
Ada juga sesetengah kisah elemen ini langsung tidak ditunjukkan, tetapi dinyatakan secara berulang-ulang kali di dalam kisah fiksyen tersebut. Antara contoh biasa elemen atau objek yang dijadikan Kesan MacGuffin bagi mengelirukan perjalanan plot ini adalah seperti pakej misteri, artifak atau senjata ajaib yang tidak ditunjukkan secara zahir, tetapi wujud di dalam penceritaan.
Di dalam karya sastera (literature), Kesan MacGuffin juga kerapkali digunakan bagi menarik perhatian pembaca terhadap jalan cerita yang dipersembahkan. Buku-buku karya J.R.R. Tolkien sebagai contohnya banyak menggunakan elemen MacGuffin ini. Arkenstone yang ditemui di dalam karya The Hobbit adalah contoh MacGuffin yang sebenar, manakala The One Ring di dalam karya terkenal The Lord of The Rings juga boleh dianggap sebagai elemen MacGuffin di mana kuasa yang dimilikinya merupakan penggerak utama kepada plot keseluruhan kisah tersebut.
Kenapakah Kesan MacGuffin ini penting dalam sesuatu jalan cerita atau plot? Ini berkait rapat dengan penerimaan penonton atau pembaca mengenai keseluruhan jalan cerita sesebuah karya fiksyen. Apabila penonton atau pembaca mula mempercayai dan memberi harapan kepada watak untuk mencapai Kesan MacGuffin yang ditunjukkan itu, maka ia sekaligus telah melengkapkan tujuan penceritaan karya berkenaan. Meskipun, adakalanya pada pengakhiran sesebuah karya fiksyen Kesan MacGuffin yang ditunjukkan sebenarnya langsung tidak memberi apa-apa impak atau kesan, sama seperti contoh yang ditunjukkan dalam filem The Maltese Falcon di mana patung yang dicari itu rupa-rupanya hanyalah sebuah patung palsu!
Walau apapun pengertian dan makna tersirat yang diberikan untuk Kesan MacGuffin ini, ia sebenarnya mampu membuatkan sesebuah jalan cerita menjadi lebih menarik dan membuatkan penonton atau pembaca tertanya-tanya akan plot yang cuba disampaikan. Kesan MacGuffin sebagai penggerak plot atau untuk penipuan plot? Anda tentukan sendiri
Rujukan
Goode, E. (2003). The macguffin that refuses to die: An investigation into the condition of the sociology of deviance. Deviant Behavior, 24(6), 507–533.
Renee, V. (2016). Hitchcock’s MacGuffin Explained: What Are They and How Do You Use One in Your Film? Retrieved October 20, 2018, from https://ift.tt/2yYkXUa