Frantz Fanon di dalam buku beliau berjudul “Black Skin, White Masks”, ada membentangkan berkenaan hasil kajian psikologi pasca kolonialisme. Hasil kajian tersebut membuat kesimpulan bahawa sesebuah kaum yang pernah dijajah oleh kuasa kolonial dan berjaya menempuhi era tersebut akan kembali menjadi ‘kuasa kolonial’ yang pernah menjajah mereka.
Fanon berpendapat bahawa wujud ketikanya di dalam era pasca kolonial sesebuah bangsa yang pernah ditindas para kolonial, mereka kembali menindas bangsa mereka sendiri.
Ini adalah hasil doktrinisasi dan pengaruh tuan kolonial mereka, kerana penindas pasca kolonial ini diumpamakan oleh Fanon sebagai “hamba yang diberi ehsan makan semeja dengan tuan kolonial mereka”. Fanon menggunakan kes bangsa Afrika yang ditindas ketika era apartheid.
Apabila spesis ini bebas dari diperhambakan, minda di bawah sedar mereka merasakan bahawa mereka cenderung memiliki sifat, budaya, amalan, cara hidup malah ada yang merasakan mereka memiliki genetik ‘superior being’ berbanding orang lain yang sebangsa dengannya.
Ia menceritakan bagaimana kolonialisme mempengaruhi cara sesebuah kaum yang ditindas berfikir, bagaimana ‘inferiority complex’ disemai dan bagaimana melalui sifat perkauman, sesebuah bangsa itu kemudiannya menjadi penindas kepada bangsanya sendiri.
Bahasa-bahasa self hate, bahasa-bahasa kesat, perumpamaan-perumpamaan dengan konotasi negatif digunakan terhadap penindas pasca kolonial ini ke atas bangsa mereka sendiri tanpa sedar (atau sengaja).
Buku beliau yang berjudul “The Wretched of the Earth” menggunakan contoh bagaimana ‘internalised racism’ meresap ke dalam kalangan kaum asal Afrika yang menggunakan kekerasan ke atas kaumnya sendiri sebagai manifestasi kekecewaan kerana dikuasai penjajah apartheid ketika itu.
Idea inilah yang seringkali digunakan oleh golongan borjuis di dalam sesebuah bangsa bagi menzahirkan keinginan mereka menguasai bangsa sendiri, pasca kolonial.
Bangsanya sendiri yang tergolong di dalam golongan proletar cuba dilemahkan supaya terus akur dengan kedudukan terbawah di dalam strata masyarakat. Proletar teramai ini yang mesti dicucuk hidungnya untuk mengakui bahawa bangsanya tidak mampu dan lemah serba serbi semuanya bagi memastikan borjuis terus menerus mengawal dan menguasai di zaman pasca kolonial.
Bagaimana? Dejavu dengan Melayu hari ini kan?