Gagasan Al-Attas: Islamisasi Ilmu

Nama Syed Muhammad Naquib Al Attas (SMNA) mungkin tidak dikenali ramai terutamanya di kalangan anak muda zaman kini. Namun begitu pengaruh beliau sangat besar ke atas negara Malaysia. Beliau telah terlibat di dalam pembentukan dasar-dasar negara bangsa Malaysia sejak ia merdeka lagi seperti mempengaruhi pembentukan Dasar Kebudayaan Negara 1970.

Beliau juga terlibat di dalam pembentukan universiti-universiti Malaysia sama ada secara langsung ataupun tidak langsung seperti UKM, UIAM, ISTAC, dan CASIS. Sebagai seorang pemikir ulung abad ini, beliau memperjuangkan satu gagasan yang dikenali sebagai Gagasan Islamisasi Ilmu-ilmu Semasa.

Gagasan Islamisasi Ilmu-ilmu Semasa atau Gagasan Islamisasi Ilmu ini merupakan sebuah gagasan yang bermula pada awal abad ke 20 dan sejak itu ia mula mendapat momentum dan diperbincangkan serta diperkemaskan oleh ramai pemikir. Oleh itu satu sejarah ringkas akan gagasan ini akan cuba disampaikan dan untuk dilihat ke mana hala tuju gagasan ulung ini.

Gagasan Islamisasi mula diperkenalkan oleh Muhammad Iqbal, seorang pemikir Islam moden, di mana beliau telah menganjurkan cendekiawan Islam untuk mengIslamkan ilmu. Ia satu usaha ilmiah yang awal dalam memperkenalkan falsafah agama Islam menggunakan pemikiran tradisi Islam dan Barat Moden. Namun begitu beliau tidak menghuraikan dengan jelas maksud Islamisasi Ilmu dan konsep ilmu Barat.

Prof Syed Hussein Nasr juga turut menyumbangkan buah fikiran berkenaan aspek Islamisasi Ilmu di dalam buku penting beliau, An Introduction To Islamic Cosmological Doctrines (1960). Beliau menyatakan bahawa setiap tafsiran seseorang akan sesuatu pasti dipengaruhi oleh cara dan pandangan alamnya.

Sepertimana Muhammad Iqbal, beliau tidak menyatakan dengan jelas istilah Islamisasi atau Islamisasi Ilmu. Selain itu, Prof Fazlur Rahman menyatakan di dalam tulisannya Islam And Modernity (1982) bahawa keberjayaan Islamisasi Ilmu bergantung kepada wujudnya dahulu satu gagasan Metafizika Islam.

Selain mereka di atas, hanya dua tokoh yang membawa gagasan ini ke tahap amali iaitu Syed Muhammad Naquib Al Attas melalui International Institute of Islamic Thought And Civilisation (ISTAC) dan Ismail Faruqi melalui International Institute of Islamic Thought (IIIT). Bagi gagasan Ismail Faruqi, ia mula dibentangkan sepertimana di dalam bukunya, The Islamization of Knowledge: General Principles and Work Plan (1980).

Beliau menganjurkan agar pemikir-pemikir Islam menguasai ilmu moden dan menyatukannya dengan ilmu Islam dalam satu sintesis kreatif. Salah satu usaha amali beliau selain IIIT adalah di dalam bidang bahasa di mana beliau telah cuba mengIslamkan bahasa Inggeris.

Sementara itu, Gagasan Islamisasi Ilmu yang dibawa SMNA ini lebih jelas, terperinci dan menyeluruh sepertimana yang Prof Wan Mohd Nor istilahkan keseluruhan pemikiran dan kaedah beliau sebagai satu pergerakan yang teguh (Dynamic Stabilism).

Pada awalnya, beliau mengunjurkan pengIslaman fikiran pada tahun 1969 melalui kajian beliau ke atas pengIslaman Kepulauan Melayu-Indonesia di mana pemikiran kepulauan Melayu-Indonesia ini telah berubah daripada pemikiran seni atau estetik kepada pemikiran ilmiah dan saintifik sehingga terhasilnya Bahasa Melayu Baru.

Namun begitu, gagasan Islamisasi Ilmu ini kurang mendapat sambutan orang ramai sehinggalah pada tahun 1977, ketika Persidangan Pendidikan Islam Sedunia yang bertempat di Mekah, di mana beliau telah membentangkan kepada khalayak ramai akan Gagasan Islamisasi Ilmu ini dengan tuntas. Di persidangan itulah beliau mengetengahkan takrifan dan metodologi Islamisasi Ilmu yang jelas, masalah ilmu di kalangan umat Islam, makna pendidikan, universiti Islam, dan mentakrif makna Islamisasi itu sendiri.

Pembentangan beliau ini akhirnya dibukukan menjadi Islam And Secularism. Seterusnya beliau telah merangka-bentuk semula gagasan falsafah sains Islam yang akan menyokong gagasan Islamisasi Ilmu ini. Gagasan Falsafah Sains ini telah dibukukan menjadi Prolegmegna To The Metaphysics of Islam.

Selain daripada menubuhkan dan memimpin ISTAC (1991-2003) sebagai contoh amali akan gagasan Islamisasi Ilmu beliau ini, beliau juga telah memperpanjangkan teori pengIslaman Kepulauan Melayu-Indonesia yang dibukukan bertajuk Historical Facts And Fiction (2011). Kedua-dua tulisan beliau 1969 dan 2011 menunjukkan dengan jelas usaha Islamisasi dan Islamisasi Ilmu pada tahap ketamadunan dan ini terhasil apabila cara pandang alam kepada sejarah Melayu telah beliau ubah supaya menepati pandangan Melayu-Islam.

Mungkin pembaca sukar memahami apa yang saya cuba sampaikan melalui contoh-contoh di atas namun usah risau, saya akan cuba sedaya-upaya menerangkan dengan kudrat yang kecil ini akan Gagasan yang ulung di dalam tulisan-tulisan akan datang. Sebelum saya akhirinya kalam saya ini, saya hidangkan dahulu takrif Islamisasi mengikut SMNA buat tatapan pembaca:-

Islamisasi adalah pembebasan manusia, pertama daripada tradisi tahyul, mitos, animis, kebangsaan dan kebudayaan, dan selepas itu (pembebasan) akal dan bahasa daripada pengaruh sekularisme’

Rujukan:

  1. Wan Daud, Wan Mohd Nor, Budaya Ilmu Satu Penjelasan. Pustaka Nasional Pte Ltd 2007.
  2. Wan Daud, Wan Mohd Nor, Peranan Universiti. PengIslaman Ilmu Semasa, Penafibaratan dan Penafijajahan. Pusat Pengajian Tinggi Islam, Sains Dan Peradaban (CASIS) dan Himpunan Keilmuan Muslim (HAKIM) 2017.
  3. Wan Daud, Wan Mohd Nor, Al-Attas: Penyambung Tradisi Pembaharu Tulen. MPH Group Publishing Sdn Bhd 2012.
  4. Al-Attas, Syed Muhammad Naquib, Islam And Secularism. International Institute of Islamic Thought And Civilisation (ISTAC) 1993.
  5. Wan Daud, Wan Mohd Nor, The Educational Philosophy And Practice of Syed Muhammad Naquib Al Attas: An Exposition of The Original Concept of Islamization. International Institute Of Islamic Thought And Civilisation (ISTAC) 1988.
  6. Wan Daud, Wan Mohd Nor, Rihlah Ilmiah: Dari Neomodernisme Ke Islamisasi Ilmu Kontemporer. Pusat Pengajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS) dan Institute For The Study of Islamic Thought And Civilisation 2012.

Post a Comment

Previous Post Next Post