Nenek tua 84 tahun ini ulang-alik setiap hari 30km naik bas jual asam keping. Bila tengok rumahnya, menitis air mata ini...



“Allah, nak menangis masa dia beritahu dari semalam tak makan nasi.”

Begitu luahan perasaan seorang penolong pegawai penyediaan makanan, Mohd Zamri Ismail, 30, ketika bertemu dengan seorang warga emas yang kelihatan serba daif sewaktu dia berkunjung ke sebuah pasar di Kota Bharu, Kelantan.

Pemuda yang berasal dari Kelantan itu bertemu dengan Che Munah Che Man, 80, di Pasar Besar Siti Khadijah pada Isnin sebelum bergerak pulang ke Sabah untuk mencari rezeki.

“Saya memang selalu ke Pasar Besar Siti Khadijah kalau balik kampung. Kadang-kadang kalau nampak mak cik (Che Munah) ni, saya akan beli asam keping yang dijualnya,” kata Mohd Zamri ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Perkongsian Mohd Zamri mengenai pertemuannya dengan Che Munah kali ini menjadi tular sehingga ia dikongsi lebih 17,000 kali selepas dimuat naik ke Facebook pada petang Isnin.

Lelaki yang bertugas di Hospital Lahad Datu itu berasa sayu setiap kali dia melihat warga emas berkenaan gigih menjual asam keping, biarpun dia kelihatan lemah untuk berniaga.



Tempat tidur Che Munah yang menggunakan kotak beralas guni beras dan dilapikkan dengan tikar plastik di atasnya.

Tambah lelaki berusia 30 tahun itu, Che Munah tidak pernah meminta-minta kepada mereka yang lalu-lalang untuk membeli barangan jualannya.

“Dia tak meminta orang yang lalu-lalu di situ untuk beli asam keping. Dia hanya tunduk je, kadang-kadang bila tengok orang sekadar lalu, dia senyum je,” ujarnya.

Tambah memilukan, pemuda tersebut tersentuh hati apabila Che Munah memberitahu dia belum menjamah nasi dan bertanya kepada Mohd Zamri sekiranya dia sudi membelikannya beras dan budu untuk dimakan.



Antara barang dapur yang dibelikan oleh Mohd Zamri untuk Che Munah.

Tanpa berfikir panjang, Mohd Zamri menawarkan untuk membeli barangan dapur dan menumpangkan warga emas itu pulang ke rumahnya di Selising, Pasir Putih yang terletak lebih 30 kilometer (km) dari pasar tersebut.


“Mak cik tu naik bas selama 40 minit untuk berniaga di pasar. Tambang bas RM3.50, tapi katanya kadang-kadang pemandu bas tidak mengambil bayaran tambang daripadanya.

“Saya tumpangkan mak cik tu balik naik kereta saya dan sempat bersembang… dia kata, suaminya dah meninggal dua tahun lepas dan dia tiada anak,” jelas Mohd Zamri.

Mohd Zamri sering membeli asam keping daripada Che Munah setiap kali pulang ke kampung halamannya.

Sewaktu tiba di kediaman Che Munah, Mohd Zamri terkejut melihat keadaan rumahnya yang serba kekurangan.



“Sampai di rumah dia, sebak rasa sebab sangat daif. Dia tidur di atas kotak beralas guni beras.

“Pasal bantuan saya tak pasti macam mana. Dia cakap ada terima bantuan RM300 sebulan, tapi setiap kali ke bank untuk ambil duit, duit tak masuk-masuk,” ujarnya.

Menurut pemuda itu lagi, Che Munah sempat berpesan kepadanya: “Cucu, walaupun kita susah, kita jangan mencuri. Hati-hati bawa kereta.”

Nenek tular jual asam keping dapat bantuan zakat bulanan; “Rumahnya sebelum ini lebih daif” – Maik
SELEPAS laporan mengenai seorang nenek yang hidup dalam keadaan daif tular di media sosial, timbul persoalan tentang bantuan yang sewajarnya disampaikan kepada warga emas tersebut.

Netizen mula mempersoalkan mengapa nasib Che Munah Che Man, 80, seolah-olah dipinggirkan dan tidak mendapat perhatian pihak berkaitan.

mStar Online mendapatkan kepastian daripada Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan (Maik) berhubung perkara tersebut.

Pembantu tadbir siasatan Maik, Mohd Hisyamuddin Nordin berkata, pihaknya amat prihatin dengan kebajikan warga emas tersebut dan mengesahkan bahawa Che Munah ialah penerima bantuan zakat bulanan di Kelantan.

“Menurut semakan pihak kami, penama merupakan penerima bantuan Maik sebanyak RM400 sebulan.

“Mengikut rekod, wang tersebut dimasukkan setiap bulan ke akaun Bank Simpanan Nasional penerima sejak 2007,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Jelas Mohd Hisyamuddin, bantuan bulanan yang diberikan sejak 2007 itu pada awalnya bernilai RM250 sebulan sebelum dinaikkan secara berperingkat kepada RM350 dan RM400 sebulan pada hujung 2017.

Kenaikan itu diberi selepas mengambil kira keadaan ekonomi semasa dan keperluan penerima bantuan.

“Kami tambah nilai bantuan bulanan itu memandangkan kos sara diri semakin meningkat dan nilai lama dirasakan tidak lagi sesuai.

“Mungkin dia perlukan untuk beli ubat-ubatan, susu atau lampin pakai buang untuk warga emas,” ujarnya.



Gambar halaman pertama buku akaun bank CIMB Che Munah yang sempat dirakam oleh Mohd Zamri.

Tambah pegawai itu lagi, pihaknya turut menghulurkan bantuan sebanyak RM6,000 pada 2012 untuk tujuan membaik pulih rumahnya.

“Keadaan rumahnya sebelum ini lebih daif dari sekarang. Duit bantuan yang diberikan itu digunakan untuk membina lantai simen dan dinding bata.

“Sebelum ini, Che Munah tinggal di Pasir Mas. Kini, dia sudah berpindah ke Pasir Puteh selepas berkahwin dengan suami ketiganya, Abdullah Jusoh,” kata Mohd Hisyamuddin sambil mengesahkan bahawa akaun bank tersebut masih aktif.

mStar Online pada Selasa melaporkan, seorang pemuda tersentuh selepas melihat keadaan seorang warga emas yang masih gigih mencari rezeki dengan menjual asam keping di sebuah pasar di Kelantan.

Che Munah memberitahu Mohd Zamri Ismail, 30, bahawa dia menerima bantuan kewangan sebanyak RM300 sebulan tetapi mendakwa duit tersebut tidak dimasukkan ke dalam akaunnya setiap kali dia cuba mengeluarkannya di bank.

Pemuda yang prihatin dengan nasib Che Munah itu turut memuat naik gambar akaun buku bank CIMB warga emas berkenaan ke Facebook bagi memudahkan orang ramai menyalurkan sumbangan kepadanya.

Sumber: Mstar

TINJAUN DI KEDIAMAN RUMAH CHE MUNAH TERKINI

Video ini kami dapatkan daripada laman Facebook Utusan Pantai Timur. Mereka telah menjalankan tinjaun di kediaman Che Munah. Namun apa yang dapat kami simpulkan daripada video ini terdapat beberapa kesalahan fakta yang telah disebarkan media sebelum ini.  Che Munah masih bersuami dan umurnya 24 tahun lebih muda. Berbanding laporan sebelum ini mengatakan suami Che Munah telah wafat 2 tahun lalu. Berikut video yang telah dirakam oleh Utusan.

Sumber : realmerah.com

Sumber Nenek tua 84 tahun ini ulang-alik setiap hari 30km naik bas jual asam keping. Bila tengok rumahnya, menitis air mata ini...

Post a Comment

Previous Post Next Post