Mat Sabu minta parti Amanah sedia terima ahli baru lepas Hadi batal saman



Tiga hari selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang menarik balik saman terhadap Sarawak Report, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu menyeru ahli partinya di setiap peringkat membuat persediaan untuk mengalu-alukan ahli baru.

Mohamad berkata demikian dalam kenyataan media hari ini yang menjemput ahli PAS yang kecewa dengan keputusan Presiden PAS Abdul Hadi Awang menarik balik saman fitnah berkenaan.

"Amanah sangat terbuka untuk menerima ahli dari mana-mana parti termasuk PAS. Walaupun pernah berselisih faham sebelum ini, tiada dendam daripada ahli-ahli Amanah kepada ahli-ahli PAS yang ingin berhijrah.

"Mengambil semangat Malaysia Baru, kita semua perlu berganding bahu bersama kerajaan Pakatan Harapan untuk melakukan perubahan demi kebaikan rakyat dan negara dan bukan bersama Umno yang telah terbukti merosakkan negara sejak sekian lama," katanya.

Jelas Mohamad, dia dan beberapa pemimpin Amanah sejak beberapa hari lalu menerima mesej dari rakan-rakan mereka di PAS yang meluahkan kekecewaan terhadap keputusan PAS untuk tidak meneruskan saman fitnah berkenaan.



"Bagi mereka, keputusan bersifat 'pusingan u' itu tidak boleh diterima dalam keadaan seluruh ahli telah diyakinkan dengan panafian demi penafian oleh pemimpin tertinggi parti itu bahawa mereka tidak pernah menerima wang seperti yang didakwa.

"Bagi Amanah, keputusan PAS ini suatu detik penting kepada kepincangan berterusan yang berlaku dalam parti itu sejak 10 tahun lalu. Ia juga sekaligus mengesahkan wujud jalinan 'hubungan gelap' parti itu yang turut melibatkan unsur-unsur penerimaan wang.

"Dengan perkembangan terbaru ini, saya mengalu-alukan ahli dan pimpinan PAS untuk menyertai Amanah. Sudah tiba masanya untuk kita sama-sama kembali berganding bahu di dalam satu wadah untuk membangunkan Malaysia," katanya.

Tambah Mohamad atau Mat Sabu lagi, perubahan yang dihasratkan berpuluh tahun di dalam PAS sebelum ini tertangguh sekian lama akibat tindakan beberapa kerat pimpinan yang melakukan "hubungan gelap" dengan parti lawan.



Jelasnya, PAS adalah sebuah parti yang hidup dengan budaya syura termasuk ketika memutuskan untuk menjalinkan hubungan dengan Parti Melayu Semangat 46, DAP dan PKR.

"Namun sangat aneh, dalam hal menjalin hubungan dengan Umno, ia hanya ditentukan oleh beberapa kerat pemimpin sahaja," katanya.

Pada 1 Feb lalu, media melaporkan Abdul Hadi menarik semula saman fitnahnya terhadap Sarawak Report untuk penyelesaian luar mahkamah.

Saman fitnah berkenaan berhubung laporan portal berkenaan yang disiarkan pada Ogos 2016 yang mendakwa Umno memberi wang kepada pemimpin PAS untuk mendapatkan sokongan.

Sumber : malaysiakini.com

Sumber Mat Sabu minta parti Amanah sedia terima ahli baru lepas Hadi batal saman

Post a Comment

Previous Post Next Post