Exco Kerajaan Negeri Perak, Paul Yong Umum Bercuti..

 

IPOH – Exco kerajaan negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong hari ini memaklumkan akan bercuri daripada menjalankan tugas-tugas rasminya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak.

Choo Kiong berkata, beliau akan memaklumkan perkara itu kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengenai keputusan tersebut.

“Sebagai seorang ahli politik, saya perlu meletakkan kepentingan kerajaan negeri melebihi kepentingan peribadi.

“Selepas meneliti situasi terkini, saya mengambil keputusan untuk bercuti sementara bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada perbicaraan mahkamah bagi membersihkan nama saya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.



Tambah Choo Kiong, beliau akan mengarahkan peguamnya untuk memohon kepada mahkamah bagi mendapatkan tarikh perbicaraan agar dia dapat membersihkan nama sekali gus membuktikan dia tidak bersalah secepat mungkin.

Katanya, beliau masih akan berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh seperti biasa.

“Saya yakin fitnah ini merupakan suatu komplot jahat yang bermotifkan politik dan pertuduhan bersifat jahat ini telah menyebabkan kesusahan terhadap rakan sekerja, ahli keluarga dan juga diri saya," katanya.

Kosmo! Online semalam melaporkan, Choo Kiong berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan selepas dia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan merogol wanita Indonesia yang me­rupakan pembantu rumahnya Julai lalu. 

Choo Kiong bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan itu.

Sumber: Kosmo Online


sumber Sehinggit Media News

Post a Comment

Previous Post Next Post