Tercalarnya Imej Priyanka Chopra - Dituduh Hipokrit


"JAI Hindi (panjang usia India)," demikian ciap pelakon Priyanka Chopra melalui laman Twitter miliknya berserta tanda pagar #IndianArmedForces sebagai tanda sokongan terhadap tentera India.

Umum mengetahui, India adalah negara dengan majoriti penganut Hindu dan Pakistan (majoriti Muslim) berdepan krisis kemungkinan perang nuklear. Datang daripada buah fikiran seorang selebriti yang mempunyai pengaruh masif seperti Priyanka, sudah tentu sokongan sebegitu memberikan impak kepada khalayak.

Lebih memercikkan lumpur terhadap reputasi Priyanka yang kini mahu dikenali sebagai Priyanka Chopra Jonas, dalam sebuah majlis di Los Angeles baru-baru ini, dia menerima jeritan daripada seorang wanita Pakistan dikenali sebagai Ayesha Malik.

Dituduh hipokrit

Ayesha mendakwa aktres filem Mujhse Shaadi Karogi itu sebagai seorang hipokrit apabila menggalakkan perang nuklear ke atas Pakistan.

“Anda adalah duta Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) untuk keamanan dan anda menggalakkan perang nuklear terhadap Pakistan.



“Tiada pemenang dalam hal ini. Sebagai seorang rakyat Pakistan, jutaan individu seperti saya menyokong anda dalam industri Bollywood dan anda mahukan perang nuklear,” getus wanita tersebut.

Kecaman tersebut bagaimanapun dibalas Priyanka yang mempertahankan tindakannya sebagai tanda cinta terhadap negara kelahirannya iaitu India.

“Saya memiliki ramai sahabat dari Pakistan dan saya berasal dari India. Peperangan bukan sesuatu yang saya gemari, namun saya seorang yang patriotik jadi saya meminta maaf jika saya menyinggung sentimen orang yang menyukai saya.

“Namun, saya berpendapat kita semua perlu memiliki pendirian masing-masing. Sama seperti anda. Cara anda menghampiri saya ketika ini. Tolong jangan menjerit. Kita semua berada di sini dengan penuh kasih sayang,” katanya sedikit gelabah kerana terkejut dengan soalan yang diajukan wanita itu.

Sepertinya, reputasi Priyanka sedikit tercalar. Klip video tersebut menjadi tular dalam laman sosial dan ramai dalam kalangan peminat berpaling tadah daripadanya. Masing-masing bersetuju Priyanka adalah seorang manusia yang penuh hipokrasi.

Natijahnya, isteri kepada pelakon dan penyanyi Hollywood Nick Jonas itu kehilangan lebih tiga juta pengikut dalam laman Instagram disebabkan kontroversi yang melandanya.

Permohonan maaf

Dalam ruangan komen, ramai yang mengkritik tindakan yang seperti cenderung kepada peperangan sedangkan dia memegang peranan bukan sahaja sebagai selebriti popular dunia, bahkan duta Unicef yang sepatutnya mempromosi keamanan dalam kalangan manusia sejagat.

Semenjak terbongkarnya tembelang Priyanka, ramai dalam kalangan netizen seluruh dunia mula menyelongkar keburukan Priyanka.

Apa sahaja muat naik bintang siri Quantico itu diikuti dengan tulisan kecaman daripada peminat yang masih tidak berpuas hati dengan pendekatannya dirinya menjawab soalan tempoh hari.

Ada yang mendakwa, disebabkan terlalu banyak komen berunsur kebencian terhadap dirinya dalam laman sosial, Priyanka bertindak memadam komen-komen yang tinggalkan, namun tidak dapat menghalang api kebencian peminat yang masih berbekas terhadapnya.

Barangkali, jalan keluar akan menjadi mudah andai Priyanka memohon maaf atas keterlanjuran kata-katanya melalui lisan atau pun tulisan. Namun sehingga kini, lagaknya seperti tiada apa yang memerlukan permohonan maaf dan konon-kononnya api kebencian orang ramai terhadapnya akan padam dengan sendiri.

Disebabkan tersilap langkah, Priyanka juga disifatkan sebagai artis Bollywood yang lupa daratan sesudah mengahwini Nick Jonas.

Lantaran itulah, sekecil-kecil zarah perubahan seperti aksen ‘Amerika Syarikat’ yang terzahir dari bibirnya disifatkan sebagai dibuat-buat.

Sampai ke tahap itu api kebencian peminat akibat lancang katanya mempertahankan negara atas tiket patriotisme sehingga sanggup menyokong peperangan.

Dalam polemik tersebut, Priyanka harus menilai portfolionya sebagai bintang Bollywood yang diterima baik di Hollywood, jangan hanya disebabkan satu kesilapan dan enggan mengakui khilaf, runtuh namanya yang bersinar bergemerlapan.

Sumber: Kosmo Online


sumber Sehinggit Media News

Post a Comment

Previous Post Next Post