Sejak Dahulu PKR Berpendapat GST Adalah Sistem Yang Lebih Cekap


KANGAR 5 Okt. - Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad mendakwa sejak daripada dahulu PKR berpendapat bahawa cukai barang dan perkhidmatan (GST) adalah satu sistem percukaian yang lebih cekap.

Bagaimanapun kata Noor Amin, dalam masa sama cukai tersebut mempunyai kesan regresif kepada golongan berpendapatan rendah selain ketidakcekapan pelaksanaan sistem itu dahulu.

"Dalam satu program yang saya tengok dalam berita semalam memang Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ada komen (mengenai GST lebih cekap) Ini bukan benda baharu,...pendirian kita ini disebut daripada dulu cuma mungkin sebab politik, orang suka tengok perbezaan.

"Ada isu-isu ketidakcekapan pelaksanaan GST yang disebut sebelum ini misalnya pulangan kepada peniaga yang sepatutnya diberi tetapi malangnya, tidak dapat. Kelemahan inilah yang menyebabkan banyak berlaku rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat.


"Saya percaya untuk masyarakat menerima semula GST ini memerlukan masa, kalau kita tengok reaksi Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad) sendiri sekurang-kurangnya dalam masa terdekat tidak ada rancangan untuk melaksanakannya (GST)," katanya ketika ditemui selepas program Hari Terbuka Kuala Perlis di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pandangan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang menyifatkan GST yang dilaksanakan sebelum ini adalah lebih efisien dan telus.

Sebelum itu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memaklumkan bahawa kerajaan sedia memperkenalkan semula GST jika itu kehendak rakyat.

Reaksi Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu susulan daripada saranan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) sebelum itu yang mencadangkan kerajaan memperkenalkan semula GST pada kadar yang lebih rendah iaitu tiga peratus dalam Belanjawan 2020.

Tambah Noor Amin, cadangan pelaksanaan semula GST itu bukan bermaksud sistem berkenaan perlu disegerakan tetapi mungkin memerlukan tiga atau lima tahun lagi.

"Kita kena memahami dan cuba tengok kebaikan dahulu, apabila rasa bersedia pada masa akan datang barulah dicuba dilaksanakan semula.

Sebab trauma rakyat bila dilaksanakan GST sebelum itu masih adalah. Sebab itu bila timbul semula cadangan daripada MIER, ada rasa terkejut dalam kalangan sesetengah orang.

"Kerajaan pun tidak bercadang melaksanakan dalam masa terdekat, cuma perbincangan itu boleh diteruskan oleh mana-mana pihak pun," katanya.



sumber Sehinggit Media News

Post a Comment

Previous Post Next Post