89 Murid Disyaki Dijangkiti Influenza Di Johor, Daerah Pasir Gudang Paling Ramai


JOHOR BAHRU - Seramai 89 murid dari lapan daerah di negeri ini disyaki dijangkiti influenza.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor, Azman Adnan berkata, data yang diperoleh setakat jam 1.30 tengah hari tadi, murid di daerah Pasir Gudang paling ramai disyaki influenza iaitu seramai 32 orang diikuti Johor Bahru seramai (24), Kulai (15), Tangkak (6), Kluang (5), Muar ( 5), Batu Pahat ( 1) dan Pontian (1).

"Data ini diperolehi dari sekolah melalui ibu bapa yang menghantar anak mendapatkan rawatan kesihatan di pusat kesihatan kerajaan dan swasta.

"Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) semua kes tidak melibatkan penutupan kelas atau sekolah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, pihak sekolah akan bekerjasama dengan Pejabat Kesihatan Daerah jika melibatkan penutupan kelas atau sekolah.


"Setakat ini sesi persekolahan berjalan seperti biasa tetapi pembersihan kelas perlu dilakukan dengan menggunakan cecair pencuci Dettol.

"JPN sentiasa berhubung dengan Pejabat Kesihatan untuk mendapatkan maklumat atau tindakan lanjut selain memastikan pihak sekolah mempunyai penyaring suhu badan murid untuk mengesan murid yang demam," katanya.

Tindakan menangani isu influenza:

i. Elakkan aktiviti yang mendedahkan pelajar untuk jangka masa yang lama kepada cuaca yang boleh menjejaskan kesihatan mereka.

ii. Pastikan premis dan persekitaran sentiasa di dalam keadaan bersih, selesa dan selamat supaya pelajar tidak dijangkiti penyakit.

iii. Melaporkan semua kes penyakit berjangkit kepada Pejabat Kesihatan dan tidak membenarkan pelajar yang disahkan menghidapi penyakit berjangkit hadir ke sekolah untuk suatu tempoh yang dikatakan wajar.

iv. Murid atau warga sekolah yang mempunyai simptom Influenza Like Illness (ILI), tidak dibenarkan hadir ke sekolah.

v. Jika sekiranya terdapat murid atau warga sekolah yang hadir mempunyai simptom Influenza Like Illness (ILI), maka mereka perlulah diasingkan di dalam satu bilik khas atau di Bilik Sakit.

vi. Jika terdapat murid atau warga sekolah yang hadir mempunyai simptom Influenza Like Illness (ILI), hendaklah dihantar pulang dan mendapat rawatan segera di klinik atau hospital.

vii. Bagi murid yang tinggal di asrama atau di sekolah berasrama penuh yang mempunyai simptom Influenza Like Illness (ILI), mereka hendaklah diasingkan dari penghuni asrama yang lain sehingga mereka sepenuhnya.

viii. Semua murid dan warga sekolah dari sekolah yang mengalami kejadian kluster atau ketidakhadiran yang tinggi, hendaklah disaring (suhu) dan pihak sekolah melaporkan kepada PPD dan Pejabat Kesihatan Daerah.

ix. Semua Pengetua dan Guru Besar hendaklah mewujudkan kesedaran akan penyakit ini kepada semua murid dan warga sekolah. Murid perlu mengamalkan kebersihan diri yang sempurna dan tatacara bersin dan batuk yang betul.

Sumber: Sinar Harian


sumber Sehinggit Media News

Post a Comment

Previous Post Next Post