“Kalau Sedia Jadi Bapa Anak-Anak Saya, Masuklah Meminang”


Hampir tujuh tahun hidup solo dan menggalas tanggungjawab sebagai ibu tunggal, sudah pasti Rita Rudaini tidak pernah terlepas dengan soalan mengenai jodoh. Namun, menurut Rita dia reda dan hanya mengikut aturan yang telah ditetapkan Allah.

Rita berkata kedua-dua anaknya juga tidak pernah bertanyakan tentang soal itu kerena mereka sudah biasa hidup bertiga. Bagaimanapun, Rita tidak menolak seandainya ada lelaki yang bersedia untuk menjadi bapa kepada anak-anaknya.

“Kalau ada lelaki yang bersedia menjadi bapa segera pada anak-anak saya, masuklah meminang. Sebelum ini ramai juga rakan yang cuba nak pasangkan dengan kawan mereka, malah ada yang tawarkan diri untuk mencarikan jodoh buat saya.

“Saya biasa saja. Mungkin sebab sudah terlalu lama solo, jadi perasaan itu lebih tenang bersendiri. Lagipun, saya ada dua anak yang sentiasa menemani dan menceriakan hari-hari saya.


“Biarlah tumpuan saya pada mereka dulu. Mereka pun semakin membesar. Banyak lagi perkara dan keperluan penting untuk mereka. Saya kena terus kuat untuk mereka,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, Rita berkata meskipun ramai rakan-rakananya yang lain sudah kembali berumah tangga, dia tidak pernah berasa sunyi. Ujarnya lagi, dia sudah bahagia dengan apa yang dimilikinya kini.

“Saya tidak sunyi. Bahagian saya sudah tidak ada sebab saya nak tumpukan pada kehidupan anak-anak pula. Ini kerana, bahagian mereka baru bermula.

“Kasih sayang sejati dan belaian adalah antara anak dan ibu. Namun, Allah yang merancang semuanya dan saya menurut setiap perjalanan yang diatur-Nya dengan reda. Saya sudah bahagia dengan apa yang Dia berikan sekarang,” katanya.

Rita mendirikan rumah tangga dengan Aidil Zafuan pada 2008 sebelum bercerai pada September 2013. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan dua cahaya mata, Airit Rayyan Rizqin, 10, dan Airit Qaqa Arjuna kini berusia lapan tahun.

Sumber: ROTIKAYA


sumber Sehinggit Media News

Post a Comment

Previous Post Next Post