SUNGAI PETANI - Sepasang kekasih memberi alasan hanya singgah untuk berehat sebentar di bilik sebuah hotel bajet yang disewa dengan kadar RM30 untuk tempoh dua jam ketika ditahan penguat kuasa awal pagi tadi.
Lelaki berusia 22 tahun dari Kuala Ketil bersama pasangannya berumur 20 tahun itu mendakwa mahu berehat di bilik hotel bajet di Padang Temusu itu kerana letih menonton wayang di bandar ini selepas waktu kerja malam tadi.
Lelaki yang juga pelajar kursus pendawaian elektrik di sebuah pusat kemahiran di Sik sedang menjalani latihan praktikal manakala pasangannya bekerja di sebuah salon rambut di Perda, Pulau Pinang.
Mereka dikatakan cuba meyakinkan penguat kuasa agama bahawa mereka hanya berehat dan tidur sebentar tanpa berbuat apa-apa ketika pemeriksaan dilakukan anggota penguat penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah ketika operasi bersepadu sempena Valentine Day.
Ketua Penolong Pengarah, Sheikh Radzi Abdul Mutalib berkata, ketika serbuan pasangan itu sedang tidur dalam sebuah bilik tanpa ikatan perkahwinan yang sah menyebabkan mereka dibawa ke Pejabat Agama Daerah untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, mereka antara 10 individu ditahan berusia antara 20 hingga 30 tahun sepanjang operasi bermula 11 malam hingga 6 pagi tadi di sekitar daerah Kuala Muda.
"Dalam serbuan berasingan, remaja berusia 21 tahun yang sedang mengikuti pengajian kejururawatan di sebuah universiti berasal dari Parit Buntar, Perak ditahan bersama seorang lelaki di hotel bajet di Bakar Arang.
"Semasa pemeriksaan kita dapati dia bersama pasangannya berusia 22 tahun, turut membawa kondom dan semburan cecair khas dipercayai untuk tujuan melakukan hubungan," katanya.
Katanya, kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana berkhalwat.
Dalam pada itu, Sheikh Radzi berkata, operasi disertai 75 anggota itu turut mendapat kerjasama dari Pejabat Agama Daerah Kulim, Yan dan Kuala Muda, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Cawangan Penyiasatan Khas.
"Operasi dilakukan sebagai langkah pencegahan terhadap remaja yang terlibat pergaulan bebas dan berzina selain faktor kewujudan hotel bajet yang banyak dengan tawaran harga murah terutama di daerah yang luas seperti Kuala Muda
"Saya ingin menasihati ibu bapa agar memantau pergerakan anak remaja terutama mereka yang tidak lagi menetap bersama keluarga supaya tidak terpengaruh, memandangkan kini terdapat banyak hotel bajet yang menawarkan sewa murah yang boleh ditempah dalam tempoh hanya beberapa jam untuk melakukan perbuatan tidak bermoral," katanya.
Sumber: Sinar Harian
sumber Sehinggit Media News
Tags:
singget