Tak Perlu Bezakan "Result" Anak Kita Dengan Anak Orang Lain. Setiap Anak Ada Kelebihannya


Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah diumukan hari ini di seluruh sekolah di Malaysia. Pasti ibu bapa orang yang paling berdebar menanti keputusan peperiksaan anak-anak.

Tapi walauapa pun keputusan peperiksaan anak, raikanlah mereka. Mereka mungkin sudah berusaha dengan sehabis baik. Tak perlu beza-bezakan keputusan peperiksaan anak-anak dan tak perlu beza-bezakan kekurangan anak.

“Saya mahu buktikan pelajar autisme boleh berjaya” begitulah kata-kata ibu bapa kepada salah seorang pelajar autisme yang beroleh kejayaan cemerlang dalam keputusan peperiksaan SPM hari ini.

Kejayaan ini diusahakan secara berterusan sejak daripada tingkatan empat selain diperkuatkan lagi dengan amalan solat dhuha pada setiap hari,” kata Muhammad Syahmi Asyraff Samsul Muariff, 18, Calon Terbaik Berkeperluan Khas (CBK) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) peringkat negeri.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji Alam yang mengalami masalah pembelajaran (autisme) itu memperoleh 2A+, 1A, 4 A-, 1B+ dan 1C dalam SPM yang diumumkan hari ini.

Syahmi berkata, dia terpaksa berusaha lebih gigih untuk mencapai kejayaan dalam SPM berbanding pelajar normal.


“Saya bertuah kerana cikgu dan ibu bapa sentiasa memberi dorongan kepada saya untuk mencapai kejayaan itu.

“Tumpuan ketika sesi pembelajaran di dalam kelas selain mengulangkaji pelajaran di bawah bimbingan ibu bapa juga banyak membantu.

“Semangat untuk membuktikan bahawa pelajar autisme juga mampu meraih kejayaan turut menjadi dorongan saya mencapai keputusan cemerlang ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2019 di Sekolah Menengah Sultan Mahmud (SESMA), Kuala Nerus, hari ini.

Dia berkata, dia berhasrat melanjutkan pelajaran dalam bidang Sains Kesihatan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) seterusnya mencapai cita-cita sebagai ahli farmasi.

“Saya harap kejayaan itu turut memberi inspirasi kepada semua calon CBK SPM pada tahun ini bagi mencapai kejayaan sama.

“Tiada yang mustahil untuk kita capai dengan syarat perlu berusaha keras dan yakin pada diri sendiri,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Hayani Zakaria, 54, berkata, dia terpaksa berhenti kerja semata-mata untuk menjaga anak istimewanya itu.

“Bukan mudah untuk membimbing anak yang mempunyai masalah pembelajaran seperti itu.

“Namun berkat kesabaran, usaha melalui bimbingan dan doa yang berterusan, saya bersyukur anak akhirnya mencapai kejayaan pada SPM.

“Segala pengorbanan saya sebelum ini berbaloi apabila anak bongsu daripada dua beradik itu berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam SPM,” katanya.

Menurutnya, dia tidak terlalu mengharap anaknya itu cemerlang dalam pelajaran tetapi cukup sekadar mampu berdikari dan menguruskan diri sendiri tanpa mengharap belas ihsan orang lain.

“Bagaimanapun rezeki dan ketentuan Allah di atas segala pengorbanan saya dan keluarga mengatasi segalanya apabila Syahmi cemerlang dalam SPM seterusnya menjadi calon CBK terbaik peringkat negeri,” katanya.

Pada majlis itu Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu Salim Ab Ghani menyerahkan slip dan sijil penghargaan kepada Syahmi sambil ditemani ibunya, Hayani dan bapa, Samsul Muariff Saroni, 55.

Sumber: Hmetro via https://ift.tt/2ByeaBO


sumber Sehinggit Media News

Post a Comment

Previous Post Next Post