GEORGETOWN: Guru berusia 43 tahun ditemui meninggal dunia dalam kereta di kawasan parkir rumahnya berhampiran pasar awam Paya Terubong, Tingkat Paya Terubong, di sini, pagi semalam.
Guru itu ditemui sudah tidak bernyawa oleh guru besar yang ke rumahnya kerana bimbang dengan keselamatan lelaki itu selepas dia tidak datang ke sekolah.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.35 pagi tadi berhubung kejadian berkenaan.
Katanya, terdahulu guru besar menelefon ibu lelaki berkenaan bagi bertanya khabar kerana dia tidak dilihat di sekolah namun ibunya mendakwa anaknya sudah pun bertolak.
"Bimbang dengan hal itu, guru besar kemudiannya ke rumah lelaki berkenaan dan mendapati enjin keretanya tidak dihidupkan manakala dia didapati tidak sedarkan diri.
"Guru besar kemudian mengetuk cermin kereta namun lelaki itu sudah tidak bergerak sebelum menghubungi talian kecemasan MERS 999," katanya.
Mengulas lanjut Soffian berkata, lelaki terbabit kali terakhir dilihat ibunya pada jam 6.30 pagi tadi ketika sedang bersiap untuk ke sekolah.
Ibunya mendakwa lelaki berkenaan tidak mempunyai sejarah kesihatan atau rawatan daripada hospital namun sebulan lalu, dia dikatakan mengalami masalah kesihatan namun tidak ke hospital sebaliknya hanya membeli ubat di farmasi.
"Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah berlaku di tempat kejadian dan lelaki terbabit ditemui mati dalam kereta tanpa enjin dihidupkan.
"Dia disahkan meninggal dunia oleh pasukan kesihatan pada jam 10.45 pagi dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
Sumber: BH Online
sumber Sehinggit Media News
Tags:
singget