KUALA LUMPUR: Harga emas dijangka melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah dalam tempoh enam hingga sembilan bulan akan datang, demikian menurut Citigroup.
Kumpulan perbankan itu dalam laporan tinjauan komoditi suku ketiganya berkata, ada 30 peratus kemungkinan bahawa harga emas akan melepasi AS$2,000 seauns atau lebih RM300 segram dalam tempoh tiga hingga lima bulan lagi.
"Harga nominal emas sudah mencatatkan rekod tertinggi baharu dalam setiap pasaran G-10 dan ekonomi mata wang pesat membangun utama lain sepanjang tahun ini.
"Ia hanya menunggu masa untuk mencatatkan paras tertinggi baharu dalam dolar Amerika Syarikat (AS)," kata penganalisisnya.
Harga emas hampir mencecah paras tertinggi dalam tempoh sembilan tahun, apabila kebimbangan terhadap peningkatan kes COVID-19 dan jangkaan inflasi daripada lebih banyak langkah rangsangan ekonomi meningkatkan permintaan ke atas logam berharga itu.
Harga spot emas hari ini meningkat 0.1 peratus pada AS$1,817.23 (RM7,744.13) seauns atau kira-kira RM275 segram selepas mencecah paras tertinggi sejak September 2011 pada AS$1,820.06 kelmarin.
Harga emas meningkat 19.7 peratus, atau kira-kira AS$300 seauns setakat tahun ini.
Kali terakhir harga emas diniagakan di atas AS$1,800 seauns adalah pada September 2011, namun ia mengakhiri tahun itu pada AS$1,565 seauns.
Ketua Penganalisis Mata Wang HYCM, Giles Coghlan, berkata bank pusat AS, Rizab Persekutuan (Fed) dijangka melaksanakan lebih banyak program rangsangan ekonomi, berikutan peningkatan kes COVID-19 di negara itu.
"Pegawai Fed sudah memberi amaran bahawa tinjauan AS semakin buruk dan langkah pelonggaran adalah jawapannya. Bank of England juga dijangka menambah rangsangan ke dalam ekonomi United Kingdom (UK) ketika ia tersepit dengan masalah Brexit dan COVID-19," katanya dalam satu nota.
Emas cenderung untuk mendapat manfaat daripada langkah rangsangan meluas oleh bank pusat kerana tindakan itu kebiasaannya mencetuskan inflasi.
Logam berharga dilihat sebagai pelindung nilai terhadap kenaikan harga barangan.
Peningkatan kes COVID-19 di AS serta beberapa negara lain seluruh dunia pula meningkatkan kebimbangan terhadap pemulihan ekonomi global, sekali gus menambah aliran pembelian aset selamat, seperti emas.
Sumber: BH Online
sumber Sehinggit Media News
Tags:
singget