Kanser sering dikaitkan dengan masalah berat badan berlebihan, kurang pengambilan buah-buahan dan sayuran, kurang melakukan aktiviti fizikal, dan pengambilan tembakau serta alkohol (KKM, 2020)
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kira-kira 30 hingga 50 peratus kanser boleh dicegah dengan amalan gaya hidup sihat.
Pun begitu, kanser juga boleh terjadi atas faktor genetik di mana sekitar lima hingga 10 peratus kanser berpunca daripada faktor genetik (American Cancer Society, 2017)
Baru-baru ini, seorang wanita berkongsi kisah meruntun hati apabila suaminya disahkan menghidap kanser dipercayai berpunca daripada genetik.
Menurut Puan Syarima Ghazali, Allahyarham suaminya merupakan seorang yang tidak merokok dan sering bersenam.
Julai lalu, Allahyarham telah disahkan menghidap kanser pankreas di mana ia telah merebak ke paru-paru, hati, tulang belakang dan rusuk dalam masa yang teramat singkat.
Susulan itu, beliau mengingatkan orang ramai agar melakukan pemeriksaan kesihatan walaupun telah mengamalkan gaya hidup sihat supaya mampu mendapatkan rawatan awal sebelum ia merebak lebih pantas.
Walaupun mengamalkan gaya hidup sihat dan tidak merokok adalah satu kewajipan bagi mencegah pelbagai penyakit termasuk kanser, tetapi pada masa yang sama janganlah memandang remeh risiko serangan kanser dan wajarlah membuat pemeriksaan kesihatan selalu.
Berikut merupakan perkongsiannya.
25.07.20 – 25.08.20
Sebulan dah awak pergi, rasa macam baru semalam cakap dengan awak. Pesan arwah kat kawan-kawan dia atau sesiapa yang sembang dengan dia, kanser bukan main-main. Buat la pemeriksaan selalu, jangan jadi macam dia tak dak simptom apa-apa tetiba dah merebak terlampau pantas.
Dia berusia 34 tahun dengan gaya hidup sihat dan terlalu muda untuknya. 26 hari daripada malam pertama demam dan dia telah tinggalkan kami dengan tenang. Doktor kata kes arwah jarang berlaku, satu hingga dua orang dalam setahun.
04.06.20 – 11 malam
Tengah tengok TV sambil makan durian tiba-tiba dia menjerit sambil mengadu dada dia kejang dan sakit sampai tak boleh gerak. Dia terbaring depan TV. Esok paginya pergi klinik doktor cakap sakit otot sebab senaman atau angkat berat. Dapat MC sehari. Lepas tu dia kata sakit tu dah tak ada.
26.06.20
Kami dua ambil cuti sebab nak dating makan dan jalan-jalan kat Ikea sebelum balik kampung. Malam tu dia mula demam panas. Esok paginya elok sihat. Malam demam lagi dan siangnya sihat. Rasa tak sedap hati takut kuman atau batuk kering (TB). Tak sangka ni dating terakhir.
28.06.20
Kami balik KL terus suruh pergi klinik buat GL nak rujuk pakar. Esoknya dia pergi Pusat Perubatan MSU dan doktor kata ok, admit lah buat CT scan.
30.06.20
Ambil ujian COVID-19 tunggu keputusan dan dimasukkan ke wad. Lepas tu petang pukul 4 baru buat CT scan dan perjalanan bermula.
Dua tiga jam lepas tu doktor pergi kat dia cakap “Orang yang datang ni sihat, cergas, aktif tapi bacaan scan kucar kacir”. Doktor cakap nak jumpa semua ahli keluarga. Esok tu doktor bagitau apa yang dia nampak tak berapa nak okay.
Paru-paru dan hati dah nampak teruk. Cuma dia tak nak terus buat kesimpulan sebab dia tak ada data nak sokong. Ayat akhir doktor tu memang boleh terduduk,
“Saya nasihatkan kamu bersedia mental dan fizikal untuk yang terburuk.”
Allahu.
2.7.20
Semua keluarga datang dan masuk bilik mesyuarat untuk berbincang. Masa tu doktor bagi tau keputusannya. Pertamanya, TB, kedua, jangkitan kuman, ketiga kemungkinan kanser.
Jadi dia nak teruskan dengan biopsi cepat. Kami semua setuju. Lepas biopsi lah keadaan dia mula merudum sikit sebab dah kacau “rumah rosak” tu. 24 jam lepas biopsi dia ok balik sihat macam biasa makan lalu buat keja semua. Cuma malam ja demam. Cold fever. Pegang biasa tapi suhu lebih 39 darjah celcius.
04.07.20
Doktor masih tekan keputusan biopsi tapi dia tetap tak rasa gembira. Dia berurusan dengan kawan dia doktor pakar jantung di Hospital Serdang buat janji temu untuk diagnosis lanjut sebab ada bacaan hati terus menurun. Bilirubin dan Hemoglobin.
06.07.20
Harini patut discaj. Dia sihat macam biasa. Pukul 1 pm lebih kurang doktor datang bagitau keputusan biopsi.
Sah kanser tapi masih tak tahu kanser apa. Kami dua terdiam. Doktor keluar ja terus kami berdua nangis. Dia kata “Kenapa dia, macam mana nanti sayang dengan anak-anak”. Terus la drama air mata jadi.
Lepas tu kami berdua diam layan perasan dan saya beritahu dia, insyaAllah abang kuat nak lawan. Untuk kami. Kemudian dia tetiba ok.
Lepas Zohor berkemas nak balik. Masa nak tunggu discaj, dia kata nak lawat doktor ucap selamat tinggal.
Kat bilik doktor dia jalan pusing-pusing lepas tu dia baring atas katil dia cakap. “Doktor hati saya macam mula sakit”. Doktor kata mungkin ubat tahan sakit dah habis. Akhirnya tak jadi discaj and sambung admit balik sampai esok ambulans bawa ke Serdang.
07.07.20
Dia gerak dengan ambulans ke Hospital Serdang. Sampai sana doktor tak boleh nak teruskan sebab keputusan biopsi keluar ringkasan je, tak ada IHC study yang lebih terperinci mengenai sampel tisu.
Masa di Serdang Dr Ummi datang dekati kami tanya kalau nak teruskan chemo dan pembiayaan sepenuhnya dekat Pusat Perubatan Nilai (NMC). Kami terus je cakap ok boleh sebab bacaan hati dia hari demi hari menurun cepat.
Sementara tunggu panggilan NMC atau janji temu pada minggu hadapan dengan Serdang, dia balik rumah. Tapi sebab ubatnya tak sekuat drip di hospital dia memang nampak sakit dan lemah. Nak bangun duduk pun bersusah payah tapi MashaAllah dia tak penah mengeluh atau merungut sakit tu. Demam setiap hari lepas Asar sampai tengah malam.
09.07.20
Kami pergi Nilai Med Center (NMC) nak tanda tangan kontrak sebab doktor kata awalnya kanser paru-paru. Masa buat saringan darah balik doktor panggil kami berdua masuk. Dia kata dari bacaan, ini bukan kanser paru-paru. Kita perlu tunggu IHC sebab takut salah kemo. Doktor kata mungkin kanser limfoma. Jadi kami pun balik dan sambung ubat tahan sakit kat rumah ja.
12.07.20 – 9pm
Masa tengah tidurkan anak-anak dia cakap kat mama (ibu saya) boleh tak tengok kan bebudak. Lepas tu dia panggil, “Abang rasa macam nafas pendek. Jom kita pergi MSU Med Cen. Ketar rasa terus bawa pergi hospital masuk kecemasan dan dimasukkan balik ke hospital.
13.07.20
Doktor buat ultrasound kata nampak hati ada pendarahan sikit. Dorang cuba hubungi mana-mana hospital yang boleh tolong sebab dorang tak ada ubat. Tapi lewat petang doktor datang balik cakap pendarahan tu tak signifikan jadi dorang nak buat endoskopi untuk cari kanser utamanya.
Esok tu habis prosedur, doktor datang beritahu dorang tak jumpa apa apa tanda dari mana kanser dia datang. Kemudian kami putuskan bawa dia ke Pusat Perubatan Sunway (SMC).
14.07.20
Masuk SMC. Terus kena masuk HDU sebab bacaan jantung tak cun. Esoknya lepas ultrasound doktor cakap tiada yang serius, boleh pindah ke wad. Doktor pun terus buat tumor marker untuk organ lain nak cari kanser utama dia. Tapi doktor cakap kanser hati pun termasuk dalam salah satu andaian sebab bacaan bilirubin terlampau tinggi.
16.07.20
Doktor jalankan PET scan satu badan, masih cuba cari kanser utama dia. Doktor pun panggil bincang nak buat kemoterapi dos tinggi 50 jam setiap sesi tapi impak dia kalau dia tak bebas dari jangkitan dan demam risiko tinggi sangat.
Boleh berdarah otak, koma dsb. Doktor kata kalau tak buat kemo dia mungkin ada beberapa minggu ja. Masa tu la terus rasa pentingkan dirinya aku nak tekan sedangkan tahu keadaan dia tak ok. Masa tu keluar bilik doktor duduk lama, termenung sorang-sorang terus fikir.
Tak pa la redha kan ja apa yang berlaku. Kalau memang tak ada harapan biar la yang paling mudah. Doktor pun bagitau dia akan dapat sokongan daripada doktor paliatif untuk tolong dia sembuh dan kurangkan sakit.
Dengar ja paliatif terus terduduk dan paham yang dia macam tak dak harapan. Tapi dia betul-betul pejuang. Dia tak pernah berputus asa. Luaran dia macam tak sakit langsung.
17.07.20
Hari lahir saya, dan ia sangat berbeza. Dia mesej beritahu dia menangis dan minta maaf tak ingat hari lahir saya.
Saya beritahu saya hanya nak lihat senyumannya kepada saya.
Masa nak keluar dari wad doktor masuk dan doktor kata laporan PET scan dah keluar. Kanser pankreas. Dah serang peparu, hati, tulang belakang dan tulang rusuk. Allahu. Lagi berita mengejutkan untuk kami.
19.20.20
Tergerak hati nak bawa anak-anak jumpa dia. Minta kat jururawat nak bawa turun dia kat bawah lobi sebab sorang ja boleh masuk tengok kalau kat bilik. Dia pun kata kawan sekolah dia nak mai. Dia nampak gembira dan macam tak sakit pun. Boleh layan semua orang macam biasa.
22.07.20
Sepatutnya kemo harini tapi demam dia masih jadi. Hati dia mula rasa sakit. Doktor mula bagi morfin untuk kurangkan sakitnya.
Kalau tengok perut dia macam orang mengandung. Hati dia membesar dari saiz S ke XXXl. Dia mula jadi mengantuk. Tapi dia tak tidor pun dia kata bila dia tidur nanti dia macam termimpi bini dia datang la. Anak anak dia datang la.
24.07.20
Akhirnya kemo mula harini. Semua jangkitan berjaya kurang dan hilang. Hari ni tergerak hati juga nak bawa satu keluarga termasuk bapak dia yang tak berapa sihat datang melawat dia sebelum mulakan kemo.
Alhamdulillah berjaya bawa satu keluarga berkumpul.
1.30 petang mula kemo. Dia sangat okay. 3 jam lepas tu tengah sembang dengan dia. Tetiba dia terbatuk. Pastu dia kata rasa nak buang kahak bagi la cawan plastik kat dia. Dia ludah tengok seketul darah beku, terus panggil jururawat.
Lepas tu dia kerap batuk keluar darah segar 1/3 cawan jugak. Doktor datang tolong nak kurangkan batuk dan pendarahan, buat Xray dsb.
Lepas tu doktor kata kena pindahkan ke CCU sebab perlu pantau dia. Lepas tu doktor panggil. Doktor tunjuk peparu dia seminggu lepas vs hari ni. Kanser dah merebak terlampau cepat. Pendarahan mungkin datang dari situ.
Masuk bilik dia kata doktor cakap apa. Bagitau ja. Cakap la kanser kat peparu dah merebak teruk. Terus minta maaf kat dia. Dia kata kenapa nak minta maaf, dia yang patut minta maaf tak dapat jaga kami dah.
Terus cakap kat dia. Ayang redha abang. Kalau kata umur abang tak panjang insyaAllah ayang akan kuat jaga anak-anak.
Malam tu pindah ke CCU, doktor bagi teman dia. Dia mengadu depa kata tak boleh makan sebab takut pendarahan lagi, plus dia kena berpuasa esok nak masuk kamera periksa pendarahan tu dari mana.
Lepas tu dia kata dahaga nak air sejuk. Boleh tak ambik kan. Dia minum bersungguh. 2 botol kecik jugak dia minum. Dalam hati terdetik macam tanda orang nak pergi ja. Terus google. Lepas tu tanya kat dia, ada nampak apa-apa ka dia kata takdak la. Rupanya naluri tu betul.
25.07.20
Pagi tu nak prosedur. Boleh masuk masa melawat ja. Balik la rumah dulu mandi semua dan datang balik 1 pm. Masa tu adik dia ada teman dia.
Doktor kata pendarahan tu tak ada apa-apa yang serius. Nanti nak pindah ke wad biasa balik. Dia suruh adik dia urut dia segala. Lepas tu dia cakap kat adik dia pergi ambil air sejuk Coway kat dia. Bila adik dia patah balik ke bilik dia tengok doktor dah ramai.
Rupanya tekanan darah (BP) dia tertiba menurun. Masa tu la sampai terus pergi bilik tengok dia, dia cakap jangan sentuh dia sakit. Allahuuu. Lepas tu doktor panggil keluar nak cakap.
Doktor kata BP dia dah naik balik tapi dia risau jatuh balik. Dia kata lebih baik panggil semua ahli keluarga datang. Kalau setuju dia boleh komakan untuk panjangkan masa atau buat dia tidur. Tarik nafas dalam-dalam terus cakap kat doktor,
“Takpe la doktor kalau umur dia tak panjang saya dah redha. Tak perlu nak komakan, saya tak boleh biarkan dia menanggung sakit lagi.”
Kemudian betul cakap doktor, BP dia memang turun balik. Tapi dia masih sedar. Doktor cakap kita pindah ke ICU dan benarkan semua orang jumpa dia.
Dalam 30 min doktor dan jururawat sediakan dia kat ICU dan bagi kami masuk. Kami minta maaf semua. Ajar dia mengucap banyak kali dia ikut. Sebak rasa sebab tak percaya akhirnya benda paling ditakuti 3 minggu lepas betul-betul jadi.
Dia kata dia nak jumpa mak dia. Semuanya lancar sangat. Cakap kat dia “Abang sabar sikit ye, mak dah nak sampai”.
Bila mak dan anak-anak sampai cakap dengan dia semua. Terus semua orang minta maaf kat dia jugak serentak. Dia siap cakap “Sorang-sorang cakap”.
Dia masih sedar sampai la nafas dia dah dekat dada. Allahu bila kalih ja tengok rupanya ramai sangat ahli keluarga dan kawan-kawan yang dah sampai dan nak ucap selamat tinggal kat dia.
Ramai orang sayang awak. Tengok la ramai orang datang tak putus-putus sampai hari kebumi. 4.50pm dia tinggalkan kami.
Panggil jururawat cakap dia macam dah tak ada. Jururawat kata saya boleh panggil doktor untuk periksa dan sahkan.
Saya mungkin bukan isteri yang sempurna tapi saya beruntung ada suami yang sempurna buat saya. Walaupun sekejap tapi puas dapat jaga 3 minggu awak sakit. Terngiang ngiang awak cakap “Abang rasa kuat bila ayang bermalam sini, kekuatan tu luar biasa.” Semoga kasih sayang kita kekal ke syurga.
PS : Mami buat coretan ni untuk Dahlia dan Lily baca satu hari nanti. 💞
Sumber: Syarima Ghazali via Siakapkeli
sumber Sehinggit Media News
Tags:
singget